Buletin

VOLKSWAGEN TIGUAN eHYBRID BOLEH DIPANDU GUNA MOD ELEKTRIK SEHINGGA 120 KM!

Volkswagen Tiguan di antara model yang tekal dijual di pasaran tempatan. Dua generasi dibawa masuk dengan yang terbaru atau Tiguan Allspace mempunyai tujuh tempat duduk.

Tiguan sekarang ini merupakan model VW paling berjaya dengan pengeluaran tahunan melebihi setengah juta unit.

Tiguan generasi ketiga diperkenal di Eropah pada September 2023 dengan beberapa varian seperti Tiguan mild hybrid 48 V (eTSI) dan diesel turbo (TDI) telah ditawarkan kepada pelanggan.

Terbaru VW mengumumkan penawaran Tiguan eHybrid (plug-in hybrid) dengan dua tahap kuasa iaitu 150 kilowatt (kW) (204 ps) dan 200 kW (272ps).

Sistem plug-in hybrid pada Tiguan direka baharu oleh VW dan berbekalkan bateri 19.7 kilowatt-jam (kWj) membolehkan jarak pemanduan elektrik naik lebih sekali ganda berbanding model sebelum ini.

Berapakah jaraknya? Sekitar 120 kilometer (km)! Untuk pemanduan harian yang biasa, Tiguan eHybrid sudah seperti kereta elektrik.

Sistem plug-in hybrid Tiguan menggabungkan motor elektrik 85 kW dan enjin 1.5 liter TSI dengan dua kuasa, 110 kW (150 ps) atau 130 kW (177 ps).

Secara keseluruhannya, kedua-dua sistem membolehkan Tiguan eHybrid dipandu melebihi 900 km.

Bateri kedua-dua varian boleh dicas sehingga 11 kW berbanding 3.6 kW sebelum ini menggunakan soket domestik atau pengecas dinding dan sehingga 50 kW di pusat pengecasan pantas.

Model PHEV sebenarnya satu pilihan baik buat pelanggan yang masih belum bersedia untuk berhijrah ke kenderaan elektrik penuh. 

Seperti yang dinyatakan, jarak 120 km untuk kegunaan harian sudah atau lebih daripada mencukupi.

VW memasarkan Tiguan dalam beberapa varian di antaranya Life, Elegance dan R-Line yang tampil menyerlah dengan gaya sporti.

Satu pakej yang lengkap iaitu mod pemanduan elektrik dan penampilan menarik. Bampar depan yang ternganga begitu menonjol ditambah pula dengan warna merah.

Model aras mula Tiguan dilengkapi perkakasan seperti meter digital atau Digital Cockpit, skrin maklumat hibur 12.9 inci, sistem amaran Car2X, tambahan beg udara di tengah (depan) dan beg udara sisi belakang.

Turut dilengkapi penyaman udara automatik one-zone Climatronic, port USB-C, rel bumbung, lampu besar LED dan rim aloi 17 inci.

Teknologi bantuan pemanduan asas seperti Bantuan Lorong, Kamera Pandangan Belakang, dan Paparan Isyarat Jalan Dinamik.

Bergantung kepada varian, Tiguan dilengkapi sistem ChatGPT dan fungsi terbaru pada model-model baharu VW. Kerusi depan mempunyai fungsi urutan pneumatik.

Satu lagi sistem canggih ialah Bantuan Parkir yang membolehkan proses masuk dan keluar dari petak parkir secara automatik pada jarak sehingga 50 meter (fungsi memori) dan melalui telefon pintar.

Dari segi pengendalian, sistem ampaian suai DCC Pro mengoptimumkan keselesaan dan dinamik pemanduan. Lampu depan Q.LIGHT HD matrix disesuaikan dari model premium Touareg.

Di sebalik pelbagai varian dan rangkaian kuasa, kesemua Tiguan menggunakan kotak gear klac berkembar (DSG) sebagai ciri asas.

Berkenaan harga, Tiguan eTSI 96 kW dijual daripada 36,600 euro (RM187,415) manakala Tiguan eHybrid 150 kW daripada 48,655 euro (RM249,157).

Pelanggan yang mahu menunda treler atau muatan sehingga 2,300 kilogram boleh mendapatkan Tiguan TDI 4Motion 142 kW. Harga varian Life bermula daripada 49,055 euro (RM251,224).

Google ads
Back to top button