Buletin

NISSAN X-GEAR – RM89,800

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) baru sahaja memperkenalkan Nissan X-GEAR baharu, crossover lima tempat duduk yang kemas dengan penampilan diperbaharui dan lebih sporty.  

SONY DSC

“Nissan X-GEAR baharu disasarkan buat golongan muda dan berkeluarga yang mahukan sebuah crossover bergaya untuk menyerlahkan individualiti mereka. Pada masa sama kekal praktikal dan ekonomikal,” kata Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng.

Dari segi luarannya, Nissan X-GEAR menampilkan gril hadapan krom berbentuk V yang sofistikated dengan panel horizontal yang digelapkan. Sementara garis sisi pada badan kenderaan dan pengadang pula menonjolkan sifatnya yang lasak.

Nissan-X-Gear-RM89,800-Mekanika (3)

Bampar hadapan dengan pengadang lumpur berwarna hitam, roof rails, rim aloi berjejari V, hud enjin, rekaan dapra baharu, cermin sisi yang kemas dan lampu utama menambah tarikan pada rupa baharunya.

Pada bahagian belakang pula, Nissan X-GEAR dipasang dengan lampu yang mendatar bagi diselarikan dengan gayaan belakang yang serba baharu. Rekaan bampar belakang juga hadir dengan satu lampu reflektor dan lampu brek LED yang diletakkan sedikit tinggi untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan dan gayanya.

Nissan-X-Gear-RM89,800-Mekanika (10)

Crossover ini disempurnakan oleh ruang dalamannya yang luas dan selesa dengan fabrik tempat duduk baharu. Kualiti pandangan juga telah ditambah baik, terima kasih kepada kluster Fine Vision Meter serta Paparan Multi-Maklumat (Multi-Information Display, MID).

Stereng tiga jejari yang baru kini dilengkapi suis kawalan untuk sistem audio 2-DIN dengan input AUX bagi membolehkan perjalanan diiringi oleh lagu-lagu kegemaran anda. Butang kawalan MID diletakkan dengan susun atur yang kemas. Sekali gus membolehkan pemandu menukar maklumat dengan mudah.

Nissan-X-Gear-RM89,800-Mekanika (12)

Ruang kargo dan kaki yang luas disumbang oleh tempat duduk yang boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40. Ia membolehkan keluasan ruang kargo digandakan daripada 383 liter menjadi 769 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Roof rail pada Nissan X-GEAR pula memiliki kapasiti mengangkut beban sehingga 25kg. Ini membolehkannya membawa sebuah basikal gunung atau kanu kecil!

Keselamatan di atas jalan raya tidak diambil ringan. Jadi, Nissan X-GEAR dilengkapi tali pinggang keledar hadapan yang kini dilengkapi ciri pra-regangan dan pengehad beban yang mematuhi piawaian terkini ujian pelanggaran UNECE.

Nissan-X-Gear-RM89,800-Mekanika (11)

Dua beg udara SRS di bahagian hadapan, Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Electronic Brake-force Distribution (EBD) dan Brake Assist System (BA) juga didatangkan sebagai ciri standard.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin aluminium sepenuhnya HRDE16 1.6 liter. Enjin empat silinder kompak dan ringan yang mampu menghasilkan kuasa 105PS dan tork 150Nm itu dipadankan dengan transmisi empat kelajuan yang lancar dan dikawal secara elektronik. Dengan teknologi kawalan injap pemasaan, enjin tersebut menawarkan prestasi yang responsif dan penjimatan bahan api luar biasa.

Nissan-X-Gear-RM89,800-Mekanika (4)

Stereng kuasa elektrik (EPS) membantu menawarkan kemudahan ketika membelok dan pengendalian dengan penggunaan bahan api lebih jimat. Sistem suspensi termaju pula memberikan kualiti pemanduan dan pengendalian yang cemerlang pada kelajuan mendatar atau di laluan berbengkang-bengkok.

Nissan X-GEAR hanya boleh didapati dalam varian 1.6L Auto dengan pilihan Pakej Lengkap IMPUL. Kenderaan ini didatangkan dalam tiga warna baharu iaitu merah,hitam dan Bronze Gold, di samping dua warna sedia ada; putih  dan perak.

Nissan-X-Gear-RM89,800-Mekanika (14)

Nissan X-GEAR ditawarkan pada harga RM89,800 di atas jalan dengan jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).

Para pelanggan juga boleh menikmati bayaran bulanan serendah RM599 (tertakluk kepada terma dan syarat) untuk memiliki sebuah Nissan X-GEAR baharu.

SONY DSC

Untuk melihat Nissan X-GEAR dengan lebih dekat, para pelanggan dijemput untuk mengunjungi siri jelajah Nissan X-GEAR yang akan diadakan bermula sekarang hingga 30 Mac 2014 di Ground Floor, One Utama (New Wing). Tempahan boleh dibuat di sana dan bilik-bilik pameran Nissan di seluruh negara.

[hr]GALERI 

Nissan-X-Gear-RM89,800-Mekanika (6)Nissan-X-Gear-RM89,800-Mekanika (5)Nissan-X-Gear-RM89,800-Mekanika (7)Nissan-X-Gear-RM89,800-Mekanika (8)Nissan-X-Gear-RM89,800-Mekanika (13)Nissan-X-Gear-RM89,800-Mekanika (16)Nissan-X-Gear-RM89,800-Mekanika (15)

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button