Buletin

NISSAN SAKURA EV TERLARIS DI JEPUN, KUASAI 3 TAHUN BERTURUT-TURUT!

Apabila bercakap mengenai kenderaan elektrik (EV), dua jenama yang sering disebut dalam mendominasi pasaran ialah Tesla dan BYD.

Secara umum, memang benar kedua-dua jenama ini mendominasi terutama sekali BYD di China. Tesla pula lebih menyeluruh di peringkat antarabangsa.

Di Jepun yang terkenal dengan kereta mini (kei-car) turut menyaksikan segmen ini mendominasi pasaran EV.

Jika Honda N-Box memegang takhta jualan enjin pembakaran dalaman (ICE), Nissan Sakura pula menguasai jualan EV di Jepun pada tahun fiskal 2024 (April hingga Mac 2025).

Jualan Sakura mencecah 20,832 unit dan meletakannya sebagai EV terlaris selama tiga tahun berturut-turut di Jepun.

Nissan Sakura dilancarkan pada tahun fiskal 2022 dan berjaya menjadi pengubah permainan di Jepun dan kini merangkumi sekitar 40 peratus daripada jumlah jualan EV.

Apa yang menarik, jarak pemanduan Sakura lebih rendah berbanding EV global lain namun tetap berjaya menawan hati pengguna.

Jarak pemanduan Sakura hanya 180 kilometer namun sudah memadai untuk pemanduan harian. Harga yang ditawarkan pula berpatutan iaitu bermula dari 2,599,300 yen (RM80,154).

Menurut Nissan, Sakura bukan sahaja dibeli pelanggan individu, tetapi juga banyak syarikat, termasuk kerajaan tempatan dan institusi kewangan sebagai usaha untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). 

Sakura juga digunakan di pelbagai tujuan dan lokasi di antaranya kenderaan jualan, penghantaran produk dan sebagai kenderaan penunda untuk membawa bagasi di lapangan terbang.

Lebih separuh daripada pelanggan memilih varian X yang paling mampu milik.

Warna badan yang paling popular ialah White Pearl, diikuti oleh Sterling Silver. Silky Lilac, yang diperkenalkan pada 2024, juga menjadi pilihan ramai pelanggan sebagai warna ikonik bagi Nissan Sakura.

Rangkaian Kuasa:

  • Jenis Bateri: Bateri litium-ion
  • Voltan: 350V
  • Kapasiti Bateri: 20 kWj
  • Jenis Motor: Motor segerak AC
  • Output Maksimum Motor: 47 kW (64 PS)
  • Tork Maksimum Motor: 195 Nm
  • Jarak Pandu (WLTC): 180 km
  • Penggunaan Tenaga Elektrik (WLTC): 124 Wh/km

Pengecasan:

  • Pengecasan Normal:
    • Masa pengecasan penuh: Lebih kurang 8 jam
    • Kapasiti pengecasan normal di rumah: 3kW
  • Pengecasan Pantas:
    • Masa pengecasan sehingga 80%: Lebih kurang 40 minit
  • Pengecasan V2H (Vehicle to Home):
    • Kapasiti pengecasan: 6kW (Kadar kuasa yang dibekalkan oleh kereta ke rumah)
    • Masa pengecasan penuh: 4 jam (Anggaran masa untuk mengecas semula bateri kereta setelah tenaga dari bateri kereta itu digunakan untuk membekalkan kuasa ke rumah.)

Varian dan Harga:

  • Sakura X: 2,599,300 yen (RM80,154)
  • Sakura G: 3,082,200 yen (RM95,008)
  • Sakura X Edisi Ulang Tahun ke-90: 2,709,300 yen (RM83,513)

Google ads
Back to top button