
NISSAN SILVIA GENERASI BAHARU ELEKTRIK SEPENUHNYA, BAKAL MUNCUL PADA 2028
Nama Nissan Silvia cukup dikenali dalam dunia kereta sports Jepun. Sejak beberapa generasi, model ini telah memberikan pengalaman pemanduan begitu padu pada harga yang mampu milik, bukan sahaja di Jepun, tetapi juga di Eropah dan Amerika Utara, di mana ia dikenali sebagai Nissan 200SX dan 240SX.
Namun, pada awal 2000-an, Nissan menghentikan pengeluaran Silvia, memberi ruang kepada 350Z untuk menggantikan kedudukannya sebagai kereta sports popular, sehinggalah kemunculan semula GT-R. Kedua-dua model ini, walaupun ikonik, ia tidak semurah seperti Silvia.
Kini, selepas bertahun-tahun spekulasi, Nissan akhirnya mengesahkan bahawa mereka sedang membangunkan Silvia generasi baharu.
Perkara ini disahkan oleh Naib Presiden Strategi Produk Global Nissan, Ivan Espinosa, yang menyatakan bahawa projek ini masih di peringkat awal pembangunan.
Dalam pasaran kereta sports mampu milik yang semakin mengecil, kehadiran Silvia baharu di bawah model Z sememangnya berita gembira bagi peminat kereta.

Nama dan Trenkuasa Baharu
Nama Silvia akan kekal di Jepun, tetapi terdapat kemungkinan Nissan akan menggunakan branding SX untuk pasaran Amerika Syarikat, seperti yang dilakukan sebelum ini.
Selain itu, salah satu perubahan besar ialah penggunaan trenkuasa yang sudah pasti akan terarah kepada elektrifikasi. Ini bermakna Silvia mungkin menggunakan teknologi hibrid atau sepenuhnya elektrik.
Walaupun masih di peringkat awal, reka bentuk Silvia baharu ini mungkin terinspirasi oleh konsep Nissan IDx Nismo, sebuah kereta konsep yang diperkenalkan sedekad lalu.
Konsep IDx ini membawa bahasa reka bentuk yang ringkas dengan unsur retro, sesuai dengan karakter kereta sports kecil seperti Silvia.
Walaupun belum ada visual rasmi, ramai percaya bahawa Silvia baharu akan mengekalkan elemen-elemen asas dari konsep IDx ini.
Rekaan dan Spesifikasi Anggaran
Rekaan Silvia baharu dijangka akan mengekalkan garis-garis lurus yang sederhana seperti dalam konsep IDx, namun dengan beberapa perubahan moden.
Antara perubahan tersebut termasuklah penggunaan gril lebih moden dan mengurangkan elemen retro yang mungkin kelihatan ketinggalan zaman.
Kemungkinan besar, ekzos sisi akan diubah ke bahagian belakang, manakala bumbung pula mungkin menampilkan motif terapung yang lebih moden.
Dari segi trenkuasa, Nissan sudah memberi petunjuk bahawa trenkuasa elektrik akan menjadi sebahagian daripada Silvia baharu. Namun, ia mungkin tidak sepenuhnya elektrik. Kemungkinan Silvia akan menjadi kereta hibrid, dengan kombinasi motor elektrik dan enjin pembakaran dalaman kecil, sepertimana pesaingnya, Toyota 86 dan Subaru BRZ.
Jika ini benar, Silvia juga akan bersaing dengan Honda Prelude yang bakal hadir dengan teknologi hibrid.

Cabaran dan Kerjasama
Membangunkan kereta sports bukanlah satu usaha yang mudah. Pasaran kereta sports tidak sebesar dahulu, dan banyak jenama Jepun telah bekerjasama dengan pengeluar lain untuk mengurangkan kos pembangunan.
Sebagai contoh, Toyota Supra menggunakan asas daripada BMW, manakala kerjasama Toyota/Subaru menghasilkan GR86 dan BRZ.
Namun begitu, Espinosa menyatakan bahawa Nissan ingin memastikan Silvia dibangunkan sepenuhnya oleh Nissan, walaupun beliau mengakui cabaran yang bakal dihadapi.
Bila Silvia Baharu Akan Dilancarkan?
Berdasarkan kenyataan Espinosa, Silvia baharu mungkin akan mula diperkenalkan sebelum penghujung dekad ini. Dengan tahun 2025 semakin hampir, tidak mustahil kita akan melihat prototaip Silvia pada tahun 2026, dan pelancaran rasminya dijangka sekitar tahun 2028 atau 2029.
Namun, seperti telah kita lihat sebelum ini, Nissan terkenal dengan tempoh pembangunan agak lama, sama seperti GT-R dan 370Z yang bertahan lebih daripada sedekad.
Harga Jualan
Jika dilihat pada hirarki harga Nissan, Silvia baharu perlu diletakkan di bawah model Z. Model Z kini bermula pada harga sekitar AS$42,920 (RM200,000), manakala model elektrik Nissan Leaf dijual pada harga sekitar AS$28,140 (RM130,000).
Jika Silvia mampu menemui keseimbangan harga antara kedua-dua model ini, sebuah kereta sports hibrid yang berharga dalam lingkungan pertengahan RM150,000-RM180,000 mungkin akan menjadi pilihan terbaik buat peminat yang dahagakan keseronokan pemanduan pada bajet lebih rendah.
Nissan Silvia baharu dijangka akan membawa angin segar kepada pasaran kereta sports mampu milik.
- BACA: VOLVO EX30 RASMI DILANCARKAN – TIGA VARIAN, JARAK GERAK 476KM, HARGA BERMULA RM188K
- BACA: PENCURI BODOH MERAYU PEMILIK SELEPAS TERPERANGKAP DALAM KERETA HENDAK DICURI – POPULARITI PERCUMA
- BACA: RASMI: HONDA X-ADV 750 2025 DIPERKENAL – KINI DENGAN CRUISE CONTROL, REKA BENTUK BAHARU
- BACA: TESLA TERBAKAR SEMASA DICAS – BUKAN BERPUNCA DARIPADA BATERI









