Buletin

NORTHVOLT TERIMA TEMPAHAN BATERI BERNILAI RM57.5 BILION DARIPADA VOLKSWAGEN

Pembuat bateri dari Sweden, Northvolt memberitahu pihaknya sudah memenangi tempahan bernilai lebih AS$14 bilion (RM57.5 bilion) untuk tempoh 10 tahun daripada Volkswagen. 

Northvolt menyatakan bakal menjual saham dalam syarikat kerjasama Northvolt Zwei di Salzgitter kepada pengeluar kenderaan kedua terbesar di dunia itu yang turut menjadi pemilik tunggal sebuah kilang gergasi di Jerman. 

Northvolt yang berhasrat untuk menjadi pemain utama di Eropah dan bersaing dengan syarikat dari Asia seperti CATL dan LG Chem meletakkan sasaran menguasai 25 peratus di benua itu menjelang tahun 2030. Ia juga memberitahu sudah memperoleh kontrak bernilai lebih AS$27 bilion (RM111 bilion) daripada pelanggan-pelanggan  utamanya. 

“Dengan menyatukan produksi sel ke gigafactory Noerthvolt Ett, pelanggan bakal menikmati faedah skala ekonomi. Sekali gus mampu mendapat harga terbaik dan memberi kesan minimum ke atas penghasilan sel bateri,” katanya dalam satu kenyataan. 

Volkswagen yang kini dalam usaha peralihan besar-besaran ke arah kenderaan dikuasakan oleh bateri merancang untuk memiliki enam kilang penghasilan bateri menjelang tahun 2030 di Eropah. 

Pembuat bateri di seluruh dunia kini untuk cuba memenuhi permintaan pengeluar yang semakin rancak membina kereta elektrik. Para pelabur pula kian galak melabur dalam sektor EV dengan menaikkan nilai syarikat seperti Tesla dan Lucid Motors. 

Minggu lalu, Northvolt telah membeli sebuah syarikat startup Amerika, Cuberg bagi mendapatkan akses teknologi yang boleh meningkatkan jarak perjalanan kereta elektrik. – Reuters 

Google ads
Back to top button