Buletin

NISSAN THAILAND LANCAR TEANA FACELIFT 2018 – BERMULA RM180K

Nissan Thailand baru-baru ini melancarkan model sedan ekskutif Teana yang telah ditambah baik.

Mula berada di pasaran sejak tahun 2013, Teana menjadi pesaing langsung kepada model seperti Toyota Camry yang juga baru dilancarkan di sana.

Perubahan ketara dapat dilihat menerusi penggunaan gril hadapan V-Motion dan lampu LED utama berbentuk boomerang. Sedan itu menggunakan rim dua tona bersaiz 18 inci.

Bukan itu sahaja, Teana facelift turut dipasang dengan sistem bunyi Bose, bumbung suria, penghidup enjin jarak jauh, enam beg udara, ABS, EBD dan banyak lagi (bergantung kepada varian).

Kemudahan pemandu dipertingkatkan lagi dengan Intelligent Mobility yang terdiiri daripada monitor pandangan keliling, pengesan objek, Lane departure dan amaran titik buta.

Teana masih mengekalkan rangkaian kuasa terdahulu iaitu enjin 2.0 liter MR20DE berkuasa 136hp dan enjin 2.5 liter QR25DE yang mampu menjana 173hp. Kedua-dua enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear automatik CVT.

Varian tertinggi, 2.5 XV Navi tidak mengalami kenaikan harga iaitu 1.67 juta baht (RM212,063). Sementara XE menerima kenaikan sebanyak 60,000 baht (RM7,600) menjadi 1.39 juta baht (RM177,207).

Varian XL berharga 1.42 juta baht (RM180,000) dan varian XL Navi pula ditawarkan pada  harga 1.47 juta baht (RM187,000) seunit.

Di pasaran Thailand, Teana menjadi satu-satunya model jenama Jepun yang tidak hadir dengan varian hibrid.

Google ads
Back to top button