Artikel Pilihan

INI RAHSIA KERETA VOLKSWAGEN LEBIH RINGAN, BERKUASA DAN JIMAT MINYAK

Peranan plastik dalam reka bentuk dan produksi kenderaan sememangnya sangat penting.

Bagi memenuhi keperluan kenderaan moden, saintis dan pakar di makmal polimer Volkswagen Amerika telah menghasilkan penyelesaian inovatid untuk membantu membuatkan kereta lebih ringan serta menjimatkan bahan api.

“Polimer telah menambah baik kehidupan kita dalam pelbagai cara, termasuklah kenderaan. Tidak seperti besi, anda boleh terus membentuknya. Sekali gus menjadikan polimer lebih versatile dan murah.

“Memandangkan ia boleh dihasilkan dengan cepat, maka material ini membantu mengurangkan kos kepada pengguna akhir,” kata pakar penilaian makmal, Ellen Collins.

Istilah polimer merujuk kepada mana-mana rantaian molekul panjang yang mengikat unit-unit bahan kimia atau monomer. Rantaian kimia ini kukuh, lasak dan tahan panas. Ini menjadikannya boleh digunakan dalam banyak komponen kenderaan.

Industri automotif merupakan sektor ketiga paling banyak menggunakan polimer selepas pembungkusan dan pembinaan. Secara purta, terdapat 39 jenis plastik asas yang digunakan dalam kereta. Lebih 70 peratus plastik itu datang daripada empat polimer utama iaitu polypropylene, polyurethane, polyamides dan PVC.

Collins dan pasukannya menguji, memeriksa dan meluluskan komponen-komponen tersebut bagi memastikanya ia tidak mempunyai sebarang kecacatan dari segi tekstur, acuan dan butiran.

Polimer berprestasi tinggi itu direka untuk dipakai dalam tempoh lama dan boleh didapati pada seluruh kereta, daripada tayar sehinggalah kargo belakang. Ia boleh menyerap impak ketika pelanggaran dan meminimumkan kecederaan kepada penumpang serta pemandu.

“Lihat evolusi panel instrumen. Pada asalnya, papan pemuka diperbuat daripada kayu atau besi. Tetapi apabila ditukar dengan polimer, ia menjadi satu pad pelanggaran.

“Ini kerana ia lebih lembut dan mempunyai pad perlindungan yang boleh mengurangkan kecederaan,” kata Collins.

Collins juga memberitahu objektif utama makmalnya adalah untuk mengurangkan berat kenderaan sebanyak mungkin tanpa mengorbankan keupayaan kenderaan. Menurut Jabatan Tenaga, pengurangan berat sebanyak 10 peratus boleh menjimatkan penggunaan bahan api sehingga 8 peratus.  

Kenderaan yang ringan membolehkan pelbagai komponen dihasilkan. Jadi pasukan pereka bentuk dan jurutera boleh menambah teknologi lain seperti sensor elektronik dan beg udara.

Pencapaian terbaharu makmal itu adalah menghasilkan polypropylene bersama pembekal untuk dipadang pada kerangka pintu Volkswagen Atlas.

Collins mengakui peranan plastik dalam reka bentuk dan produksi kereta semakin penting. Malah permintaan ke atas polimer terus meningkat pada dekad akan datang.

“Kami yakin polimer adalah masa depan. Kami harap semua pengeluar akan mengambil pendekatan sama kerana ia dapat mengurangkan emisi ke udara,” jelas Collins.

Google ads
Back to top button