Buletin

AUDI BERJAYA HALANG NIO GUNA NAMA ES7 DI JERMAN

Audi telah lama menggunakan format penamaan alfanumerik untuk setiap model kereta dan SUV, dan mereka baru-baru ini dilapor berjaya menghalang NIO daripada menggunakan format yang hampir sama di Jerman.

Ini kerana nama-nama model seperti ES6, ES7 dan ES8 yang digunakan oleh NIO itu adalah hampir sama dengan nama model S6, S7 dan S8 yang digunakan oleh Audi, walaupun pada hakikatnya ES merupakan keluarga crossover NIO berbanding S yang merujuk kepada model sedan empat pintu Audi.

Audi S7

Malah, menurut laporan Automobilwoche, pengarah urusan NIO bakal dikenakan denda sebanyak 250,000 euro (RM1.16 juta) atau penjara enam bulan sekiranya mereka didapati melanggar larangan tersebut.

NIO telah pun mengambil tindakan dengan mengubah nama ES7 kepada EL7, sementara model ES5 dan ES6 masih lagi belum dijual di negara itu.

Pertikaian antara kedua jenama itu masih belum reda, di mana Automobilwoche melaporkan wakil jurucakap NIO berkata pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut. – Automobilwoche

Google ads
Back to top button