" "
Buletin

PERALIHAN PANTAS EV MUNGKIN BERI KESAN NEGATIF PADA INDUSTRI AUTOMOTIF?

Pengeluar kenderaan seperti General Motors (GM) dan Ford Eropah dalam proses awal peralihan kepada kenderaan menggunakan bateri elektrik sahaja.

Bahkan, GM menyasarkan peralihan terbabit dapat dilaksanakan secara menyeluruh menjelang tahun 2035.

Bagi pengeluar kenderaan Jaguar dan Volvo pula, syarikat berkenaan dijangka akan melaksanakan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) sahaja pada 2025 serta 2030.

Langkah-langkah terbabit dilaksanakan berikutan kerajaan global meluluskan peraturan emisi baharu yang lebih ketat.

Bagaimanapun, tidak semua CEO pembikin kenderaan bersetuju dengan langkah-langkah peralihan mendadak terhadap peralihan EV.

CEO Stellantis, Carlos Tavares melahirkan kebimbangan terhadap trend terbaharu itu selepas perkara sama disuarakan orang kuat Toyota, Akio Toyoda.

Dalam satu persidangan Reuters, Tavares memberi amaran kepada pihak kerajaan terutama di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah bahawa peralihan secara mendadak kepada EV kemungkinan menggugat pekerjaan serta kualiti kenderaan.

“Apa yang diputuskan adalah mengenakan kos tambahan sebanyak 50 peratus terhadap industri automotif elektrik berbanding kenderaan konvensional.

“Tidak mungkin pemain industri berupaya memindahkan kos tambahan sebanyak 50 peratus tersebut kepada pengguna akhir kerana kebanyakkan pengguna kelas tengah tidak mampu menanggung kos berkenaan,” katanya.

Menurut laporan carbuzz, pengeluar-pengeluar kenderaan bakal berdepan dengan dua pilihan iaitu menaikkan harga dan mengurangkan jualan kenderaan atau mengurangkan margin keuntungan.

Kedua-dua kaedah tersebut bakal menyaksikan pemberhentian pekerjaan dalam industri automotif.

Tavares bukanlah menentang EV tetapi peralihan terlalu pantas perlu dilalui pengeluar kenderaan akan menyebabkan kos berkaitan adalah “melebihi had” yang boleh dikendalikan industri automotif. –carbuzz

Google ads
Back to top button