Buletin

NEZHA S PENCABAR TERBAHARU TESLA MODEL 3 DARI CHINA

Pesaing Tesla Model 3 semakin berkembang terutama apabila pembikin kenderaan China mula menceburi secara serius dalam pembuatan kenderaan elektrik (EV).

Terbaharu merupakan sedan elektrik empat pintu yang diberi nama Nezha S.

Model terbaharu itu sepatutnya diperkenalkan di Pameran Auto Beijing tetapi terpaksa ditangguh berikutan pandemik melanda dunia.

Justeru, syarikat pengeluar telah mengambil pendekatan dalam mendedahkan jentera terbaharu itu melalui alam maya.

Nezha atau Neta merupakan jenama agak baharu yang ditubuhkan pada tahun 2018 oleh Hozon Auto.

Rangkaian model syarikat berkenaan termasuk dua SUV dikenali sebagai U dan V dan S sebagai varian tambahan terkini kepada para pelanggan.

Rekaan luaran EV sedan terbaharu itu menampilkan gayaan elegan dan kemas.

Ia didatangkan lampu utama terbahagi kepada dua bahagian tetapi unit atas lebih kecil dipadankan fender berlengkung.

Selain itu, Nezha S dilengkapi lampu belakang LED, spoiler bersepadu dan garis bumbung landai menyerlahkan lagi sisi aerodinamik kenderaan berkenaan.

Dari segi dimensi, ia memiliki ukuran 4,800 mm panjang, 2,000 mm lebar dan ketinggian 1,400 mm dengan jarak roda 2,900 mm sekali gus lebih besar berbanding Tesla Model 3.

Ruang dalaman pula, Nezha S mendapat sentuhan bahan-bahan premium seperti Alcantra, kulit, kayu dan besi.

Ia turut didatangkan infotainmen skrin sentuh lebih luas dipadankan kluster instrumen digital, paparan head-up dan skrin sentuh tambahan pada bahagian penumpang.

Selain itu, terdapat sistem audio 1,216 Watt dengan 12 pembesar suara dan tempat duduk dengan sistem urut.

Sedan tersebut merupakan model pertama yang dibangunkan berdasarkan modular arkitek baharu Shanhai yang menyokong varian elektrik penuh (BEV) dan EREV.

Bagaimanapun, syarikat itu masih belum mendedahkan harga bagi Nezha S. – carscoops

Google ads
Back to top button