Buletin

NISSAN FRONTIER FOSBERG EDITION, PAKEJ KHAS LEBIH RM47 RIBU!

Nissan Frontier di Amerika Syarikat bertambah menarik melalui penawaran Frontier Forsberg Edition yang istimewa dengan pakej perkakasan edisi terhad.

Model ini dipengaruhi pikap lumba Frontier yang digunakan Forsberg Racing ketika menjuarai perlumbaan NORRA 500.

Menggunakan Frontier Crew Cab sebagai asas, pelbagai aksesori NISMO Off Road dipasang seperti rim Axis Beadlock 17 inci, pelindung alang sisi dan rak bumbung dengan lampu LED.

Turut menyerlah, grafik badan Forsberg Racing dan logo Forsberg Racing Limited Edition.

Badan yang tegap disumbang oleh kit peninggi NISMO Off Road dan beberapa perkakasan ampaian dari jenama sama.

Di antaranya lengan kawalan atas tempa, penyerap hentak prestasi tinggi dan tayar Yokohama Geolandar X-AT saiz 265/70/R17.

Frontier digerakkan enjin 3.8 liter VQ38 V6 yang menghasilkan 310 kuasa kuda (hp) pada 6,400 rpm dan tork 381Nm pada 4,400 rpm.

Enjin Frontier memang besar dan tidak seperti Navara tempatan. Satu lagi perkakasan menarik yang dipasang ialah ekzos cat-back dari NISMO.

Pakej Fosberg Edition ditawarkan pada harga 9,999 dolar (RM47,795) dan dipasang oleh pengedar Nissan untuk Frontier baharu atau yang dibeli sebelum ini (model 2022 dan ke atas).

Nissan menawarkan pelbagai varian Frontier 2024 di antaranya Frontier SL dengan lampu besar LED dan beberapa lagi kelengkapan lain.

Frontier PRO-X dan PRO-4X pula untuk pengembaraan off-road manakala Hardbody Edition mengembalikan nostalgia pikap era 80-an. 

Harga Frontier 2024 bermula daripada 30,030 dolar (RM143,543).

Kredit gambar: Nissan

Google ads
Back to top button