Buletin

NISSAN LEAF NISMO BAKAL DIJUAL DI JEPUN, JIMAT DAN SPORTI

Sebelum ini kereta mesra alam tampil dengan reka bentuk yang agak pelik. Di antara yang popular ialah Honda Insight, Toyota Prius dan Nissan LEAF di mana reka bentuk sedemikian dibuat bagi mengeksploitasi aliran udara supaya cekap bahan api.

Setelah melalui beberapa generasi, pengeluar seperti Honda dan Nissan telah memutuskan untuk kembali normal. Honda Insight generasi kedua kini seperti kereta kebanyakan manakala Nissan LEAF baharu pula tampil dengan gayaan sporti.

Namun satu tentang kereta mesra alam ialah ia tidak mempunyai tawaran naik taraf seperti kereta konvensional. Tampil standard kilang tanpa kit aksesori.

Opps! Ada pengecualian untuk beberapa model seperti Lexus ct200h, Toyota Prius C atau Honda CR-Z yang segak bergaya dengan aksesori dari Tom’s, TRD dan Mugen.

Agenda tersebut diteruskan oleh Nissan apabila bakal memperkenalkan LEAF Nismo pada penghujung bulan ini di Jepun.

Nissan LEAF adalah kenderaan elektrik (EV) terlaris dunia dan pakej NISMO ini dipercayai dapat menarik perhatian anak muda atau mereka yang sukakan prestasi.

Menarik tentang LEAF Nismo ialah ia bukan hanya tentang aksesori sahaja. Talaan dilakukan pada komputer EV bagi memberikan respon pecutan yang lebih responsif dan beberapa naik taraf lain seperti set suspensi dan kita badan.

Berikut ialah ciri-ciri pada Nissan LEAF Nismo:

  • Prestasi pecutan yang responsif melalui tetapan semula komputer
  • Kit badan yang digunakan dapat menambah mendapan (downforce) kereta tanpa menjejaskan pekali seretan (drag coefficient)
  • Roda aluminium 18 inci
  • Sembilan pilihan warna iaitu Brilliant Silver Metallic/Super Black two-tone dan Dark Metal Grey Metalik/Super Black two-tone
  • Interior dengan kemasan berwarna merah dan panel instrumen dengan efek gentian karbon
  • Stereng berkuasa elektrik tetapan khas dan Intelligent Trace Control (sistem penstabilan selekoh) menawarkan pemanduan yang stabil

Nissan sebenarnya mempunyai sasaran besar dalam segmen kenderaan elektrifikasi apabila mahu menjual sejuta kenderaan setiap tahun menjelang tahun fiskal 2022. 

Nissan LEAF Nismo adalah keluarga terbaru dan yang pertama untuk sebuah EV dalam famili jenama prestasi ini. Divisyen penala dalaman Nissan ini mula menjual model khusus yang pertama iaitu Nissan Juke Nismo pada tahun 2013.

Divisyen ini kemudian menambah lagi beberapa model talaan rasmi iaitu Nissan March NISMO, Nissan Note NISMO, Nissan 370Z NISMO, Nissan GT-R NISMO dan Nissan Serena NISMO.

Sebelum ini terdapat laporan mengatakan bahawa Edaran Tan Chong Motor akan menawarkan Nissan LEAF di negara kita. Ini satu berita baik dan bertambah hebat jika ETCM turut menawarkan sekali varian LEAF Nismo.

Kredit foto: Nissan

BACA: TAHUKAH ANDA NISSAN 370Z NISMO ADA JUAL DI UAE? MODEL NISMO LAIN PUN ADA

BACA: NISSAN GT-R NISMO GT3, PACUAN BELAKANG SAHAJA

Google ads
Back to top button