
NISSAN MICRA EV DIPERKENALKAN SEBAGAI KEMBAR ELEKTRIK RENAULT 5 – JARAK GERAK SEHINGGA 407KM
Nissan secara rasmi telah mendedahkan model generasi keenam Micra, yang kini tampil sepenuhnya sebagai sebuah kenderaan elektrik (EV) dan buat pertama kalinya tanpa pilihan enjin pembakaran dalaman.
Kali ini, hatchback ikonik itu berkongsi platform dan teknologi dengan Renault 5 sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik Renault-Nissan-Mitsubishi Alliance.
Micra baharu ini dibangunkan khusus untuk menarik minat pembeli muda di Eropah, dengan matlamat mengubah persepsi model tersebut yang sering dikaitkan sebagai “kereta orang tua”.

Untuk rekod, sejak diperkenalkan 42 tahun lalu, Micra telah terjual lebih enam juta unit di seluruh dunia.
Micra kini diasaskan pada platform Ampr Small, dan ditawarkan dengan dua pilihan bateri: 40kWh dengan jarak pemanduan sekitar 310km, dan 52kWh dengan jarak sehingga 407km (mengikut ujian WLTP).
Varian tertinggi menyokong pengecasan pantas 100kW, membolehkan cas dari 15% ke 80% dalam masa hanya 30 minit.

Motor elektrik hadapan tunggal menghasilkan 121hp untuk versi 40kWh dan 148hp untuk versi 52kWh. Model ini akan dipasang di Douai, Perancis, iaitu kilang sama yang mengeluarkan Renault 5.
Namun, perbezaan ketara Micra generasi baharu ini terletak pada reka bentuknya yang berani dan moden. Pereka bentuk luaran Nissan, Yongwook Cho, berkata pasukannya diberi kebebasan untuk mencipta sesuatu yang lebih mencerminkan identiti Nissan, walaupun menggunakan asas sama seperti Renault 5.
Gaya baharu ini mengambil inspirasi daripada Micra generasi ketiga (2002) dengan lampu nyalaan siang (DRL) bulat di hadapan dan belakang. Bahagian bonet direka lebih panjang dan tinggi dengan lengkuk roda yang lebih menonjol, menjadikan siluet Micra lebih menyerupai crossover berbanding hatchback biasa, mirip Renault Megane dari segi aura.

Di dalam kabin, Micra mengekalkan susun atur Renault 5 dengan dua skrin 10.25-inci dan penggunaan material yang sama, tetapi dengan pilihan warna lebih tenang seperti putih, kelabu dan hitam bagi memberikan aura premium.
Menurut ketua pemasaran Eropah Nissan, Arnaud Charpentier, Micra akan ditawarkan pada harga lebih tinggi berbanding Renault 5 yang bermula sekitar £22,995 (RM139,000) di UK.
Menurut Charpentier lagi, pembeli Micra di Perancis dan Sepanyol terdiri daripada golongan muda, di mana hampir 95 peratus daripadanya wanita.

Justeru, model baharu ini direka untuk lebih neutral dari segi jantina serta lebih inklusif kepada pelbagai gaya hidup moden termasuk ibu bapa muda.
Walaupun beralih sepenuhnya kepada kuasa elektrik, Nissan optimis bahawa jenama Micra yang kukuh masih mampu menarik minat pengguna, terutamanya di UK dan Itali di mana nama Micra lebih kukuh berbanding Renault 5.
Micra baharu merupakan sebahagian daripada empat EV yang bakal dilancarkan Nissan menjelang 2026, termasuk Leaf crossover baharu, Juke elektrik dan model A-segmen kembar Renault Twingo.