Buletin

CHERY, MIDA LANCAR PROGRAM PREMIER SUPPLY CHAIN SYNERGY

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersama Chery Corporate Malaysia Sdn. Bhd. telah melancarkan Chery Premier Supply Chain Synergy Programme, sekali gus membuka lembaran baharu bagi kerjasama strategik antara pemain industri tempatan dan global.

Inisiatif ini berlangsung di ibu pejabat MIDA minggu lalu dengan sokongan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Program sulung ini menghimpunkan 12 pembekal teknologi utama Chery dari China dan 23 pembekal tempatan, mewujudkan platform kukuh untuk pemindahan teknologi, kerjasama pelaburan serta pembangunan kapasiti industri automotif Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, program ini memainkan peranan penting dalam merealisasikan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen menegaskan komitmen Chery terhadap pemerkasaan industri tempatan.

Antara tumpuan utama acara ini ialah pembentangan pelan pembangunan Chery Smart Auto Industrial Park yang bakal dibina di Beringin High-Tech Auto Valley.

Projek mega ini dijangka menjadi pusat pengeluaran utama Chery di rantau Asia Tenggara, sekaligus melonjakkan Malaysia sebagai tapak penting dalam strategi global syarikat tersebut.

Majlis itu turut menyaksikan pemeteraian empat Memorandum Persefahaman (MoU) strategik, melibatkan kerjasama dalam bidang komponen automotif, pelaburan bersama dan pemindahan teknologi:

  • Wuhu Atech Automotive Electronics Co., Ltd dengan Multi-Code Electronics Industries (M) Bhd
  • Cheling Smart Mobility Technology (Wuhu) Co., Ltd dengan Multi-Code Electronics Industries (M) Bhd
  • Zhejiang Wanliyang Co., Ltd dengan Chery Corporate Malaysia Sdn. Bhd
  • Wuhu Qida Power Battery Systems Co., Ltd dengan Chery Corporate Malaysia Sdn. Bhd

Usaha ini secara langsung memperkukuh peranan Malaysia dalam rantaian bekalan automotif global, khususnya dalam bidang elektrifikasi dan mobiliti pintar.

Dengan hala tuju yang jelas serta sokongan padu daripada kerajaan, Malaysia kini berada pada landasan tepat untuk muncul sebagai hab automotif serantau yang berdaya saing dan berinovasi tinggi.

Google ads
Back to top button