Buletin

NAZA KIA LANCAR SORENTO HS & SPORTAGE GT TURBO DIESEL

Naza Kia Malaysia hari ini secara rasminya menambah varian diesel menerusi model Sorento HS Turbo Diesel dan Sportage GT Turbo Diesel. Kedua-dua model baharu itu sudah boleh didapati di semua bilik pameran Kia seluruh negara. 

Sorento HS dan Sportage GT dikuasakan oleh enjin diesel CRDi (Common Rail Direct Injection) dan 2.0 AWD GT CRDi bersesaran 2.2 liter. Enjin yang mampu menghasilkan kuasa tork 400Nm itu dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan. Penjimatan yang ditawarkan juga mengagumkan, hampir 1,000km dengan satu tangki penuh.

“Kami yakin kedua-dua varian ini dapat memberikan nilai dan kepuasan pemilikan yang lebih baik kepada pelanggan. Apatah lagi ketika permintaan terhadap model diesel dilihat semakin meningkat di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Automotive Group, Naza Corporation Holdings, Dato’ Samson Anand George.

Sorento HS Turbo Diesel 

SUV ini menggabungkan aspek gaya, praktikaliti dan teknologi. Ia tampil dengan profail rekaan Eropah bersama lampu projektor HIID, sistem lampu adaptif dan gril radiator yang besar pada bahagian hadapannya. Penampilan luaran disempurnakan lagi dengan rim aloi krom bersaiz 19 inci.

Ruang kabin Sorento bertemakan ‘moden dan luas’ dengan susun atur horizontal serta moden. Upholsteri kulit membangkitkan rasa mewah dan premium untuk dinikmati oleh pemandu serta penumpang.

Antara teknologi yang memudahkan pemandu termasuklah sistem multimedia interaktif, skrin TFT LCD bersaiz tujuh inci, pintu belakang elektrik, pelbagai konfigurasi untuk tujuh tempat duduk, Smart Parking Assist System, Tyre Pressure Monitoring System (TPMS), brek parkir elektronik serta sistem mode pemanduan (Normal, Eco atau Sport).

Tidak perlu bimbang dengan aspek keselamatan kerana ia dilengkapi enam beg udara, Vehicle Stability Management (VSM), Electronic Stability Control (ESC), brek ABS dan Hill-Start Assist Control (HAC). Jadi, tidak hairanlah jika Sorento memperoleh penarafan lima bintang daripada NCAP dan NHTSA NCAP.

Anda boleh memilih daripada empat warna menarik iaitu gangsa, putih hitam dan perak. Sorento HS Turbo Diesel 2.2L CRDI ditawarkan pada harga RM191,888 seuni, serta hadir dengan jaminan selama lima tahun dan perbatuan tanpa had.

Sportage GT Turbo Diesel

Sama seperti varian petrol, spesifikasi Sportage GT Turbo Diesel adalah sama. Model GT Line menjanjikan pemanduan yang lebih sporty dan versatil. Jentera itu tampil dengan rekaan lebih garang apabila bahagian hadapan dilengkapi lampu nyalaan siang LED dan lampu kabus LED. SUV itu juga menggunakan rim aloi krom bersaiz 19 inci.

Ruang kabin Sportage GT menggabungkan inovasi, keselesaaan dan material premium. Ia juga dilengkapi sistem infotaimen multimedia, sistem bunyi dengan enam unit pembesar suara, skrin TFT LCD bersaiz 4.2 inci dan tempat duduk kuasa.

Dari segi keselamatan, SUV tersebut dipasang dengan brek ABS, Electronic Stability Control (ESC), Vehicle Stability Control (VSC) dan Hill-start Assist Control (HAC),

Hadir dalam warna hitam, biru, merah, putih dan perak, Sportage GT Turbo Diesel ditawarkan pada harga RM159,888 seunit, bersama jaminan selama lima tahun dan perbatuan tanpa had.

BACA: INI MEMANG ANEH – KIA STINGER TIDAK AKAN DIJUAL SEBAGAI KIA DI KOREA 

BACA: NAZA KIA LANCAR KIA GRAND CARNIVAL – BERMULA RM153,888

GALERI

Google ads
Back to top button