Buletin

NISSAN HYPER TOURER MUNCUL DI BIMS 2024 – DAH SERUPA KERETA KERTAS LIPAT…

Selepas didedahkan di Japan Mobility Show 2023, kali ini model kenderaan elektrik (EV) Nissan Hyper Tourer dibawa pula ke acara Bangkok International Motor Show 2024.

Dilengkapi pelbagai teknologi canggih, model berkenaan berupaya memberikan pengalaman baharu kepada pengguna.

Menurut Nissan, bukan sahaja teknologi, gayanya yang futuristik juga akan menjadi tarikan visual.

Dari luaran, ia tampil dengan panel badan yang licin dan garis tajam bersama rekaan sisi mengalir dari fender hadapan ke belakang yang lebih tinggi sekali gus memberikan aerodinamik lebih baik.

Di bahagian dalam, ia direka dengan ruang yang luas, hasil dari bantuan Nissan EV Technology Vision, di mana ia juga menyatukan pelbagai komponen padat dan bateri solid-state.

Ia turut digabungkan bersama sistem kawalan semua roda e-4ORCE yang menghasilkan pecutan dan nyahpecutan lebih lancar.

Ciri menarik lain terdapat pada Hyper Tourer termasuklah tempat duduk hadapan boleh berpusing 360 darjah serta paparan tengah di tempat duduk hadapan.

Paparan tengah berkenaan boleh dikawal oleh penumpang dan sistem kecerdasan buatan (AI) bagi memantau pemandu dan penumpang.

Selain itu, turut dimuatkan adalah pemanduan autonomi serta dilengkapi fungsi V2X (Vehicle-to Everything).

Terdahulu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nissan, Makoto Uchida berkata, “Hyper Tourer adalah seperti ruang tamu di atas roda.”

“Walaupun pemandu tidak melihat jalan raya, sistem pintar buatan (AI) akan dioptimumkan pada teknologi autonomi supaya penumpang dapat menumpukan perhatian pada kerja atau berehat di dalam kereta,” jelas Uchida.

GALERI:

Google ads
Back to top button