Artikel Pilihan

TOYOTA 2000GT – KERETA KLASIK JEPUN TERMAHAL DI DUNIA!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas tentang sebuah jentera JDM paling mahal di dunia iaitu Toyota 2000GT.

Kita pergi pada sejarah jentera ini. Mungkin ada yang pernah dengar, mungkin ada juga yang tidak pernah mendengarnya.

Cerita tentang kelahiran jentera ini sebenarnya bukanlah bermula daripada Toyota, namun daripada Yamaha. Pada tahun 1959, Presiden Yamaha ketika itu Genichi Kawakami menubuhkan Yamaha Technological Institute dan mengarahkan Research Department Manager iaitu Shun Ono bersama dengan Chikara Yasukawa untuk pergi ke Eropah dan Amerika bagi melihat serta mengkaji tentang apa yang perlu Yamaha bangunkan pada masa akan datang.

Zaman ni orang Jepun nak keluar negara bukan senang. Yen tiada nilai. Oleh itu, mereka meminta Ministry of International Trade and Industry (MITI) Jepun untuk memberikan mereka Dolar. Nak mohon visa pun siap kena angkat sumpah.

Dipendekkan cerita, setelah mereka berdua balik daripada Eropah dan Amerika, mereka memutuskan untuk membina “Sports Car” Jepun yang pertama. Bukan main Yamaha ni, langkah pertama ke dunia automotif dengan “Sports Car”, bukan kereta biasa.

Usul untuk membina “Sports Car” diluluskan oleh Presiden Genichi Kawakami. Kemudian, pada November 1959, Yasukawa Research Lab ditubuhkan khas untuk tujuan R&D “Sports Car” ini. R&D bermula dengan enjin, cesi serta badan jentera.

YAMAHA YX-30

Kod projek jentera ini dikenali sebagai YX-30. Banyak kegagalan tercipta diawal pembangunan jentera ini. Akhirnya, prototaip pertama berjaya disiapkan pada tahun 1960.

Prototaip pertama ini diuji di atas jalan yang belum dibuka kepada umum iaitu di Shinihara Bypass di Hawamatsu. Ketika pandu uji, jentera ini mampu memecut sehingga 144km/h. Satu kejayaan besar buat Yamaha. Hal ini kerana kebanyakan jentera pada ketika itu mempunyai purata kelajuan 100km/h sahaja.

Kemudian ujian ketahanan dilakukan. Seperti yang dijangkakan, terlalu banyak kerosakan dilaporkan ketika ujian. Setiap kerosakan dibaiki dan diambil datanya untuk tujuan penambahbaikan. Jurutera terlibat mula merangka penambahbaikan bagi prototaip kedua.

6 bulan kemudian, pada Jun 1961 prototaip kedua sedia dibangunkan. Jentera ini menggunakan layout 2+2 Coupe Body. Bahagian yang lain sama sahaja seperti prototaip pertama. Prototaip kedua ini juga melibatkan anggota yang semakin ramai iaitu sebanyak 23 orang di dalam Yasukawa Research Lab.

Ketika pembangunan jentera prototaip kedua ini, Yamaha menandatangani MOU bersama Tice Engineering yang berpangkalan di San Diego, California, USA bagi tujuan pembangunan enjin.

Yamaha cuba mengadaptasi teknologi yang digunakan oleh Tice Engineering kepada pembuatan enjin pertama mereka di Jepun. Namun apa yang mereka temui hanyalah kegagalan demi kegagalan. Sehinggakan Director of General Affairs ketika itu bising kerana projek ini terlalu banyak memakan kos. Namun pihak Yasukawa Research Lab bernasib baik kerana Presiden Genichi Kawakami masih menaruh harapan.

Setelah banyak lagi kegagalan selepas itu, pihak atasan Yamaha tidak boleh berdiam diri lagi. Yasukawa Research Lab akhirnya dibubarkan dan barisan pekerja diserap masuk ke Engine Department.

Ketika cerita ini hampir ke penghujungnya, terdapat sinar akhirnya apabila hubungan baik Yamaha dengan Nissan dan Toyota terjalin dan mereka tahu akan kebolehan Yamaha.

Pihak Yamaha memulakan projek ini dengan Nissan terlebih dahulu bersama dengan pereka dari Amerika iaitu Albrecht Graf Von Goertz. Mengambil asas daripada Datsun Fairlady 1600, kemudian terciptalah prototaip Nissan A550X.

NISSAN A550X

Protataip ini didedahkan pada tahun 1963 di mana jentera ini kelihatan seakan-akan Chevrolet Corvette Stingray C2. Kuat betul pengaruh Amerika. Dah perekanya pun warga Amerika kan.

Akhirnya, pihak Nissan memutuskan untuk tidak meneruskan projek ini. Namun Yamaha tetap optimis dengan terus melakukan kerja-kerja pembangunan. Yamaha kemudian sedar mereka banyak menceburkan diri kepada rekaan jentera ini selain daripada enjin, namun malangnya tiada pembeli atau pelabur berminat.

Kerjasama akhirnya terjalin pada tahun 1964 bersama pihak Toyota dan permintaan pertama mereka adalah untuk menaik taraf serta menala semula barisan enjin mereka. Toyota memberikan akses penuh kepada pihak Yamaha untuk memasuki “Engine Department” mereka.

Untuk permbinaan “Sports Car” ini pula, Toyota sebenarnya memang merancang untuk membina jentera “Sports Car” 2-Liter. Rekaan asal daripada Toyota juga hampir sama dengan rekaan Yamaha.

Oleh itu, pihak Toyota menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada Yamaha untuk membangunkan jentera ini. Untuk pengetahuan, ini adalah pertama kali bagi pihak Toyota meng-subkontrak projek kepada pihak lain.

Pihak Toyota kemudian menyatakan bahawa mereka mahu jentera ini membuat debut pertama pada Tokyo Motor Show 1965. Oleh itu, kedua-dua pihak hanya ada masa kurang dari setahun untuk menyiapkan jentera ini.

Oleh itu, barisan Jurutera dari Toyota iaitu Jiro Kawano (Ketua Projek), Shinichi Yamazaki (Cesi dan Suspensi), Satoru Nozaki (Rekaan dan Badan) dan Hidemasa Takagi (Rekaan Dalaman) ditempatkan di Ibu Pejabat Yamaha bagi menyelia projek ini supaya berjalan dengan lancar.

Baiklah, selesai serba sedikit cerita tentang sejarah pembangunan jentera ini. Sekarang kita pergi kepada aspek teknikal jentera ini pula.

Kita pergi dahulu ke bahagian cesi. Cesi jentera ini menggunakan X-Shaped Steel Backbone bersama Large-Cross Section Tubing. Cesi ini pula dipadankan dengan set suspensi bebas Multilink bersama penyerap hentak teleskopik pada bahagian hadapan dan belakang. Cesi ini diperkukuhkan dengan “Anti-Roll Bar” yang dipasang pada bahagian depan dan belakang.

Bahagian badan jentera ini menggunakan binaan Semi Monocoque. Material yang digunakan pula adalah dari alumunium kesuluruhannya, kecuali bonet hadapan dan belakang yang menggunakan FRP.

Rekaan dari Satoru Nozaki ini juga mengambil ilham daripada rekaan Eropah khususnya Jaguar E Type. Unit bumper adalah sangat minimal, seperti tidak kelihatan, namun ada.

Selain itu, jentera ini juga sangat rendah. Titik paling tinggi jentera ini hanyalah setinggi 116cm sahaja menjadikan jentera ini tidak sesuai kepada mereka yang mempunyai ketinggian lebih dari 178cm. Body Style jentera ini hanya dibuat dengan jenis “Fastback” sahaja.

Model Open-Top yang terdapat dalam filem James Bond-You Only Live Twice yang dibintangi oleh Sean Connery adalah model custom “One-Off” hanya untuk filem itu sahaja. Jika rekaan Nissan A550X lebih kepada DNA Amerika, rekaan Toyota 2000GT ini pula lebih kepada gabungan ciri-ciri Eropah dan nilai estetika Jepun.

Bahagian dalaman jentera ini menerima sentuhan Hidemasa Takagi. Konsep rekaan, kualiti material dan kekemasan merupakan fokus utama. Roda stering jentera ini dibuat dengan menggunakan kayu dan diukir dengan tangan. Kayu yang digunakan adalah dari kualiti yang tinggi dan merupakan kayu yang sama digunakan pada model Piano buatan Yamaha.

Begitu juga bahagian papan pemuka dan tombol gear. Dibuat daripada kayu berkualiti tinggi dan diukir dengan tangan. Sepasang kerusi balutan kulit menjadi pelengkap kemasan dalam jentera ini.

Seterusnya kita pergi pada jantung jentera ini iaitu enjin. Jentera ini menggunakan enjin 3M bersesaran 1,998cc (2.0L). Enjin ini merupakan enjin yang digunakan oleh Toyota Crown Sedan, namun dirombak kembali oleh pihak Yamaha untuk digunakan pada jentera ini.

Blok enjin yang digunakan adalah dari “Cast Iron”. Ia mempunyai nilai Bore X Stroke yang sama iaitu 75mm sekaligus menjadikan enjin ini “Square”. Unit blok ini dipadankan oleh kepala selinder alumunium yang direka oleh Yamaha.

Kepala selinder ini menempatkan 2 unit aci sesondol bersama 12 injap (2 injap per selinder), darjah kecondongan injap ditetapkan pada 79º. Unit Aci Sesondol dipacu oleh “Timing Chain”. Sistem bahanapi enjin ini diserahkan kepada 3 unit karburetor Double Barrell Mikuni-Solex 40PHH.

Hasilnya, enjin “Naturally Aspirated”(NA) ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 148hp pasa 6,600rpm dan daya kilas sekuat 175Nm pada 5,000rpm.

Kuasa yang dijana oleh enjin ini kemudiannya dihantar ke unit klac dan seterusnya ke kotak gear 5-kelajuan manual. Nisbah gear adalah seperti berikut :-

Gear 1 – 3.14
Gear 2 – 1.64
Gear 3 – 1.18
Gear 4 – 1.00
Gear 5 – 0.84
Gear Reverse – 3.24

Kuasa seterusnya dihantar ke gandar belakang (Rear Axle) yang dilengkapi dengan Limited Slip Differential(LSD). Pihak Toyota memberikan pilihan kepada pembeli untuk memilih nisbah gandar belakang jentera mereka. Nisbah adalah seperti berikut :-

4.38 – Standard
4.88 – Pilihan
4.11 – Pilihan
4.63 – Pilihan

Lain macam Tuan-Tuan. Pilihan untuk memilih warna jentera ataupun aksesori merupakan perkara biasa jika membeli kenderaan baru. Namun pilihan untuk memilih nisbah gandar belakang merupakan sesuatu yang luar biasa.

Kelajuan tertinggi yang direkodkan untuk jentera ini adalah 230km/h. Kira laju lah ni Tuan-Tuan. Jentera moden sekarang pun semput nak cecah 180km/h. Bergoyang pula tu. perlu diingat bahawa jentera Toyota 2000GT ini dihasilkan pada tahun 1965.

Jentera selaju ini memerlukan sistem brek yang cemerlang. Buat julung kalinya pihak Toyota membekalkan sistem brek cakera bersaiz 11 inci pada bahagian hadapan dan 10.5 inci pada bahagian belakang dengan bantuan servo.

Tuil “Handbrake” diletakkan di papan pemuka jentera ini. Tuil ini jika ditarik membolehkan pemandu mendapatkan lebih cengkaman pada brek belakang jika berlaku kecemasan selain fungsi asasnya iaitu memastikan jentera berada dalam keadaan pegun.

Set rim jentera ini menggunakan set rim yang dibuat daripada Magnesium Alloy dengan sistem “Knock-Off Hubs”. Bukan 3 lubang, bukan 4 lubang dan bukannya 5 lubang. Set rim ini diselaputi oleh tayar Dunlop Sport Radial 500 bersaiz 205/60 VR15. Jentera dulu-dulu pakai rim saiz 15 inci pun dah cantik.

Jentera ini akhirnya melakukan debut pertamanya di Tokyo Motor Show 1965. Kemunculannya menggegarkan dunia automotif pada ketika itu. Para pengkritik kerap menyamakan jentera ini dengan Jaguar E-Type. Memang rupanya seakan-akan jentera British, namun ianya bukan.

Seterusnya sesi pandu uji dilakukan dan jentera ini mendapat maklum balas positif dari segenap aspek. Kuasa, keselesaan, pengendalian dan macam-macam lagi. Lengkap resipinya.

Untuk mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai “Sports Car”, pihak Toyota membawa jentera ini di litar. Pada tahun 1966 Toyota 2000GT secara rasminya menyertai pertandingan Japanese Grand Prix. Pertandingan ini juga disertai jentera Prince R380 dan Porsche 906.

Pertandingan ini dimenangi jentera Prince R380, Toyota 2000GT sekadar mendapat tempat ketiga. Namun ia bukanlah permulaan yang buruk bagi sebuah jentera baru.

Pada tahun yang sama juga, Toyota 2000GT digunakan untuk memecahkan rekod di Yatabe High Speed Testing Course. Mereka cuba memecahkan rekod masa dalam pemanduan selama 6,12,24,48 dan 72 jam berturut-turut. Hasilnya, 3 rekod dunia bersama 13 rekod antarabangsa dipecahkan dan diakui oleh pihak FIA sendiri. Hal ini membuktikan bahawa jentera ini sangat tahan lasak dan sesuai digunakan untuk berlumba.

Toyota 2000GT ini juga digunakan pada perlumbaan Fuji 6hrs Endurance Race pada tahun 1967. Toyota 2000GT mendapat tempat pertama melalui pemandu Yoshio Utsobo dan Shihomi Hosoya.

Ramai peminat Caroll Shelby ? Kenapa tiba-tiba sebut nama Shelby ni ?

Caroll Shelby merupakan pengedar sah Toyota di Texas, Amerika pada circa 1960. Oleh itu, pihak Toyota membekalkan 3 unit Toyota 2000GT kepada Shelby. Shelby tidak mengambil masa yang lama untuk bertindak di mana jentera Toyota 2000GT tersebut diubahsuai sehingga mampu menghamburkan kuasa sebanyak 200hp.

Shelby menghantar jentera ini menyertai kejohanan (Sports Car Club America) SCCA, jentera produksi kategori CP pada tahun 1968. 2 jentera dihantar dan dipandu oleh Scooter Patrick dan Dave Jordan. Jentera ini bersaing dengan Porsche 911 dan Triumph TR250. Kejohanan dimenangi oleh Porsche 911 bagi tempat pertama dan kedua, Toyota 2000GT pula di tempat ketiga dan keempat. Kira hebat lah ni, di Amerika bukan di Jepun. Sekaligus menempa nama Toyota di persada dunia Motorsport.

Setelah menempa pelbagai kejayaan di peringkat domestik dan antarabangsa, akhirnya Toyota 2000GT diproduksikan bermula tahun 1967. Hanya 351 unit sahaja dihasilkan, di dalam 351 unit ini 60 unit dieksport ke Amerika. Produksi hanya berjalan selama 4 tahun sahaja iaitu dari 1967 sehingga 1970.

Kenapa ?

Harganya mahal Tuan-Tuan. Jentera ini dijual dengan tanda harga $7,230. Melebihi paras harga Porsche 911 ($6,190), Jaguar E-Type (5,559) dan Chevrolet Corvette ($4,663). Jika digambarkan senarionya pada zaman sekarang, Toyota Supra lebih mahal dari Porsche GT2RS. Anda pilih yang mana?

Namun siapa sangka jentera ini merupakan pelaburan yang sangat berbaloi. Disebabkan reputasi serta nilai estetikanya, jentera ini menjadi buruan pengumpul kenderaan klasik di seluruh dunia. Jika dah jadi buruan, harganya pun tidaklah murah. Jentera ini menjadi jentera JDM paling bernilai sekarang ini.

Di dalam carta jentera JDM paling mahal pernah dilelong, 18 daripadanya adalah Toyota 2000GT. Harga yang paling tinggi pernah dibida adalah pada tahun 2014 menerusi acara lelongan di Pebble Beach, California oleh firma lelongan Gooding & Co. dan pada tahun 2013 menerusi acara lelongan di Fort Worth, Texas oleh firma lelongan RM-Sothebys. Kedua-dua unit ini dibida pada harga USD$1,155,000 bersamaan dengan RM5.05 juta tidak termasuk cukai.

Inilah dia Tuan-Tuan. Sedikit sebanyak cerita tentang jentera JDM paling bernilai di abad ini. Siapa sangka jentera yang berharga $7,230 akhirnya mencecah jutaan dolar. Harga silingnya juga tidak terhenti di sini dan dijangka akan meningkat saban tahun.

Terima kasih Toyota dan Yamaha !

Google ads
Back to top button