
NISSAN SKYLINE GT-R SEBENARNYA DIHARAMKAN MASUK KE AMERIKA
Salah satu lagenda moden yang paling terkenal ialah “Nissan Skyline GTR tidak boleh diimport ke Amerika kerana ia terlalu pantas untuk dikejar oleh kereta polis, tambahan pula dengan enjin turbo yang mampu menghasilkan sehingga 1000 kuasa kuda dengan beberapa perubahan pada enjin menjadikan kereta polis senang diayam-ayamkan”.
Tapi bila diselidiki secara mendalam, Skyline GT-R sebenarnya sebuah supercar mampu milik, AWD dengan kelajuan tertinggi mampu mencecah sehingga 320km/j memang bukan tandingan kereta biasa di Amerika yang pengendaliannya seperti bot pemancing. Supercar biasa masa itupun GTR boleh kejar, apalah sangat kereta peronda polis US
Dilahirkan pada tahun 1988 (tahun naga), GT-R memenangi Japanese Touring Car Championship sebanyak 29 kali, Australian Touring Car Championship sebanyak 2 kali (1991 dan 1992), dan menjadi kereta yang sinonim dengan Paul Walker dalam 2 Fast 2 Furious. Ini menyebabkan Nissan Skyline GT-R menjadi dambaan kepada peminat kereta di US
Cerita sebenarnya begini, Nissan Skyline GT-R merupakan kereta pemanduan sebelah kanan sememangnya tidak direka dan dirancang untuk dijual di Amerika walaupun Nissan boleh menghasilkan varian dengan pemanduan sebelah kiri sekalipun.

Ini bermakna Nissan Skyline GT-R dalam versi R33, R34 dan R32 tidak direka bagi mematuhi peraturan keselamatan dan homologasi bagi pasaran US. Ini termasuklah peraturan keselamatan dan pencemaran alam yang ditetapkan oleh Federal Motor Vehicle Safety Standards and Regulations. Sekiranya perlu diimport ke US, Nissan perlu menguji semula Nissan GT-R mengikut spesifikasi ini dan ia memakan masa serta kos.
Sebab kedua ialah kerajaan Amerika telah mengenakan sekatan pada kereta import berpuluh tahun yang lalu. Selepas perang dunia kedua tamat, askar Amerika yang bertugas di luar negara akan membawa pulang kereta yang dibeli di luar negara selepas tamat tugasan mereka di sana. Ini termasuklah askar yang bertugas di Eropah dan juga Jepun
Fenomena ini berterusan sehinggalah 20 tahun selepas perang tamat, dan pembuat kereta Amerika mulai bosan dan melobi kerajaan Amerika agar berbuat sesuatu. Jadi pada tahun 1967, undang-undang telah digubal bagi menghalang “grey importer” membawa masuk kenderaan dari luar untuk pasaran Amerika.
Undang-undang ini diperkemaskan lagi dengan pengenalan Motor Vehicle Safety Compliance Act 1988 oleh Kongress yang menetapkan semua kenderaan yang perlu dijual di Amerika perlu melepasi homologasi keselamatan yang ditetapkan menyebabkan Nissan Skyline GTR tidak diimport dan dijual di Amerika. Tapi masih lagi ada harapan pada peminat kereta ini.

Pada tahun 1988 National Safety Highway and Traffic Safety Administration telah memberikan sedikit kebenaran kepada semua kereta import yang berusia 25 tahun dan ke atas untuk dibawa masuk ke Amerika tanpa perlu menjalani proses homologasi keselamatan. Sebagai contoh Nissan Skyline GTR R32 dibenarkan untuk diimport dan dipandu di Amerika pada tahun 2014
Undang undang ini membenarkan pembeli di Amerika mengimport Nissan Skyline GTR melalui pengimport berdaftar yang sah sahaja. Tapi pada masa sama pengimport perlu membuat sedikit modifikasi minima yang diminta oleh Federal Motor Vehicle Safety Standards and Regulations dan kos ini perlu dibayar oleh pembeli