Buletin

NISSAN LANCAR X-TRAIL 2023 DI EROPAH – PILIHAN TRENKUASA HIBRID SAHAJA

Selepas dua tahun dilancarkan di Amerika Syarikat di bawah nama Rogue, Nissan akhirnya memperkenalkan generasi baharu X-Trail untuk pasaran Eropah.

Sebelum ini, SUV segmen C itu telah pun dilancarkan secara rasmi di pasaran Australia dan Jepun.

Di Eropah, tiada lagi penawaran enjin pembakaran dalaman tulen, sebaliknya kesemua varian hadir dengan trenkuasa hibrid sahaja.

Versi paling asas mendapat nadi 1.5 liter turbo yang mampu menjana 161 hp dan 300 Nm, sementara sistem hibrid ringan 12V pula mampu menyimpan tenaga di dalam bateri lithium-ion dan membekalkan kembali kuasa setinggi 6 Nm apabila diperlukan.

Nissan X-Trail varian asas ini mampu memecut 9.6 saat dari 0-100 km/j dan mencapai kelajuan tertinggi 200 km/j.

Dua varian tertinggi pula didatangkan dengan sistem trenkuasa e-Power dengan enjin 1.5 liter yang bertindak sebagai unit generator serta pilihan pacuan dua roda atau semua roda (4WD).

Versi 2WD mampu menghasilkan kuasa setinggi 201 hp dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8 saat dan kelajuan tertinggi 170 km/j sahaja.

Sementara versi 4WD pula mendapat motor elektrik kedua pada gandar belakang (126 hp), dengan kuasa keseluruhan 211 hp, pecutan 0-100 km/j dalam masa tujuh saat dan kelajuan maksimum 180 km/j.

Sama seperti model berelektrik Nissan yang lain, Nissan X-Trail juga hadir dengan ciri pemanduan e-Pedal.

Rupa paras Nissan X-Trail adalah hampir sama sahaja dengan versi yang dijual di pasaran Australia dan Jepun.

Kelengkapan ruang kabin juga tidak banyak berubah, dimulakan dengan skrin infotainmen NissanConnect 12.3 inci, skrin kluster instrumen 12.3 inci, skrin paparan head-up 10.8 inci, ciri ProPILOT dengan sistem ADAS terbina, serta tidak ketinggalan tujuh beg udara secara standard.

Menurut Nissan, ruang kabin kini lebih luas, di mana penumpang berketinggian 160 cm boleh muat duduk di baris ketiga. Jika baris ketiga dilipat, ia menyediakan ruang kargo sebesar 585 liter.

Nissan X-Trail bakal tiba di Eropah menjelang musim luruh ini dengan harga jualan bermula dari £32,030 (RM166,394) untuk versi hibrid ringan dengan lima tempat duduk, hingga £48,155 (RM250,163) untuk versi e-Power 4WD dengan konfigurasi tujuh tempat duduk.

Google ads
Back to top button