
NISSAN MURANO 2025 DAPAT TOP SAFETY PICK+, INI CARA NISSAN BUAT
Kemalangan jalan raya boleh berlaku dalam sekelip mata, namun proses mereka bentuk sebuah kenderaan yang selamat memerlukan dedikasi bertahun-tahun.
Pencapaian Nissan Murano 2025 yang dianugerahkan pengiktirafan TOP SAFETY PICK+ daripada IIHS adalah bukti kepada komitmen Nissan terhadap keselamatan.
Kepada yang belum tahu, Murano kini berada dalam generasi keempat selepas diperkenal pada November 2024 di Amerika Syarikat (A.S).
Pencapaian Murano adalah hasil daripada kerja keras jurutera keselamatan Nissan, termasuk pasukan pakar di Nissan Safety Advancement Lab.
Terletak di sebuah fasiliti canggih bernilai $40 juta berhampiran Detroit, makmal ini menjalankan kira-kira 400 ujian kemalangan setiap tahun.
Ujian-ujian ini direka untuk mensimulasikan pelbagai senario dunia sebenar, memastikan kenderaan diuji dalam keadaan yang paling realistik.
“Sepanjang keseluruhan proses pembangunan kami, kami sentiasa memikirkan tentang pelanggan,” kata Derrick Diver, Jurutera Prestasi Keselamatan Kanan Nissan. “Kami menetapkan sasaran untuk mencapai penarafan tertinggi yang mungkin untuk Murano.”
Murano dilengkapi teknologi Nissan Safety Shield 360 untuk membantu mengelakkan kemalangan, dan direka bentuk untuk melindungi pemandu dan keluarga mereka jika ia (kemalangan) berlaku.
Keselamatan Dipertingkat di Setiap Tempat Duduk
Sebahagian daripada syarat untuk mendapatkan anugerah IIHS TOP SAFETY PICK+ adalah kenderaan tersebut melindungi penumpang dengan baik dalam ujian ofset (deformable, offset barrier/ODB) pada 40 batu sejam (64.37 km/j).
Untuk mencapai keputusan ini, jurutera Nissan mengulangi ujian kemalangan itu berkali-kali di fasiliti mereka sendiri.
Setiap ujian diikuti dengan analisis terperinci, dan sebarang pelarasan yang diperlukan dilaksanakan untuk ujian seterusnya.
Peralatan pemantauan canggih di dalam kenderaan dan pada patung ujian kemalangan membekalkan data kritikal tentang bagaimana kenderaan menyerap tenaga impak, dengan itu mengurangkan kesan ke atas penumpang.
Kamera berkelajuan tinggi turut digunakan untuk merakam bagaimana tali pinggang keledar berfungsi, memastikan penumpang diletakkan secara optimum untuk berinteraksi dengan beg udara Murano, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan.
“Jurutera keselamatan dan reka bentuk Nissan bekerjasama rapat untuk memastikan struktur badan Murano berubah bentuk seperti yang direka untuk menyerap tenaga semasa kemalangan dan melindungi penumpang,” jelas Diver.
Dalam pembangunan Murano serba baharu, penekanan khusus diberikan kepada peningkatan keselamatan penumpang di tempat duduk belakang.
Ini termasuk memastikan sistem tali pinggang keledar dapat membantu mencegah fenomena “submarining”, di mana penumpang mungkin tergelincir di bawah bahagian tali pinggang paha, yang boleh meningkatkan risiko kecederaan.
“Mempunyai tempat duduk belakang yang selamat adalah aspek penting dalam mana-mana kenderaan,” kata Jeff Sitko, Pengurus Prestasi Keselamatan Nissan. “Di situlah kita sering menempatkan ahli keluarga yang lebih muda, jadi kami merekayasa ia agar selamat yang mungkin.”
Untuk mencapai penarafan ujian individu tertinggi IIHS, iaitu “Baik,” penumpang tempat duduk belakang mesti dilindungi dengan baik dalam ujian impak hadapan sederhana yang dikemas kini.
“Murano menunjukkan prestasi yang sangat baik,” tambah Sitko. “Interaksi penumpang tempat duduk belakang dengan tali pinggang keledar dan beg udara adalah cemerlang.”
Ujian Kemalangan Yang Mencabar Menguji Ketahanan
Seperti semua kenderaan Nissan, Murano telah menjalani pelbagai ujian kemalangan, termasuk ujian impak hadapan, sisi, belakang, dan pejalan kaki.
Salah satu ujian yang paling mencabar ialah ujian tiang sisi (side oblique pole test), yang mensimulasikan senario kenderaan melanggar penghalang keras berbentuk tiang dari sisi.
Ujian ini adalah sebahagian daripada Program Penilaian Kereta Baharu (NCAP) kerajaan persekutuan A.S, di mana Murano telah memperoleh penarafan keselamatan keseluruhan lima bintang.
“Ia menggambarkan situasi di mana kenderaan mungkin tergelincir dan melanggar tiang utiliti, contohnya,” terang Adam Gohl, Jurutera Prestasi Keselamatan Nissan.
Kemalangan yang dramatik ini menguji dengan ketara keberkesanan beg udara sisi dan tirai kenderaan.
Proses reka bentuk beg udara memerlukan ketepatan yang tinggi, di mana kenderaan perlu menentukan sama ada untuk mengaktifkan beg udara dalam masa hanya 10 milisaat.
“Sejurus selepas ujian, kami segera memeriksa sama ada beg udara telah terbuka dengan betul. Kepala patung diwarnakan, membolehkan kami menilai pemindahan cat dari kepala ke beg udara tirai. Ini membantu kami menilai di mana penumpang bersentuhan dengan beg udara dan sama ada ia selaras dengan zon yang ditetapkan,” kata Gohl.
Jurutera turut meneliti kenderaan untuk memastikan pintu kekal berkunci dan tiada kebocoran bahan api. Ujian tiang condong adalah penunjuk utama kekuatan struktur kenderaan.
“Terima kasih kepada reka bentuk struktur badan impak sisi yang mantap, jumlah penerobosan tiang yang kami lihat adalah sangat terhad,” tambah Gohl.
Dalam ujian impak hadapan dan sisi, Murano menunjukkan prestasi yang sangat baik.
Jurutera keselamatan Nissan sering menerima ucapan terima kasih daripada pelanggan yang terselamat dalam kemalangan.
“Orang ramai berkongsi kisah bagaimana mereka terselamat dalam kemalangan, sistem perlindungan berfungsi seperti yang direka, dan struktur badan memastikan mereka selamat. Itu sangat memberi inspirasi,” kata Gohl.
Bagi pasukan kejuruteraan ini, mencipta kenderaan yang selamat adalah sesuatu yang peribadi. Mereka memandu kenderaan Nissan, begitu juga dengan orang yang mereka sayangi.
“Saya mempercayai kenderaan yang saya reka untuk membantu menjaga keselamatan keluarga dan rakan-rakan saya,” kata Sitko.
“Mereka tidak perlu risau tentang keselamatan kerana saya lakukannya. Itu adalah perasaan yang sangat memuaskan.”
Spesifikasi Nissan Murano 2025
- Enjin: KR20DDET 2.0L VC-Turbo
- Kuasa: 241 hp @ 5,600 rpm
- Tork: 352.5 Nm @ 4,400 rpm
Transmisi dan Sistem Pacuan
- Konfigurasi Pacuan:
- AWD: Intelligent AWD
- FWD: FWD
- Jenis Transmisi: Automatik 9-kelajuan
Dimensi
- Jarak Roda: 2824.48 mm
- Panjang Keseluruhan: 4900.66 mm
- Lebar Keseluruhan: 1981.2 mm
- Tinggi Keseluruhan: 1724.66 mm
- Kelegaan Bumi Minimum: 210.82 mm
Harga Nissan Murano 2025
- SV FWD 2.0L VC-Turbo 9 AUTO: $40,470 (RM 190,607.70)
- SV AWD 2.0L VC-Turbo 9 AUTO: $41,470 (RM 195,311.70)
- SL AWD 2.0L VC-Turbo 9 AUTO: $46,560 (RM 219,309.60)
- Platinum AWD 2.0L VC-Turbo 9 AUTO: $49,600 (RM 233,616.00)
Kredit gambar: Nissan


















