Artikel Pilihan

TAHUKAH BARANG BERSEPAH DALAM KENDERAAN BOLEH MENGUNDANG BAHAYA?

Kita semua tentu selalu membawa barangan baik botol minuman, makanan, fail-fail pejabat dan sebagainya di dalam kereta. Itu tidak termasuk kotak tisu, kasut jogging, kasut tumit tinggi, bantal busuk anak-anak, barang hiasan atas papan pemuka dan macam-macam lagi. Jika anda menyangka benda-benda ini tidak merbahaya, maka anda kena fikir banyak kali dan teruskan membaca.

Barangan seperti disebutkan di atas memang kelihatan agak biasa di dapati dalam mana-mana kenderaan kecuali kereta lumba F1, jentera WRC dan kereta peronda polis. Ia bagaimanapun mengundang bahaya dan mungkin membawa maut jika kita terlibat dalam kemalangan jalan raya.

BACA: TIPS MEMILIH KERUSI KANAK-KANAK

BACA: 7 TIPS PENAJAGAAN BATERI YANG BETUL

Berdasarkan pengalaman sekumpulan peguam yang mewakili mangsa-mangsa kemalangan jalan raya di Amerika Syarikat, barangan yang tidak diikat ataupun diletakkan dengan selamat di dalam kenderaan adalah menjadi salah satu punca utama terjadinya kemalangan di jalan raya.

Jika anda membawa apa sahaja barangan khususnya di bahagian dalam kabin kenderaan, pastikan ia diikat dengan kemas dan teratur di tempat yang sepatutnya. Jika ada satu atau lebih barangan yang terletak dengan tidak diikat ataupun dibiarkan begitu sahaja, ia boleh menjadi seperti sebiji peluru yang bergerak laju akibat daya hentaman sewaktu perlanggaran.

Tempat paling bahaya untuk meletakkan barang-barang ialah di bawah tempat duduk pemandu. Sewaktu brek yang kuat dikenakan ataupun mengambil selekoh, objek-objek seperti botol minuman boleh bergolek dan mengurangkan/menghilangkan keupayaan anda mengawal pedal-pedal penting. Ia mungkin tersangkut di bawah pedal minyak ataupun pedal brek dan menyebabkan anda hilang kawalan. Bukan itu sahaja, karpet pelapik kaki yang bergerak ke hadapan sewaktu anda masuk dan keluar juga boleh menjadi punca kecelakaan dan mungkin membawa maut.

Selain daripada itu, objek-objek yang diletakkan pada bahagian papan pemuka juga tidak kurang bahayanya dalam perlanggaran. Barangan seperti kotak simpanan DVD, duit syiling, telefon pintar, model kereta mainan Myvi warna kuning dan pewangi kenderaan juga mungkin meluncur ke kiri kanan jika anda membelok dengan pantas.

Apa salahnya jika kesemua barangan tersebut diletakkan di dalam glove box. Anda juga boleh memilih untuk menggunakan pewangi jenis clip-on yang lebih selamat.

Lagi satu adalah tidak bijak jika kita meletakkan tin minuman di bahagian celah peha (pemandu lelaki biasanya), buatnya tumpah masa tengah memandu mesti perhatian kita akan terganggu.

Itu belum termasuk jenis yang suka membuat jamuan dalam kereta sambil membiarkan sisa makan bersepah sampai serangga seperti lipas pun boleh membiak dalam kereta.

Bayangkan ada lipas menari raver atas roda stereng sewaktu tengah memandu, mau terkeluar suara serak-serak VTEC kau menjerit masa tu.

PEMANDU PEREMPUAN

Golongan wanita pula biasanya meletakkan beg tangan di atas tempat duduk sebelah sewaktu memandu untuk kemudahan mencapai dompet untuk membayar tol, lipstick untuk touch-up sewaktu jem dan telefon pintar untuk berselfie masa tengah tunggu lampu merah. Semua ini boleh mengganggu tumpuan ketika memandu dan sepatutnya dielakkan.

Sebuah kereta sepatutnya sentiasa dalam keadaan kemas dengan segala benda ataupun objek sepatutnya berada pada tempat yang sesuai. Botol minuman, bola tenis dan pelbagai objek lain di bawah tempat duduk mempunyai kebarangkalian untuk menyekat pergerakan pedal kawalan dan boleh membawa kepada terjadinya kecelakaan.

Objek besar di tempat duduk belakang juga mungkin menghentam pemandu sewaktu terjadinya kemalangan dan membawa maut. Malah dalam kemalangan kecil sekalipun, kebarangkalian objek kecil melantun dan berterbangan dalam kenderaan adalah amat tinggi.

Sebaiknya barangan besar diletakkan dengan kemas dan diikat agar tidak mudah meluncur di dalam kenderaan. Meletakkan barangan pada tempat yang sepatutnya akan mengurangan risiko kecederaan yang sepatutnya boleh dielakkan sewaktu terjadinya kemalangan. Jadi bertindaklah dengan bijak untuk keselamatan bersama.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button