Pandu Uji

PANDU UJI: VW GOLF R-LINE – CUKUPKAH UNTUK ANDA LUPAKAN GTI?

SHARE
New Triton 4Sure Power -MREC – Desktop

Populariti hatchback terkenal Volkswagen Golf di Malaysia boleh dikatakan memuncak menerusi model GTI MK5 sekitar tahun 2005.

Ketika itu, secara tiba-tiba sahaja semua orang yang inginkan sebuah hatchback berprestasi tinggi akan memiliki Golf GTI. Senang cakap, ia menjadi model paling laris yang ditawarkan oleh Volkswagen Malaysia, walaupun harganya pada waktu itu hampir mencecah RM200,000 seunit.

Status sebagai hatchback yang sedap dipandu terus dinikmati oleh Golf MK6 dan terkini MK7.5, biarpun Golf sudah ditawarkan dengan varian kurang berkuasa yang dijana oleh enjin 1.4 liter TSI.

Sebabnya, Golf tetap sebuah Golf. Volkswagen mahu memastikan DNA pemanduan dan pengendalian mantapnya dikekalkan biarpun sudah berada di pasaran sejak tahun 1974 menerusi tujuh generasi.

Sepanjang tempoh itu, lebih 34 juta unit dengan pelbagai varian bentuk badan Golf telah dihasilkan dan dijual di seluruh dunia. Malah secara purata, satu unit Golf baharu dibina, dibeli dan diserahkan kepada pelanggan pada setiap 40 saat, sejak empat dekad lalu.   

Untuk pasaran tempatan, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) mula memperkenalkan Golf yang telah ditambah baik pada Mac lalu. Pengguna kini mempunyai lebih banyak pilihan kerana ada Golf TSI Sportline, R-Line, Golf GTI dan Golf R ditawarkan.

Naik Bukit Putus

Baru-baru ini, saya berpeluang menyertasi sesi pandu uji Golf yang dianjurkan oleh VPCM. Tiga varian Golf iaitu R-Line, Golf GTI dan Golf R tersedia untuk diuji sebelum tiba ke destinasi akhir di Nusajaya, Johor Bahru.

Memandangkan saya lebih banyak memandu varian R-Line, lebih baik rasanya jika rebiu kali ini berlegar kepada varian itu sahaja. Ujian pertama jentera ini bermula sebaik sahaja memasuki lebuh raya menuju ke Bukit Putus yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Sedia maklum bahawa jalan lama yang memberi khidmat kepada penduduk di sekitar Kuala Pilah, Jempol dan Gemas itu menawarkan selekoh yang cukup seronok dilayan, apatah lagi jika kereta yang dipandu ialah sebuah Golf.

Ya. Ini ialah varian paling tak power kalau dibandingan dengan model GTI atau Golf R yang dipandu ketika mendaki dan menuruni Bukit Putus. Biarpun begitu, padanan enjin turbo berkuasa 150PS dan tork 250Nm dengan kotak gear berkembar direct shift klac kering 7 kelajuan (DSG) itu tetap mengujakan.

Seperti yang dijangka, agihan kuasa ke roda hadapan penukaran gear adalah pantas dan lancar. Ditinggalkan agak jauh oleh GTI dan R di hadapan, pemandu masih boleh mengambil selekoh pada kelajuan lebih tinggi daripada biasa dengan yakin.

Pengendalian mantap seperti dijangka

Keseronokan itu bagaimanapun kadang-kala sedikit terganggu dengan kehadiran kumpulan monyet dan anjing liar yang gemar bersidai di tepi jalan. Sepanjang perjalanan menaiki Bukit Putus, saya boleh katakan bahawa pengendalian Golf memang terbaik.

Apa jua selekoh boleh diambil dengan mudah tanpa banyak drama. Olengan tubuh adalah minimum dan cengkaman di atas jalan cukup memuaskan. Ditambah dengan rasa stereng yang tidak terlalu ringan, tidak sedar saya sudah berada di lokasi menukar penumpang.

Di lebuh raya, Golf R-Line dapat berfungsi seperti yang diharapkan. Kuasa boleh dirasai hampir serta-merta sebaik sahaja pedal minyak ditekan. Inilah keseronokan memandu jentera yang dilengkapi transmisi DSG. Penukaran gearnya pantas dan mengujakan.

Oh ya. Anda juga boleh memilih di antara mode pemanduan seperti Eco, Normal, Sport dan Individual mengikut kecenderungan atau mood ketika memegang stereng. Anda akan dapat merasakan perubahan dari segi tetapan enjin, transmisi dan stereng apabila mode pemanduan tersebut ditukar.

Padanan chasis baharu, sistem suspensi, tempat duduk, kedapan dalaman dan banyak lagi menawarkan pemanduan yang selesa sepanjang perjalanan. Bunyi angin tidak ketara. Namun, apa yang menjengkelkan saya ialah kualiti penerimaan frekuensi radionya. Ia langsung tidak jelas walaupun jalan yang dilalui bukanlah terlalu terpencil atau dilindungi bukit bukau, hutan dan sebagainya.

Ruang kabin lebih moden

Anda akan disambut dengan susun atur yang ringkas dan kemas sebaik sahaja masuk ke dalam kabin. Ruang tersebut dimonopoli oleh warna hitam, di samping kemasan perak pada corong pendingin hawa, stereng dan tombol gear.

Perbezaan ketara ruang kabin R-Line dengan varian asas Sportline atau model generasi sebelumnya ialah skrin sentuh bersaiz lapan inci pada papan pemuka dan Paparan Info Aktif sebesar 12.3 inci.

Skrin Composition Media didatangkan dengan ciri App-Connect yang menawarkan sistem-sistem seperti MirrorLink, Android Auto dan Apple Carplay. Sesuai sangat dengan pengguna sekarang yang langsung tidak boleh berenggang dengan telefon bimbit. 

Kedua-dua paparan itu membuatkan Golf kelihatan lebih moden dan berbaloi dengan harga RM166,990 yang dimintanya. Selain itu, Golf R-Line dilengkapi kamera undur (akhirnya), brek parkir elektronik, sistem kunci pintar KESSY, pendingin hawa 2-zon Climatronic dan banyak lagi.

Sebagai sebuah hatchback yang boleh menjadi kereta keluarga, ia tidak kedekut dengan ruang kargo apabila menawarkan kapasiti 380 liter. Ruang tersebut boleh ditingkatkan menjadi 1,270 liter apabila kerusi belakang dilipat.

Varian R-Line juga tidak berkompromi dari segi keselamatan. Selain tujuh beg udara, jentera itu kini dilengkapi pelbagai ciri keselamatan seperti Maneuver Braking, Automatic Post Collision Brake System, Rest Assist and Proactive Occupant Protection System, Advanced Electronic Differential Lock (XDS) dan banyak lagi.

Jadi, nak beli ke tidak?

Memang betul, pada harga hampir RM170,000 anda mempunyai banyak pilihan lain. Tetapi, kereta seperti Golf ini anda perlu pandu uji dahulu sebelum membuat keputusan akhir. 

Apa yang pasti, ia mungkin sudah boleh memuaskan hati (sedikit) jika varian GTI atau R masih jauh dari jangkauan gaji bulanan.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button
Close