Buletin

NISSAN ALMERA KURO EDITION – LEBIH SPORTY, JANA 100HP, HARGA BERMULA RM83K

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) hari ini memperkenalkan Nissan Almera Kuro Edition, didatangkan dengan estetik yang dipertingkatkan dengan penampilan tahap kecanggihan bergaya.

Hadir dalam tiga varian; VL VLP VLT, Nissan Almera Kuro Edition ditawarkan dengan warna baharu iaitu Glacier Grey.

Dari luaran, ia dipadankan dengan gril depan hitam baharu dan rim berwarna hitam bersaiz 15 atau 16-inci (bergantung varian) selain, pilihan untuk menambah Kuro Package atau Kuro GT Package.

Untuk rekod, Kuro Package boleh didapatkan pada harga RM8,000, merangkumi kit badan Tomei – bampar depan dan belakang, skirt sisi, spoiler belakang berwarna hitam, pelindung pembuka pintu, plat pemijak kaki, visor pintu, pedal sports, dan filem tinting ICE Cool.

Bagi sesiapa yang ingin menonjolkan lagi potensi gaya, bolehlah memilih Pakej KURO GT yang menambahkan lagi keunikan TOMEI GT Wing dan rim aloi IMPUL 16-inci dengan harga tambahan RM3,200 dan ia terhad kepada 300 kenderaan sahaja.

Dengan inspirasi ‘Gliding Wing’, reka bentuk papan pemuka Almera Turbo dilengkapi dengan bahan premium yang menggabungkan kemasan krom, piano hitam, corak gentian karbon dan stereng tiga jejari rata untuk suasana kabin yang benar-benar sporty.

Nissan Almera juga dimuatkan skrin infotainment 8-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay atau Android Auto dan meter paparan semi digital warna penuh 7-inci.

Secara mekanikal, ia dijana oleh enjin 1.0-liter turbo berkuasa 100hp dan 152Nm, dipadankan dengan kotak gear CVT Xtronic.

Ciri keselamatan terdiri dari Intelligent Forward Collision Warning (IFCW), Intelligent Forward Emergency Braking (IFEB) sebagai standard.

Sementara, varian tertinggi pula dilengkapi dengan Spot Warning (BSW), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Intelligent Around View Monitor (IAVM) dengan Moving Object Detection.

Nissan Almera Kuro Edition 2024 boleh dimiliki pada harga bermula RM83,888 (varian VL), RM89,888 (varian VLP) dan RM95,888 (varian VLT).

Selain itu, ETCM turut menawarkan harga promosi Kuro Package hanya RM1,000 (harga asal RM8,000), dan Kuro GT Package pada RM1,500 sahaja.

GALERI:

Google ads
Back to top button