Buletin

NETIZEN PUJI TINDAKAN MATANG SELEPAS PELANGGARAN, PEMILIK LAMBORGHINI MAAFKAN WARGA EMAS

Tindakan pemilik Lamborghini memaafkan warga emas melanggar kereta mewahnya secara tidak sengaja di sebuah plaza tol mengundang pujian netizen.

Satu video tular di laman sosial Facebook yang dikongsikan pemilik Lamborghini, Abdul Rahim mendapat lebih 1,000 komen dan seribu kali perkongsian.

Rakaman daripada video terbabit menunjukkan Abdul Rahim dan warga emas tersebut berjaya menyelesaikan kes pelanggaran itu dengan baik.

Kejadian berlaku apabila sebuah kereta jenis Kia dipandu warga emas dikenali sebagai Wong telah membuat pusingan-U secara mengejut sebelum melanggar bahagian kiri kenderaan Super SUV milik Abdul Rahim.

Ekoran kejadian pelanggaran di lorong RFID terbabit, Abdul Rahim yang dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur telah bertindak keluar daripada kereta mewahnya lalu memeriksa bahagian dilanggar.

Malah Abdul Rahim juga pergi melihat kerosakan pada bahagian kanan kereta Kia yang dipandu warga emas terbabit.

Walaupun keretanya dilanggar oleh Wong, namun Abdul Rahim masih boleh tersenyum meskipun terdapat kesan pelanggaran pada Lamborghini miliknya.

Menerusi video tular itu, kedua-duanya dilihat menyelesaikan kejadian kemalangan dengan baik serta bersalaman.

Abdul Rahim turut berkongsi tangkap layar mesej WhatsApp yang diterima daripada Wong. Dalam perbualan mesej WhatsApp itu, Wong menjelaskan beliau seorang pesara, tidak lagi bekerja.

Warga emas itu memohon maaf dan sedia bertanggungjawab sepenuhnya membayar kos baik pulih kerosakan.

Bagaimanapun Abdul Rahim menolak permintaan Wong dengan baik kerana kerosakan tersebut adalah kecil.

“Selamat pagi Encik Rahim, mohon maaf atas kemalangan malam tadi. Tolong terima permohonan maaf saya.

“Apabila sudah bersedia, sila beritahu saya sebut harga pembaikan kereta anda supaya kami dapat menyelesaikannya dengan lebih awal,” kata Wong di dalam aplikasi WhatsApp kepada Abdul Rahim.

“Saya menghargai bantuan anda, Encik Wong, tetapi nampaknya ia sedikit sahaja kerosakan.

“Kemungkinan besar saya hanya akan menyerahkan bil kepada syarikat saya sebagai penyelenggaraan kereta.

“Saya akan memberitahu anda di sini (WhatsApp). Saya doakan kesihatan yang baik untuk anda dan isteri,” jawab Abdul Rahim.

Orang ramai melihat video itu memuji kedua-dua pihak kerana berjaya menyelesaikan insiden kemalangan itu dengan penuh matang.

Abdul Rahim meluahkan rasa bersyukur kerana video tular itu mendapat maklum balas positif daripada netizen.

“Sekurang-kurangnya dapat cuci semula imej bahawa bukan semua pemilik Lamborghini itu sombong dan tak beretika di jalan raya seperti berlaku sebelum ini,” ujar Abdul Rahim. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button