Buletin

NISSAN LANCAR MPV SERENA GENERASI BAHARU DI JEPUN

Plet nama Serena telah pun digunakan oleh Nissan sejak dari tahun 1990-an lagi, dan selepas lima generasi bertapak, Nissan membawakan generasi keenam dengan penampilan lebih moden.

Dari segi penampilan, Nissan Serena membawakan rekaan lampu utama yang diintegrasikan kemas dengan jeriji yang besar, malah cermin hadapan minivan ini merupakan antara yang paling lebar di dalam segmennya.

Pintu gelangsar sisi didatangkan dengan fungsi bukaan automatik, sementara kesemua unit lampu menggunakan jenis LED.

Disebalik rupa paras yang moden itu, Nissan Serena 2023 masih lagi mengekalkan ciri rekaan berkotak bertujuan untuk memaksimumkan ruang dalaman.

Pemandu mendapat ruang kaki tambahan sebanyak 120 mm berbanding model terdahulu.

Antara ciri yang dimuatkan pada Serena baharu ini termasuklah penukaran gear jenis butang, sistem kawalan iklim digital, upholsteri kalis air, slot pengecasan USB, dan corong pendingin hawa untuk ketiga-tiga baris.

Ciri keselamatan penting yang ada termasuklah ProPilot 2.0 yang membenarkan pemanduan bebas tangan pada kelajuan di atas lebuh raya, serta bantuan parkir ProPilot Park.

MPV besar ini masih lagi mengekalkan enjin 2.0 liter aspirasi natural yang mampu menjana 150 hp dan 200 Nm, dipadankan dengan transmisi CVT.

Terdapat versi trenkuasa e-Power yang tampil dengan enjin baharu 1.4 liter (98 hp/123 Nm), dan dengan bantuan motor elektrik Nissan Serena ini mampu menghasilkan kuasa setinggi 163 hp dan 315 Nm.

Nissan Serena 2023 bakal dijual di pasaran Jepun pada musim sejuk tahun ini, dengan harga jualan bermula dari 2,768,700 yen (RM90,085).

Google ads
Back to top button