Buletin

NISSAN AMBULANS DAN E-NV200 PETI SEJUK – BETUL INI NAMA SEBENAR DALAM BM

Di negara kita, Toyota Hiace, Westar Maxus dan Mercedes-Benz lebih popular untuk dijadikan ambulans. Begitu juga dengan van komersil, ramai yang menggemari Toyota Hiace disebabkan saiznya yang besar dan semestinya kelasakan dan ketahanan pada model tersebut.

Tetapi kenapa Toyota, kenapa tidak Nissan? Tidak ada model sesuai? Ini lah alternatif terbaru dari Nissan iaitu Paramedic Concept. Model ini dan Fridge Concept e-NV200 Electric akan dipertontonkan di Pameran Kenderaan Tokyo (TMS) ke-45 bermula minggu ini.

Dilengkapi dengan teknologi dan ciri baru, Paramedic Concept ini adalah kenderaan ambulans generasi kelima Nissan dan dibina berdasarkan kejayaan ambulans generasi terdahulu yang dijual secara eksklusif di Jepun. Patutlah tiada di sini, rupa-rupanya khusus untuk Jepun.

Ambulans generasi baharu ini dibangunkan dari model Nissan NV350 Caravan. Van ini dapat memberikan keselesaan yang lebih baik untuk pesakit selain persekitaran kerja lebih baik untuk paramedik dan pemandu.

Ambulans ini dilengkapi Intelligent Around View Monitor dan teknologi untuk mengurangkan penyebaran kuman. Ia turut dilengkapi bateri tambahan lithium-ion yang dapat digunakan untuk sokongan peralatan perubatan apabila pesakit berada di kawasan terpencil atau memerlukan bantuan kecemasan. 

Nissan merancang untuk memulakan jualan ambulans di Jepun pada tahun fiskal 2018 dan mensasarkan untuk menggandakan jualan tahunan ambulans berbanding model sebelumnya.

Selain ambulans, Nissan juga akan mempertontonkan e-NV200 Fridge Concept. Sungguh, nama rasminya ialah peti sejuk. Nissan NV200 sudah banyak digunakan sebagai kenderaan komersil di negara kita cuma model ini dikuasakan oleh tenaga elektrik sepenuhnya.

Saiz kompak e-NV200 Fridge Concept akan memudahkan pemandu untuk memarkir di kawasan bandar dan ia ialah satu kelebihan, di mana trak penghantaran bersaiz besar sering dihalang untuk berhenti.

Kenapa nama model konsep ini peti sejuk? Sebab ianya dilengkapi dengan pek bateri tambahan di ruang kargo untuk operasi unit penyejukan, bagi menyimpan makanan sejuk. Contoh makanan sejuk ialah seperti daging, ikan, sayur dan mungkin Yakult atau Vitagen agaknya.

Selain Paramedic Concept dan  e-NV200 Fridge Concept, Nissan akan turut mempamerkan NV350 Caravan di TMS.

Van besar ini mempunyai pelbagai teknologi terkini seperti Brek Kecemasan Pintar, Kawalan Dinamik Kenderaan dengan sistem fungsi kawalan cengkaman (Traction Control) dan Bantuan Mula Daki (Hill Start Assist).

Turut dilengkapi ialah Intelligent Around View Monitor yang pertama kali dipasangkan dalam kenderaan kelas ini di Jepun. Dengan saiznya yang besar, menarik bukan jika NV350 Caravan ini diubahsuai untuk menjadi camper van dan digunakan untuk pengembaraan jelajah dunia?

BACA: NISSAN GT-R 1,110HP INI MUNGKIN DINOBATKAN RAJA NURBURGING YANG BARU

BACA: NISSAN FRONTIER ATTACK, MODIFIKASI NAVARA VERSI AMERIKA LATIN

Google ads
Back to top button