
NEZHA E – COUPE ELEKTRIK DARI CHINA, 456 HP, JARAK GERAK 580 KM
Menerusi maklumat yang diperoleh daripada laman web Kementerian Industri dan Teknologi Informasi China, Hozon Auto bakal melancarkan sebuah coupe berkuasa elektrik Nezha E.
Ia bukanlah sebuah coupe yang seksi, memandangkan Nezha E dilihat seperti gabungan model Ferrari 458 yang dikahwinkan dengan Corvette C8, sementara lampu belakang yang nipis itu pula mengingatkan kita pada model Maserati.

Nezha E membawakan ukuran sepanjang 4,712 mm, lebar 1,979 mm, tinggi 1,415 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,770 mm.
Menggunakan platform Shanhai, Nezha E boleh didapati dalam varian motor elektrik tunggal berkuasa 288 hp, atau varian motor elektrik berkembar menghasilkan 456 hp.

Jarak gerak pula dijangka mampu mencapai 560 hingga 580 km mengikut data CLTC.
Bergantung kepada varian, model Nezha E boleh dilengkapi dengan ciri seperti kamera dan penderia untuk sistem ADAS yang tersembunyi pada beberapa lokasi.
Hozon Auto juga turut menawarkan pilihan rim aloi serta angkup brek berwarna sebagai sebahagian daripada opsyen penyesuaian.
Ia bakal dilancarkan secara rasmi pada musim bunga 2023.







