
NISSAN FAIRLADY 350Z. MASIH RELEVAN ATAU TIDAK?
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas topik tentang sebuah jentera dari Jepun iaitu Nissan Fairlady 350Z. Adakah jentera ini masih relevan dan berbaloi untuk dimiliki ? Mari sama-sama kita lihat.
Nissan Fairlady 350Z merupakan sebuah jentera yang tidak asing lagi di negara kita Malaysia. Jentera ini juga membawa legasi keluarga Z di dalam jenama Nissan. Sepertimana keluarga GTR, keluarga Z juga sangat penting di dalam meneruskan kesinambungan jentera sukan keluaran Nissan.
Kita mulakan dengan sejarah pembangunan jentera ini. Apabila penjualan Nissan 300ZX dihentikan bermula tahun 1996 di pasaran USA, pihak Nissan sedar bahawa mereka perlu melakukan sesuatu bagi meneruskan kesinambungan keluarga Z mereka.
Kumpulan pereka dari “North America Nissan Design Team” mula membuat lakaran model baru bagi menggantikan Nissan 300ZX. Projek ini bukan lah satu tugas rasmi sebenarnya, ia adalah inisiatif sendiri dari “North America Nissan Design Team”.

Pada tahun 1998, hasil lakaran yang mengambil ilham dari Datsun 240Z ini dipertontonkan kepada umum oleh “Father Of The Z” iaitu Yutaka Katayama. Namun begitu, lakaran ini tidak disenangi oleh pereka asal Datsun 240Z iaitu Yoshihiko Matsuo.
Pihak Nissan kemudian memperkenalkan Nissan 240Z Concept di North American International Auto Show pada tahun 1999 dan kemudiannya di Los Angeles Auto Expo. Model ini adalah model yang berfungsi sepenuhnya dan dikuasakan oleh enjin 4 Silinder berkod KA24DE dan mempunyai sesaran sebesar 2.4L yang diambil dari Nissan Altima.
Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 200hp dan daya kilas sekuat 244Nm. Model ini memecah tradisi keluarga Z dimana ianya model pertama yang tidak dilengkapi dengan enjin 6 Silinder. Penerimaan daripada umum terhadap model konsep ini adalah baik, namun ramai berpendapat model Z terbaru sebaiknya mempunyai identiti baru.
Lakaran akhir bagi jentera 350Z ini dihasilkan oleh Ajay Panchal dan juga pasukannya dari Nissan Design America yang bertapak di San Diego, California. Lakaran akhir ini siap pada tahun 2000 dengan penambahbaikan dari model konsep 240Z yang dihasilkan pada tahun 1998. Bentuknya adalah seperti yang anda lihat sekarang.

Jantung jentera ini iaitu enjinnya diambil dari model Nissan Pathfinder(USDM) dan juga Nissan Stagea(JDM) iaitu enjin 6 Silinder V6 berkod VQ35DE yang bersesaran 3,498cc(3.5L). Namun enjin ini ditingkatkan kuasanya menjadi 287hp dan daya kilas sekuat 371Nm bagi menyesuaikan kegunaannya pada 350Z.
Jentera ini mula diproduksi dan dilancarkan di Jepun pada Julai 2002, diikuti dengan pelancaran di pasaran USA pada Ogos 2002. Untuk permulaan, pihak Nissan memperkenalkan 5 trim iaitu seperti berikut :-
- 350Z (Base)
- Enthusiast
- Performance
- Touring
- Track
Untuk pasaran Eropah(EDM), hanya trim “Track” sahaja yang disediakan. Trim “Base” merupakan trim yang paling asas dimana ia tidak dilengkapi dengan fungsi dan ciri seperti berikut :-
- Viscous Limited Slip Differential (VLSD)
- Traction Control
- Cruise Control
- Power Heated Seat
- GPS
- Brembo Brakes
Trim selain “Base” mempunyai ciri-ciri dan fungsi yang ada diatas tidak kira sebagai ciri asas atau pilihan. Sistem transmisi jentera ini dilengkapi dengan dua pilihan iaitu 5-Kelajuan Automatik atau 6-Kelajuan Manual.

Selain daripada enjin, kekuatan 350Z ini adalah pada aspek pengendalian jentera ini. Untuk mendapat pengendalian yang mantap, pihak Nissan menggunakan sistem gantungan jenis “Double Wishbone” pada hadapan dan “Multilink” pada bahagian belakang. Ia juga dibantu dengan faktor nisbah berat 53% pada bahagian hadapan dan 47% pada bahagian belakang. Ini ketika keadaan pegun. Sekiranya dalam keadaan memecut, nisbah berat akan menjadi 50:50 disebabkan faktor “Weight Transfer”.
Dengan sistem gantungan yang baik, ditambah pula dengak faktor nisbah berat yang seimbang, jentera ini menawarkan pengalaman pengendalian yang sangat mantap dan juga selesa pada waktu yang sama. Lebih menarik apabila ia didatangkan dengan enjin serta sistem transmisi yang responsif.
Pada tahun 2004, pihak Nissan melancarkan model “Roadster”. Apabila bercerita tentang “Roadster”, fungsi utama yang harus ada ialah bumbungnya boleh dibuka. Model ini didatangkan dengan dua trim iaitu “Enthusiast” & “Touring”.
Pada tahun 2005, pihak Nissan melancarkan model “Special Edition” iaitu model 35th Anniversary Edition. Model ini mempunyai 2 varian iaitu manual dan automatik. Bagi varian automatik, ia dilengkapi dengan penambahbaikan pada bahagian luaran dan juga dalaman. Paling ketara ialah model ini diberi warna ikonik “Ultra Yellow” dan juga “Pearl Blue”.

Bagi varian manual pula, ia menerima penambahbaikan dari segi kuasa enjin. Penambahbaikan ini menjadikan enjin pasa model ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 300hp namun daya kilasnya dikurangkan sedikit kepada 353Nm. Namun ianya tidak terasa kerana talaan baru membenarkan enjin beroperasi pada RPM lebih tinggi dan puncak kuasa enjin ini berada pada 6,400RPM.
Pada tahun 2006, penambahbaikan dilakukan pada semua trim dimana bahagian luarannya menerima set lampu projektor “Bi-Xenon”, lampu belakang “LED”, perubahan wajah hadapan, perubahan kemasan dalaman dan juga “Speed Sensitive Steering”. Trim selain dari “Base” menerima set “Brake Booster” yang lebih besar dengan tujuan memantapkan lagi keupayaannya sistem brek. Penambahbaikan ini menjadikan model keluaran tahun ini sebagai model “Facelift” pertama.
Pada tahun 2007, model ini menerima penambahbaikan dan dikenali sebagai model “Facelift” terakhir. Perubahan yang dilakukan juga amat ketara dimana ia menerima enjin baru berkod VQ35HR. “HR” disini bermaksud “High Revolution”. Hampir keseluruhan enjin ini berbeza dari segi komponen dalaman bagi membolehkannya diperah sehingga 7,600RPM tanpa masalah. Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 306hp dan daya kilas sekuat 363Nm.
Terdapat penambahan trim baru iaitu trim NISMO. Trim ini sangat istimewa kerana trim ini menerima cesi yang lebih tegar dan kerja-kerja menaiktaraf cesi ini dilakukan oleh pihak Autech. Bukan itu sahaja, sistem gantungan jentera ini pula menerima talaan dari pihak Yamaha. Trim ini juga dilengkapi dengan set rim khusus daripada RAYS. Bukan biasa-biasa. Ia juga jatuh kepada kategori “Rare” dimana produksi trim ini hanyalah 1,607 unit sahaja. Kalau dapat trim ni. Simpan je lah. Dia jadi emas !

Jadi Tuan-Tuan, ini lah ringkasan serba sedikit tentang Nissan Fairlady 350Z.
Sekarang kita pergi pada topik utama iaitu berbaloi atau tidak untuk memiliki jentera ini. Ia masih relevan atau tidak ?
Carian di atas talian menunjukkan jentera ini berada dalam lingkungan harga RM58,000 sehingga RM138,000 mengikut tahun dan juga kondisi. Apa yang membuatkan ramai orang menjauhkan diri dari jentera ini ialah disebabkan faktor cukai jalan. Disebabkan sesaran enjinnya sebesar 3,498cc(3.5L), nilai cukai jalan jentera ini adalah bersamaan RM4,371 setahun di semenanjung Malaysia dan RM1,696.30 bagi Sabah dan Sarawak.
Namun jika dibahagikan dengan 12 bulan, anda sebenarnya hanya perlu menyimpan sekitar RM365 sebulan untuk memastikan jentera ini layak berada diatas jalan mengikut lunas undang-undang.
Dari segi kos penjagaan pula, ia tidaklah semahal disangka. Jika anda menjaga rutin servis, kebarangkalian untuk jentera ini memberikan masalah besar adalah tipis. Komponen-komponen “Wear & Tear” juga mudah diakses dan tidaklah mahal mana.

Jika diselusuri spesifikasi diatas, dengan harga bawah RM100,000 anda akan dapat sebuah jentera yang sangat seimbang, enjin yang kuat serta responsif, deruman merdu dari enjin V6, pengendalian yang mantap dan yang paling penting menarik perhatian. Ya Tuan-Tuan. Rekabentuk jentera ini masih mampu memalingkan kepala sesiapa yang melihatnya.
Jika anda berhajat untuk memiliki jentera ini ? Teruskan hajat anda. Perlu diingat, keluarga Z di dalam Nissan merupakan keluarga yang tinggi hierarkinya seperti keluarga GTR.