Buletin

2024, TAHUN SUKAR UNTUK PENGELUAR EV CHINA?

Pertumbuhan yang perlahan, persaingan semakin sengit dan perang harga akan memberi tekanan kepada 200- lebih pengeluar kenderaan elektrik (EV) China tahun ini, dengan beberapa pengeluar berkemungkinan tidak mencapai prestasi diinginkan.

Kebanyakan syarikat terpaksa menanggung kerugian untuk mengelakkan potensi krisis modal kerana kesukaran mengumpul dana, menurut penganalisis.

“Pelabur mengambil sikap berhati-hati terhadap prospek perniagaan setiap syarikat memandangkan persaingan telah meningkat dalam pasaran,” kata rakan kongsi di firma ekuiti swasta Unity Asset Management, Cao Hua.

“Tahun 2024 akan menjadi titik permulaan kerana beberapa pembuat kereta elektrik akan terpinggir kerana prestasi yang lemah.”

Jualan EV di China dilihat bakal meningkat 20 peratus tahun ke tahun pada 2024, menurut laporan Fitch Ratings pada November, perlahan berbanding unjuran peningkatan 30 peratus pada 2023.

China juga merupakan pasaran automotif dan EV terbesar di dunia, dengan jualan kereta berkuasa bateri menyumbang kira-kira 60 peratus daripada jumlah keseluruhan global.

Walau bagaimanapun, hanya segelintir seperti BYD dan Li Auto, memberi saingan langsung kepada Tesla di China.

Pelancaran kereta baharu oleh pendatang baharu seperti vendor telefon pintar Xiaomi dan Baidu juga menimbulkan ancaman kepada pengeluar sedia ada, kerana kenderaan pintar mereka mengalihkan minat pemandu muda.

Pusingan baharu pemotongan harga berkuat kuasa, dengan pemain terkemuka seperti BYD, pembuat EV terbesar di dunia, dan Xpeng menawarkan diskaun untuk menarik pembeli.

Awal bulan lalu, BYD mengurangkan harga EV mewah Hannya sebanyak AS$2,800 (RM13,024) untuk memenuhi sasaran jualan tahunannya.

Xpeng memotong harga SUV G6 terlarisnya sebanyak kira-kira 5 peratus.

“Adalah salah untuk firma pemula terlalu fokus kepada idealisme,” kata pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Nio, William Li.

“Nio, sebagai perniagaan EV, perlu menghadapi realiti yang suram dan cuba mengelak daripada menghadapi cabaran apabila persaingan pasaran semakin sengit.”

Pembuat kereta yang berpangkalan di Shanghai itu mengurangkan 10 peratus tenaga kerjanya pada November berikutan kerugian 4.56 bilion yuan (RM2.9 bilion) bagi suku berakhir September, 24.8 peratus lebih kecil berbanding kerugian 6.06 bilion yuan (RM3.9 bilion) pada suku sebelumnya.

Mengikut pengiraan oleh China Business News pada bulan September, sekurang-kurangnya 15 syarikat pemula EV menjanjikan gabungan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 10 juta unit.

Itu melebihi jumlah unjuran jualan EV di China sebanyak 8.5 juta unit pada 2023.

“Pembuat kereta mungkin masih menggunakan potongan harga untuk memastikan model laris mereka menarik kepada pembeli,” kata pengasas pembekal data kenderaan elektrik berpangkalan di Shanghai, CnEVPost, Phate Zhang.

“Bagi pengguna mementingkan bajet, diskaun 10 peratus, diterjemahkan kepada beberapa bulan penjimatan, yang boleh meyakinkan mereka membeli model tertentu.”

Google ads
Back to top button