
EV NIO JATUH DARI TINGKAT TIGA, 2 PEKERJA MAUT
Pembuat kereta elektrik China, Nio melaporkan dua individu maut selepas kereta terhumban dari tingkat tiga di ibu pejabatnya di Shanghai.
Kemalangan yang tidak disengajakan itu meragut nyawa pekerjanya yang maut di lokasi kejadian. Insiden berkenaan berlaku kira-kira pukul 5.20 petang (waktu tempatan), Rabu lalu, di bangunan tersebut.
Mangsa yang maut berada di dalam kereta tersebut sebelum terhumban ke bawah. Menurut Nio, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung nahas tersebut bersama pihak kerajaan.
Difahamkan, tingkat tiga bangunan itu menempatkan ruang pameran kereta, fasiliti pandu cuba serta parkir kereta.
“Syarikat kami menjalankan kerjasama dengan jabatan keselamatan awam bagi melancarkan siasatan dan analisis punca kejadian.
“Berdasarkan situasi tersebut, kita dapati nahas bukan berpunca akibat kenderaan tersebut. Kita berasa sangat sedih dengan kemalangan ini dan merakamkan takziah kepada ahli keluarga yang kehilangan insan tersayang,” katanya.- AGENSI