Pandu Uji

MERCEDES-BENZ GLC 350e COUPE – BUKAN SEKADAR GAYA, INI IDENTITI T20

Dulu bila sebut SUV Coupe, ramai yang skeptikal dan memberi pandangan sinis.

“Gaya je lebih, praktikal entah ke mana.”

Tapi kali ni Mercedes-Benz datang dengan GLC 350e Coupe, sebuah plug-in hybrid (PHEV) yang bukan saja nampak mewah dan berstatus, tapi juga tampil dengan teknologi canggih serta prestasi yang betul-betul mengejutkan.

GLC 350e Coupe jelas menyasarkan golongan muda dan eksekutif. Berbeza dengan SUV biasa yang fokus pada keluarga, suv coupe ini lebih kepada ekspresi gaya hidup. Ia ibarat kenderaan untuk mereka yang melihat kereta sebagai lambang identiti tersendiri.

Bukan kotak besi tanpa jiwa yang membawa mereka ke destinasi semata-mata. Masakan tidak pemilik kereta jenama biasa seperti Perodua Bezza, Perodua Ativa, atau Perodua Myvi pun sanggup berhabis duit bagi mengubahsuai kenderaan mengikut cita rasa bagi menonjolkan identiti pemilik.

Walaupun imej coupe ini nampak sporty, tapi GLC 350e bukanlah dalam kategori fastback. Bahagian belakang dihasilkan dengan falsafah & gaya sedan. Rekaan ini berjaya menurunkan pekali seretan (drag coefficient) dari angka 0.29 ke 0.27, lebih rendah berbanding dengan GLC SUV yang biasa

Memenuhi citarasa pembeli di Malaysia yang mahukan rekaan yang lebih bergaya, GLC 350e tampil dengan aksesori AMG Line yang merangkumi

  • Apron hadapan AMG dengan kemasan krom dan lubang udara sporti
  • Diffuser belakang gaya AMG lengkap dengan paip ekzos palsu
  • Skirt sisi AMG lengkap dengan pemijak sisi
  • Rim AMG 20 inci
  • Cakera brek lebih besar untuk prestasi brek yang lebih yakin

Di sebalik penampilan bergaya, jantung GLC 350e Coupe menampilkan sistem hibrid plug-in yang benar-benar serius. Sudah tentu enjin 4 silinder 2000cc M254 turbo masih kekal memberikan khidmat dengan hamburan kuasa 204 PS dan 320Nm tork.

Jika dibandingkan dengan model lama, seperti ada kekurangan kuasa jika perbandingan dibuat di atas kertas. Namun kuasa ini ditemani oleh motor elektrik yang “ditanam” di dalam kotak gear 9 kelajuan dengan janaan kuasa 129PS dan 440Nm tork

Paduan kuasa enjin dan motor elektrik ini menjana sehingga 313PS dan 550Nm tork, disalurkan melalui transmisi 9G-Tronic dengan “torque converter” dan dihantar ke semua roda menerusi sistem pacuan semua roda 4Matic. Pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 6.7 saat dan halaju tertinggi ialah 218km/jam

GLC 350e Coupe dilengkapi dengan bateri berkapasiti 31kWh, yang boleh dianggap besar bagi sebuah model plug-in hybrid (PHEV). Dengan kapasiti ini, ia mampu menawarkan jarak pemanduan sehingga 131km dalam mod elektrik sepenuhnya (WLTP), satu jarak yang sangat kompetitif dan antara yang tertinggi dalam segmen PHEV.

Proses pengecasan pula menyokong format AC sehingga 11kW, membolehkan bateri dicas penuh dalam tempoh sekitar 2 jam sahaja. Namun, satu kekurangan yang mungkin mengecewakan sesetengah pengguna ialah tiadanya sokongan pengecasan pantas DC.

Ruang dalaman GLC 350e Coupe menampilkan pendekatan rekaan baharu yang lebih moden dan intuitif. Di tengah papan pemuka terletak skrin infotainmen 12 inci yang berdiri tegak, dilengkapi sistem MBUX generasi terkini dengan perisian MBUX yang responsif dan mesra pengguna.

Salah satu perubahan ketara ialah susunan semula corong penyaman udara, yang kini berada di atas skrin, berbanding di bawah seperti pada model terdahulu, sekaligus memberikan sentuhan visual lebih bersih dan kemas.

Untuk pengalaman audio premium, sistem Burmester 3D Surround dipasang secara standard, menawarkan 15 speaker dan 710W kuasa yang menghasilkan bunyi yang imersif di seluruh kabin. Cuma sayangnya penulis tidak berjaya menemui tetapan audio yang kena dengan telinga penulis

Walaupun paparan skrin utama bersifat digital sepenuhnya, Mercedes masih mengekalkan beberapa butang fizikal jenis kapasitif untuk fungsi penting seperti pemilihan mod pemanduan, kawalan audio, kamera, dan mod pemanduan.

Tambahan menarik lain termasuk pengimbas cap jari, membolehkan pemandu terus ke profil peribadi mereka dengan mudah dan cepat. Dengan hanya sentuhan cap jari, kusyen, cermin sisi, stering dan semua tetapan diubah kepada profail pemandu yang telah tersimpan

Bahagian tempat duduk belakang GLC 350e Coupe menawarkan kemudahan asas yang praktikal, termasuk perehat tangan lengkap dengan pemegang cawan untuk keselesaan penumpang. Tapi ada kekurangan kecil yang mengejutkan untuk sebuah model segmen premium, seperti ketiadaan port USB-C di belakang yang boleh menjadi isu jika penumpang yang ingin mengecas peranti semasa perjalanan.

Dari segi keselesaan, lantai belakang mempunyai “hump” yang agak tinggi, mungkin disebabkan oleh laluan sistem pacuan 4MATIC dan penyusunan pek bateri. Ini boleh menjejaskan keselesaan penumpang tengah bagi perjalanan jauh.

Untuk ruang kargo pula, GLC 350e menawarkan kapasiti but sebanyak 400 liter, dan boleh ditingkatkan sehingga 1,490 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Namun, perlu diingat bahawa ruang ini agak terhad berbanding SUV konvensional kerana bateri besar 31kWh yang disimpan di bawah lantai but.

Tapi kekuatan sebenar GLC 350e Coupe bukanlah ruang, tapi sistem PHEV mampu menawarkan dua karekter pemanduan berbeza dalam satu platform sama. Pemandu boleh memilih untuk menjadi kereta elektrik untuk pemanduan bandar, menjadi kereta petrol untuk pemanduan jarak jauh atau menggunakan mode hibrid.

Pengalaman pemanduan GLC 350e Coupe sangat memuaskan, dengan karekter yang tenang, lancar dan sangat responsif, hasil gabungan kuasa enjin turbo bersama motor elektrik. Ini adalah karekter mewah dan klasik sebuah jentera dengan logo 3 bintang

Dalam mod EV, sistem regeneratif brek yang kuat membolehkan pemandu hampir tidak perlu menekan brek, terutama apabila menggunakan sistem Distronic (Adaptive Cruise Control). Sistem ini diaktifkan secara automatik memberikan sensasi seakan pemanduan satu pedal, yang bukan sahaja menjimatkan tenaga tetapi juga menjadikan pemanduan lebih relaks dalam kesesakan trafik.

Tahap kesenyapan kabin juga mengagumkan. Dengan bacaan NVH (Noise, Vibration, Harshness) serendah 53dB, GLC 350e menawarkan suasana dalam kabin yang sangat senyap dan setanding dengan model elektrik penuh. Ia sesuai untuk pemandu yang menghargai keselesaan dan ketenangan tanpa mengorbankan prestasi.

Walaupun memiliki sistem hibrid yang kompleks dan saiz agak besar, GLC 350e Coupe masih mengekalkan tahap kecekapan bahan api yang baik. Dalam mod hibrid, penggunaan bahan api sekitar 24.8km/l sahaja, menjadikannya antara SUV premium paling jimat dalam kelasnya.

Transmisi 9G-TRONIC automatik pula bekerja dengan sangat lancar, membolehkan pemandu mengekalkan halaju pada 140 km/j dengan hanya 2,000 RPM, sekaligus menambah lagi aspek kecekapan dan keselesaan ketika cruising di lebuh raya.

Sistem brek dalam mod enjin (ICE) masih meneruskan fungsi brek regeneratif, membantu mengecas semula bateri secara aktif ketika membrek, dan yang penting, ia tidak rasa lembap atau ‘spongy’, sebaliknya memberi maklum balas yang meyakinkan.

Sementara itu, sistem stereng turut menyerlah dengan respon yang cepat dan tajam, terutama ketika membelok, namun masih mengekalkan kestabilan yang tinggi ketika pemanduan berkelajuan. Apa yang menarik berkenaan dengan stering GLC 350e ialah karekter yang berbeza ketika jalan lurus dan selekoh

Di jalan lurus, stering kelihatan malas dan mengekalkan kestabilan jalan lurus dengan baik. Namun dengan hanya memerlukan 1.3 pusingan ke kiri atau kanan, ratio stering berubah dengan drastik ketika melalui selekoh, menjadi lebih tajam dan sporti

Aspek pengendalian GLC 350e Coupe turut diperkemas dengan sistem suspensi canggih. Di bahagian hadapan, ia menggunakan suspensi jenis 4-link, manakala di belakang dipasang multi-link lengkap dengan sistem “air suspension” serta penyerap hentakan pasif.

Gabungan ini memberikan keseimbangan antara keselesaan dan kestabilan, sama ada ketika melalui jalan bandar atau permukaan kasar. Pemandu juga boleh memilih daripada pelbagai mod pemanduan antara Eco, Comfort, Sport, Individual dan Off-Road yang akan menyesuaikan respon kuasa, stereng dan suspensi mengikut keperluan.

Namun, satu kekurangan kecil yang mungkin dirasai oleh sesetengah pengguna ialah pada tempat duduk sporti dengan ‘seat bolster’ tebal. Walaupun menyokong badan dengan baik ketika mengambil selekoh, ia agak sukar untuk dilaras mendapatkan posisi paling selesa. Malah bolster berkenaan mengganggu pergerakan siku kiri dan kanan penulis sehingga terasa sikit rimas

GLC 350e Coupe dilengkapi dengan Driving Assistance Package Plus yang lengkap dan canggih, menjadikan pemanduan lebih selamat. Antara ciri utamanya termasuk lane centring assist yang membantu mengekalkan kenderaan di lorong secara automatik, serta blind spot monitoring dengan fungsi brek AEB untuk mengelakkan perlanggaran ketika menukar lorong.

Sistem ini juga dipertingkatkan dengan front dan rear cross traffic alert yang diberi sokongan oleh AEB, sangat berguna ketika keluar atau memasuki kawasan parkir yang sibuk.

Ciri Distronic Adaptive Cruise Control yang menjadi ciri standard bukan sahaja mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan di depan, malah turut menyokong fungsi regenerative braking, yang menjadikan pemanduan lebih lancar dan efisien terutamanya dalam trafik sesak.

Ya, bentuk GLC 350e coupe ni nampak sempit dan mungkin tak logik untuk sesetengah pembeli SUV yang mengutamakan ruang maksimum. Tapi bagi pemandu yang mencari gaya hidup individualistik, prestasi tanpa batas, dan teknologi hibrid PHEV sebenar, GLC 350e Coupe memberikan pakej yang sangat meyakinkan.

Dengan rupa yang garang, kuasa hibrid luar biasa dan keselesaan tipikal Mercedes-Benz, model ni adalah antara PHEV paling stylo dalam pasaran sekarang. Tapi dengan harga RM 425,888 pastikan anda mendaftar sebagai golongan pembayar cukai T20 sebelum menjadikan GLC 350e ini sebagai impian.

Google ads
Back to top button