Buletin

NISSAN PERLU BANGKIT SEGERA

Nissan merupakan satu jenama yang cukup dikenali di Malaysia. Jika anda ke Genting Highland anda mungkin akan jumpa Nissan Sentra masih digunakan sebagai teksi. Mungkin ibu bapa anda pernah memandu Nissan Sunny. Penulis masih ingat Nissan C20 yang dipandu oleh atuk dan juga Nissan Vannette yang dimiliki oleh ayah.

Nissan terkenal dengan produk yang murah, lasak dan tak banyak karenah. Kemuadian ia berkembang menjadi sebuah kereta yang senyap dan selesa. Manakala poster Nissan Skyline GTR dan 350Z mula menghiasi bilik budak lelaki. Kalau anda kaki permainan video Gran Turismo, adalah satu kebanggaan jika anda mampu menala enjin RBDET menjadi 1000 kuasa kuda.

Namun hari ini jenama Nissan dilihat semakin tenggelam. Tidak banyak model baru yang diperkenalkan di pasaran. Nissan masih menjual Almera sedangkan Vios dan City sudah berubah dalam 2 generasi. Di Amerika, imej dan jenama Nissan tercalar dengan masalah kualiti yang dihasilkan oleh vendor terutamanya komponen CVT.

Apabila Nissan membuat pelaburan dan membuka kilang pemasangan pertama di Segmabut pada thaun 1978, ia membuka banyak peluang pekerjaan dan perniagaan sokongan kepada ekonomi tempatan. Nama nama seperti Sentra, Bluebird, Serena dan Terano dikenali sebagai kenderaan yang boleh diharap dan sedap dipandu . Masakan tidak Sentra dijadikan teksi untuk memanjat Genting Highland.

Nissan banyak mengeluarkan perbelanjaan untuk tujuan pembangunan produk dan menjadikan mereka semakin bagus. Nissan mengeluarkan kereta sport FR yang dikenali dengan nama Z siri sehinggalah 370Z. Tidak cukup dengan itu mereka turut menghasilkan Nissan Silvia dan juga Skyline GTR. Sehinggalah pada satu ketika mereka tidak lagi mampu mengaut keuntungan hasil daripada jualan kereta mereka

Masalah ini bermula daripada tahun 1993 apabila mereka mencatatkan kerugian 7 tahun berturut-turut. Apabila anda gagal membuat keuntungan, maka tiada duit yang boleh dilaburkan bagi tujuan R&D. Antara masalah Nissan HQ ketika ini ialah unit pemasaran yang tidak kreatif, masalah terlebih kakitangan, perbalahan dengan kesatuan sekerja, dan juga rekaan produk yang membosankan

Antara tahun 1985 ke 1999, jualan Nissan di Amerika menguncup 25% dan di Jepun kedudukannya jatuh ke nombor tiga di belakang Toyota dan Honda. Antara tahun fikal 1998-1999, Nissan kerugian sebanyak USD 5.6 billion. Ketika itu kerugian kumulatif Nissan mencecah 22 billion dan ia gagal membayar pelaburan kepada rakan niaga sebanyak 20 billion.

Penulis merupakan lulusan kejuruteraan automotif dan bukannya lulusan perniagaan. Namun penulis penulis pasti kesemua nombor tersebut bukanlah satu angka yang bagus. Ketika pesaingnya yang lain melancarkan model baru dalam masa 4 tahun, Nissan masih lagi menjual model lama. Pada tahun 1999 Nissan memerlukan white knight bagi membantu mereka.

Ketika ini Renault datang sebagai pelabur baru bagi memulihkan kembali Nissan dalam perniagaan. Renault diberi pegangan sebanyak 36% sebagai pertukaran syarat iaitu mereka perlu mengambil alih hutang lapuk Nissan sebanyak 5.4 billion. Sama macam Tan Sri Tony mengambil alih Air Asia satu ketika dahulu.

Kebaikannya ialah Renault dapat menggunakan saluran pengedaran Nissan bagi memasarkan kereta buatan Renault pada masa yang sama di Jepun. Renault menghantar Carlos Ghosn sebagai sebahagian daripada pakej pemulihan yang dipersetujui antara Nissan dan Renault. Nanti ada masa kami buat artikel berkenaan dengan Carlos pula.

Siapa yang pernah bekerja dengan syarikat Jepun akan sedar bahawa mereka mempunyai budaya yang sangat berhati-hati dalam melakukan keputusan terutamanya apabila melibatkan penggunaan duit dan kualiti. Biar produk mereka susah untuk dihasilkan asalkan kualitinya boleh tahan mungkin 15 tahun.

Perkara ini disedari oleh Carlos yang mendapati kos pengeluaran kereta Nissan lebih mahal dan reaksinya ialah menjadikan komponen Nissan semakin murah. Dalam kejuruteraan, cara untuk mengurangkan kos ialah dengan menukar material atau bahan yang dihasilkan. Gantikan besi dengan plastik, metarial gred B atau apa sahaja. Asalkan kos pengeluaran kurang

tiada kaitan dengan kahwin 2

Dari sudut perspektif bisnes, ia menjimatkan kos dan mendatangkan keutungan kepada syarikat. Namun pada masa yang sama pengguna mulai merungut yang kereta Nissan tidak lagi lasak seperti dulu. Masalah ini juga turut melibatkan pembekal transmisi Nissan seperti JATCO

Japan Auto Transmission Company membekalkan unit transmisi kepada Nissan , Mitsubishi, Suzuki dan Subaru. Salah satu sebab Nissan mula menggantikan transmisi automatik 4 kelajuan kepada CVT ialah penjimatan bahan api yang ditawarkan oleh CVT. Sama seperti Aisin yang dimiliki oleh Toyota, Nissan turut memiliki saham dalam Jatco.

Masalah yang serius ini menyebabkan Carlos memberi kata dua kepada Jatco agar menghasilkan komponen yang lebih berkualiti. Di Amerika, masalah ini mulai timbul pada 60,000 batu iaitu sebaik sahaja jaminan Nissan mulai tamat. Namun sebaik sahaja Nissan kalah kepada pengguna dalam mahkamah yang melibatkan kes CVT, Nissan menambah masa jaminan kepada 100,000 batu.

Untuk memastikan Nissan terus kekal, Carlos memberi idea untuk Nissan menghasilkan semula kereta rakyat. Maka nama seperti Nissan Versa, Almera dan Latio mulai dihasilkan. Walaupun ia kereta yang selesa dipandu dan murah, ia gagal mengembalikan nastolgia peminat Nissan.

Warna krim beige dengan corak rekaan kayu digunakan pada bahagian papn pemuka, sistem audio yang ketinggalan dan kereta yang suka berjoget di selekoh menjadikan Nissan gagal memahami kehendak pengguna generasi baru walaupun ia dapat dijual dengan bayak. Tiada masalah jika anda berada di bahagian penumpang dalam aplikasi kereta seru pandu

Pada masa yang sama jenama Asia yang lain mulai mengejar Nissan dari segi teknologi dan juga harga. Proton memperkenalkan banyak model baru pada harga mampu milik dan perlindungan cukai yang tinggi, Kia dan Hyundai mulai membanjiri pasaran. Keupayaan produk Kia dalam meningkatkan kualiti menyebabkan pengguna mulai beralih arah.

Pengguna mulai memilih segmen D jenama Korea yang dijual pada harga Segmen C Nissan. Jenama Korea pada satu ketika dahulu dijadikan bahan lawak dalam rancangan Top Gear mulai menunjukkan taring mereka. Hasil pelaburan dalam pembangunan teknologi menyebabkan pengguna mulai bertukar selera. Siapa sangka Kia Forte boleh jadi sangat segak apabila ia direka oleh Peter Schereyer.

Model halo Nissan seperti Nissan GTR yang diperkenalkan pada tahun 2007 masih lagi tiada pengganti. Hanya mendiang Paul Walker sahaja yang mempularkan GTR di dalam francais filem Fast & Furious. Peminat dan bakal pembeli sudah bosan dengan rekaan yang sama walaupun kuasa enjin sering dinaik taraf pada 2011 dan 2017. Nissan 370Z pula telah beberapa kali melalui proses facelift.

Itu model paling canggih Nissan tuan. Model murahan seperti Almera dan Grand Livina (sudah ditamatkan pengeluaran) akan dihasilkan dengan pelbagai varian bermula dari Impul kepada Nismo. Kami tidak pasti adakah pengguna mulai bosan atau tidak. Apabila Nissan gagal menjentik minat bakal pengguna, ia akan mulai hilang bakal pembeli.

Pada Julai 2019, Nissan HQ mengumunkan kemerosotan jualan yang semakin teruk. Jualan mereka merosot 12.7% berbanding tahun 2018, keuntungan dari operasi menurun 98.5% dan keseluruhan pendapatan mereka menurun 94.5%. Jadi cara paling mudah untuk melepaskan diri ialah dengan mencari kambing hitam iaitu Carlos Ghosn

Carlos dituduh menggelapkan duit syarikat (patutla digelar kambing hitam) serta pecah amanah. Dia ditahan pada 19 November 2018 sebaik sahaja sampai di lapangan terbang Jepun dengan jet peribadinya. Melalui siasatan dalaman yang dibuat oleh Nissan, Carlos didapati tidak jujur iaitu menyalahgunakan duit Nissan untuk pelaburan peribadi serta menggunakan aset Nissan atas kapasiti peribadi.

Nissan perlukan produk dan sentuhan baru bagi menjenamakan semula identiti Nissan. Pecat sajalah designer yang buat Almera tue. Kami sangat berharap agar Nissan kembali dengan produk yang segar seperti Almera baru dan Altima baru ke Malaysia. Identiti Nissan ialah ia sebuah produk yang lasak dan kami berharap Nissan kembali menghasilkan kereta yang berkualiti. Hanya boleh dimusnahkan oleh periuk api anti kereta kebal.

Ya ada juga produk Nissan yang bagus seperti Nissan Leaf namun tak semua peminat Nissan merupakan pencinta alam sekitar kerana sesetengah daripda mereka masih kentut bersepah dan buang sampah merata-rata. Hasilkan semula produk yang popular seperti Silvia dengan teknologi hibrid dan elektrik dengan keupayaan melakukan drift.

Jangan biarkan Mazda terus gemilang dengan Miata dan Toyota terus cemerlang dengan GT86/BRZ. Hasilkan satu produk baru yang mempuyai identiti Nissan iaitu tahan lasak dan meriangkan. Kami pernah menyiarkan artikel bagaimana Nissan melalui syarikat Infiniti mampu membangunkan enjin dengan nisbah mampatan yang berbeza.

Nissan perlu membawa masuk model terbaru mereka seperti Altima dan Almera serba baru bagi menggantikan Almera lama. Crossover kecil seperti Nissan Kicks perlu dibawa masuk bagi menemani Xtrail. Bagi merendahkan harga Nissan Leaf, mungkin Nissan boleh mencari jalan agar ia boleh dipasang di Malaysia dan harga jualanya boleh direndahkan.

Namun paling penting agar Nissan dapat mengkaji semula semua vendor yang membekalkan komponen yang bermasalah agar isu kualiti tidak lagi menghantui pemilik Nissan. Sekiranya JATCO gagal menghasilkan komponen yang berkualiti, pilihan yang ada ialah hasilkan sendiri CVT seperti Honda ataupun tukar kepada Aisin.

Jika Nissan gagal bertindak cepat, maka jenama ini akan tenggelam dalam arus persaingan global yang sengit. Siapa cepat, dia dapat.

Google ads
"
"
Back to top button