Buletin

NISSAN SEDIA PERLUAS PENGELUARAN KENDERAAN ELEKTRIK DI ASIA TENGGARA

Tidak dapat dinafikan bahawa Nissan sedang giat mempertingkatkan usaha untuk memperluaskan penggunaan kenderaan elektrik sama ada melalui kuasa bateri sepenuhnya atau sistem inovatif e-Power.

Walaupun barisan model kenderaan elektrik Nissan kukuh di Jepun, situasi adalah berbeza di Asia Tenggara.

Di kebanyakan negara di rantau ini, hanya model Kicks e-Power yang dijual. Malah, model ini juga satu-satunya yang dihasilkan di ASEAN.

Namun, keadaan ini mungkin akan berubah tidak lama lagi. Di Thailand, dilaporkan bahawa Nissan mungkin akan menumpukan lebih banyak sumber untuk membina kenderaan hibrid.

Walaupun tidak dinyatakan jenis kenderaan yang akan dibina, memandangkan ini adalah Nissan, kemungkinan besar ia adalah model e-Power.

Langkah ini mungkin bertujuan untuk mengambil kesempatan daripada insentif cukai yang baru diperkenalkan oleh kerajaan Thailand.

Potongan cukai tersebut bertujuan untuk menggalakkan pengeluaran kenderaan hibrid dan elektrik di negara tersebut.

Selain itu, Presiden Nissan Thailand yang baru dilantik, Toshihiro Fujiki, berkata akan ada lebih banyak model hibrid akan dibina di kemudahan Samut Prakan pada masa akan datang.

“Kami akan melancarkan lima model antara 2025 dan 2027 serta sedang mempertimbangkan model mana yang akan dibuat di Thailand,” kata beliau.

Jadi, selain daripada Kicks e-Power, apakah model lain yang mungkin akan dibina di sana? Walaupun Nissan belum menyebut apa-apa, Serena baru-baru ini membuat penampilan sulung di Indonesia.

Unit-unit tersebut diimport dari Jepun, tetapi dengan minat Nissan Thailand untuk membina lebih banyak kenderaan elektrik, Serena kelihatan sebagai calon paling berpotensi.

Walau apa pun, menarik untuk melihat jika Nissan benar-benar memperkuat portfolio pengeluaran kenderaan elektrik mereka.

Google ads
Back to top button