![](https://www.mekanika.com.my/wp-content/uploads/2022/01/Huawei-AITO-M5-mekanika3.jpeg)
PHEV PERTAMA HUAWEI LAKU KERAS. TAPI ADA DRAMA PULA DENGAN OEM
Kereta plug-in hybrid (PHEV) pertama Huawei yang merupakan pengeluar peranti pintar terkenal di dunia nyata mendapat sambut hangat apabila lebih 6,000 unit sudah ditempah selepas hanya lima hari dilancarkan.
Huawei menamakan PHEV tersebut sebagai AITO yang dalam bahasa Cina bermaksud membawa kepintaran kepada auto. AITO dibangunkan hasil kerjasama dengan pengeluar kereta berskala kecil, Seres. Kolaborasi itu bermula dengan Huawei menjual model SF5 Seres di kedai-kedainya.
Kemudian, kerjasama tersebut menjadi lebih serius dengan penghasilan jenama baharu iaitu AITO. Model pertamanya ialah AITO M5. Walaupun baru produk pertama, sudah timbul drama di antara Sokon (syarikat induk Seres) dengan Huawei.
![](https://www.mekanika.com.my/wp-content/uploads/2022/01/Huawei-AITO-M5-mekanika4.jpeg)
Akibatnya, M5 dilancarkan sebanyak dua kali iaitu oleh Sokon dan Huawei. Menurut laporan media tempatan, Sokon tidak gembira kerana dikatakan sebagai pemasang kenderaan kepada Huawei.
Mereka sebaliknya menyatakan bertanggungjawab ke atas kitaran penuh PHEV berkenaan, merangkumi aspek R&D, selepas jualan dan penyerahan kepada pelanggan.
Manakala Huawei pula mengambil peranan dari segi jualan dan ciri-ciri pintar. Ini merupakan satu strategi biasa. Huawei akan melengkapkan sistem otak dan perisian M5, sementara Sokon fokus kepada perkara asas seperti reka bentuk dan mekanismanya.
Huawei kemudian memasarkan M5 menerusi rangkaian jualannya. Mereka sudah melakukannya dengan Archfox daripada BAIC yang rakan mereka ialah Xpeng dan GAC. Tetapi, Sokon mahukan lebih kredit atas kerja mereka dan tidak mahu sekadar dipanggil sebagai OEM.
![](https://www.mekanika.com.my/wp-content/uploads/2022/01/Huawei-AITO-M5-mekanika2.jpeg)
M5 merupakan model EV range extender pertama Huawei yang menggunakan sistem operasi HarmonyOS. Range Extender bermakna ia merupakan sebuah PHEV di mana enjin petrol bertindak sebagai pengecas bateri. Menurut Huawei, ia mampu mencapai jarak sejauh 1,500km dengan setangki penuh bahan api.
Ia menggunakan khidmat enjin turbo 1.5 liter yang dipadankan bersama motor elektrik berkapasiti 60kW dengan kuasa maksimum 165kW pada pacuan roda hadapan dan 150kW untuk roda belakang. Penggunaan bahan api adalah sekitar 0.8 liter bagi setiap 100km.
M5 ditawarkan dalam tiga varian iaitu standard dengan pacuan roda belakang, varian prestasi bersama pacuan semua roda dan model flagship. Harganya pula bermula 250,000 yuan (RM164,000) hingga 320,000 yuan (RM210,000) seunit.
![](https://www.mekanika.com.my/wp-content/uploads/2022/01/Huawei-AITO-M5-mekanika1.jpeg)
PHEV itu dilengkapi sistem elektrikal Huawei DriveONE dan kokpit pintar HarmonyOS. Pemandu boleh melakukan tetapan dan mendapatkan segala maklumat pemanduan menerusi paparan visual serta rekaan antara muka boleh ubah.
Dok pintar pula boleh mengenal pasti dan menganalisis kondisi kenderaan serta status pemandu secara automatik.
Jentera berkenaan dibina di atas kerangka aloi sepenuhnya, bersama sistem gantungan double wishbone di hadapan dan suspensi bebas di belakang. Dengan menggunakan kaca penebat bunyi, ia dapat menawarkan ruang kabin yang cukup senyap.