Artikel PilihanBuletin

NIO EP9 – KERETA ELEKTRIK PALING LAJU DI NüRBURGRING NORDSCHLEIF!

Baru-baru ini dunia automotif riuh dengan kepantasan FK8R (Honda Civic Type R) yang mencatat rekod kereta FWD terpantas di Nürburgring Nordschleife. Catatan masa yang diambil oleh FK2R ialah sebanyak 7 minit 43.8 saat. Angka itu meleburkan rekod yang dipegang oleh VW Golf GTI Clubsport S dengan defisit 3 saat lebih perlahan.

Itu rekod untuk kereta FWD. Untuk kategori kereta elektrik pula, rekod terpantas baru sahaja dicatatkan oleh NIO EP9 pada 12 Mei lepas di litar yang sama dengan masa 6 minit 45.900 saat.

Sebenarnya ini bukan kali pertama NIO dihantar untuk ujian masa kerana pada Oktober lepas, NIO EP9 telah pun mencatatkan masa paling terpantas di atas muka bumi dengan masa 7 minit 05.12 saat dilitar dengan jarak 20.8km itu.

Memandangkan NIO EP9 menggunakan nadi kuasa elektrik jadi tidak hairanlah ia begitu pantas. Jika diukur dari segi bacaan elektrik, 1 MegaWatt EP9 adalah bersamaan 1342 bhp atau 1360 PS.

Kelajuan maksimum pula ialah 313 km/j dan pecutan dari 0 hingga 200 km/j ialah 7.1 saat. BUKAN 0 hingga 100 km/j, tetapi 0 hingga 200 km/j! 

NIO EP9 sememangnya padu memandangkan sebelum ini kereta hiper itu telah memecahkan dan mencipta rekod paling laju di empat trek terkemuka dunia.

Kepada mereka yang ingin memiliki EP9, pengeluarnya bukan bercakap kosong malah telah membuka tempahan untuk kumpulan kedua produksi iaitu sebanyak sepuluh unit yang dipasang khas. Harganya pula ialah USD 1.48 atau RM6.4 juta.

NIO adalah sebuah syarikat start-up global yang memberi tumpuan kepada pembangunan kenderaan pintar, beprestasi tinggi dan kenderaan elektrik premium. Syarikat itu mempunyai lebih 2,000 pekerja di San Jose, Shanghai, Munich, London dan lapan lagi lokasi serata dunia.

Pelabur NIO bukan calang-calang iaitu Tencent, Temasek (Singapura), Baidu Capital, Sequoia Capital, Lenovo, TPG dan pelbagai institusi pelaburan lain.

Google ads
Back to top button