
SUV PERODUA AKAN DIPERKENALKAN PADA KLIMS 2018. HARGA DI BAWAH RM80K?
Umum mengetahui bahawa Perodua dalam perancangan akhir untuk memperkenalkan model gantian Nautica, sebuah SUV yang telah mempunyai legasi sendiri menerusi model pertamanya, Kembara.
Tidak seperti pengeluar lain yang kerap “terbocor”, imej, intipan dan spesifikasinya, Perodua mungkin pengeluar yang paling menjaga kerahsiaan produk mereka. Amat sukar melihat kenderaan ini diintip, spyshot di jalanraya dan kalau ada pun, ia hanya berlaku menjelang hari-hari terakhir ia nak dilancarkan. Di mana kebanyakannya ketika kereta dihantar ke pusat pameran.
Sumber yang rapat dengan industri memberitahu kami semalam bahawa SUV Perodua ini akan dipertontonkan pada Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS). Tidak dapat dipastikan setakat mana kesahihan info ini namun menurut satu sumber lain, SUV tersebut sudahpun lengkap dan cuma menunggu hari untuk dilancarkan.
Ada juga kemungkinan juga model ini akan menjalani tipikal pengenalan kenderaan Perodua seeprti peek-a-boo, kereta di dalam kotak, atau pendedahan sebahagian bentuk badan misalnya.
Tidak seperti Myvi dan Bezza yang mungkin menyebabkan ramai tertanya-tanya bentuk keseluruhannya, Perodua SUV yang dikenali dengan kod D38L adalah hasil rebadging Daihatsu Terios. Ia adalah model yang sama yang dikeluarkan oleh UMW – di bawah lencana Toyota Rush.
Jika sebelum ini Perodua akan mengambi model 5 tempat duduk dan Toyota mengambil model 7 kerusi (Nautica VS Rush), nampaknya kali ini Perodua mengambil jalan yang berbeza. Mungkin mereka belajar dari kesilapan percaturan Nautica kerana apabila berada pada braket paling tinggi dalam keluarga Perodua, agak sukar menjualnya jika ia tiada kelebihan seperti tujuh kerusi.
SUV Perodua D38L ini akan didatangkan dengan konfigurasi 7 tempat duduk, sekaligus memberi saingan terus kepada Honda BR-V. Resepi SUV/crossover yang diterapkan BR-V ternyata berjaya mencuri pasaran yang besar. Apa lagi jika diperkenalkan di bawah jenama yang bagus dan harga yang munasabah.
BACA: BRV LEBIH LAKU DARI ALZA
Daihatsu Terios – Perodua D38L.
Sepertimana model-model sebelum ini, perpindahan lencana badan Daihatsu kepada Perodua juga melibatkan pengubahsuaian kosmetik yang kecil. Sedikit sentuhan diberikan pada rekabentuk lampu, bampar hadapan, belakang serta panel badan untuk disesuaikan dengan identiti Perodua.
SUV Perodua ini akan dikuasakan oleh enjin sama dengan Rush, 1.5 liter dengan transmisi automatik dan juga manual lima kelajuan.
HARGA
Ini mungkin faktor yang menentukan bagaimana masa depan SUV ini. Percaturan yang sengat penting ini juga kritikal kerana Perodua terpaksa bersaing terus dengan Honda BR-V yang dijual bermula RM78K.
Di samping itu juga Perodua turut terpaksa merebut pasaran yang sama di kalangan pembeli Toyota. Toyota Rush yang dilancarkan pada bulan lalu diperkenalkan pada harga bermula RM93K.
Kami menjangkakan harga pengenalan model ini akan berada dalam lingkungan RM70K hingga RM80K.