VOLKSWAGEN GOLF R MK8, BOLEH CUCI KAKI TERUS!
Mahukan sebuah kereta yang selesa bawa penumpang? Reka bentuk bergaya? Ada kuasa? Jawapannya pada Volkswagen Golf GTI. Ini adalah model versatil dan tidak menghairankan kenapa begitu digemari.
Bagaimana jika anda mahu sesuatu yang lebih berperisa? Jawapannya pada Golf R. Volkswagen baru sahaja memperkenalkan Golf R generasi kelapan (Mk8) dengan jualan awal dibuka pada 5 November 2020.
Golf R adalah model andalan (flagship) dan secara tradisinya model paling berkuasa dalam siri Golf. Tiga ciri utama Golf R ialah pacuan semua roda, dinamika pemanduan tinggi, reka bentuk dan komponen eksklusif.
Golf R baharu meneruskan tradisi tersebut dan kali ini lebih berkuasa dari model sebelumnya.
Enjin 2.0 liter turbo EA888 membekalkan 315 hp dan tork 420 Nm berbanding 296 hp dan 380 Nm pada Golf R generasi ketujuh (Mk7). Daya pecutan 0 hingga 100 km/j hanya memerlukan 4.7 saat manakala kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j.
Enjin itu dipadan bersama transmisi DSG tujuh kelajuan sebagai ciri standard.
Kuasa lebih tinggi boleh diperolehi melalui pesanan pakej R-Performance yang meningkatkan kelajuan kepada 270 km/j.
Sistem pacuan semua roda 4MOTION kini dilengkapi dengan R-Performance Torque Vectoring yang merupakan pusat kawalan baharu untuk membahagikan kuasa enjin kepada roda.
Sistem pacuan bukan sahaja membahagikan kuasa enjin di antara roda depan dan belakang tetapi juga di antara kedua-dua kanan dan kiri roda belakang.
Kawalan itu dapat meningkatkan tahap kelincahan kereta dengan signifikan terutama sekali ketika mengambil selekoh.
Selain itu, pacuan semua roda Golf R dihubungkan melalui Vehicle Dynamics Manager (VDM) dengan sistem lain seperti electronic differential locks dan adaptive chassis control DCC.
Dengan integrasi pelbagai sistem yang berbeza membolehkan Golf R menawarkan ciri cengkaman yang optimum dan pengendalian neutral dan tahap kejituan tinggi.
Satu lagi ciri istimewa Golf R ialah apabila tetapan kereta ini diperhalusi (fine-tuned) di Nürburgring Nordschleife.
Pakej khas R-Performance mempunyai profail pemanduan Nürburgring yang dikenali sebagai Special. Di antara keistimewaan mod Special ialah talaan kereta disesuaikan mengikut karakteristik Nürburgring seperti redaman lebih lembut.
Hasil ujian dalaman VW di Nürburgring Nordschleife menunjukkan Golf R mencatatkan masa pusingan 7:51 minit atau 19 saat lebih pantas berbanding berbanding model sebelumnya.
Satu lagi pilihan pemanduan menarik ialah mod Drift yang melaras semula pembahagian kuasa di antara roda untuk membolehkan hatchback ini dipandu secara sideway!
Anda juga boleh memadamkan fungsi Kawalan Penstabilan Elektronik (ESC) untuk pemanduan yang lebih serius atau mencabar!
Dari segi reka pengendalian, badan Golf R direndahkan sebanyak 20 mm berbanding Golf standard, kadar kekenyalan gegelung dan bar anti oleng ditingkatkan sebanyak sepuluh peratus.
Sub kerangka aluminium pula mengurangkan berat sebanyak tiga kilogram manakala roda ditetapkan dengan larasan camber negatif 1.2 darjah.
Dari luar, VW Golf R Mk8 tampil garang dengan roda 19 inci, skirt sisi, cermin sisi krom kusam, angkup brek biru, diffuser, spoiler dan empat muncung ekzos Akrapovic.
Harga belum didedahkan dan untuk perspektif di antara saingan Golf R ialah sebuah lagi hatchback handal iaitu Mercedes-Benz A45 S.
BACA: VW GOLF GTI Mk8 – REKA BENTUK EVOLUSI, TEKNOLOGI CANGGIH