Artikel Pilihan

CARLOS GHOSN FAILKAN SAMAN USD1 BILLION TERHADAP NISSAN – MINTAK SIKIT BOLEH?

Carlos Ghosn ialah bekas peneraju Nissan yang banyak sumbangannya sebelum dikenakan tuduhan penyelewengan, dipecat dan dikenakan hukuman penjara di Jepun. Nasib la bila orang dah tak suka kan? Kini Ghosn kini kembali menggegar dunia dengan memfailkan saman terhadap Nissan sebanyak USD1 billion (korang semak sendirilah dalam RM, banyak sangat nombornya).

Ghosn dikenakan tuduhan penyelewengan kewangan pada tahun 2018 di Jepun dikenakan tahanan rumah tapi berjaya melarikan diri ke Lebanon pada tahun berikutnya. Beliau mendakwa tuduhan terhadapnya merupakan satu rancangan daripada bos-bos Nissan yang cuba menghalang usaha Ghosn menggabungkan Nissan dan Renault.

Hero dunia automotif Jepun dalam sekelip mata menjadi penjenayah di Jepun. Nissan turut memfailkan saman sivil terhadap kerugian yang dikatakan dialami mereka. Menariknya kini Ghosn turut memfailkan saman ganti rugi terhadap Nissan. Banyak pula tu.

Menurut Auto News, Ghosn memfailkan saman di mahkamah Lebanon Mei lalu terhadap Nissan, dua lagi syarikat lain dan 12 orang individu secara spesifik dan antara tuduhan yang dikenakan ialah membuat perancangan jahat, pemalsuan bukti, memfitnah dan macam-macam lagi. Eh, macam iklan astro pula.

Tokoh automotif berusia 69 tahun itu mahukan gantirugi USD588 juta untuk pampasan dan ditambah lagi dengan USD500 juta sebagai denda untuk pengajaran. Fuh… lima keturunan makan tak habis ni kalau duduk kat Mentakab.

Tuduhan yang serius dan sensitif terhadap Ghosn akan sentiasa diingati semua sepanjang hayat beliau dan semestinya memberikan tekanan walaupun ia cuma berasaskan syak wasangka semata-mata. Demikian menurut pasukan peguam yang mewakili Ghosn.

Ghosn tidak pernah meninggalkan kediamannya di Lebanon sejak melarikan diri dari Jepun dengan gaya ala filem Hollywood. Ghosn melarikan diri bersama kumpulan  muzik yang diundang membuat persembahan dirumahnya. Bagaimana caranya? Dengan menyorokkan diri dalam salah satu beg kelengkapan yang digunakan oleh kumpulan muzik tersebut.

Ghosn kemudian dibawa ke sebuah lapangan terbang kecil di mana sebuah pesawat peribadi sedia menunggu untuk terbang ke Istanbul, Turki. Di sana beliau menukar pesawat sebelum terbang terus ke Lebanon. Lebanon tidak mahu mengekstradisi Ghosn jadi beliau terselamat dari hukuman penjara di Jepun.

Google ads
Back to top button