
NORTON V4CR, CAFÉ RACER BAHARU BRITISH, 200 UNIT, RM239 RIBU!
Norton Motorcycles merupakan pengeluar motosikal yang bersejarah. Syarikat ditubuhkan pada 1898 oleh James Lansdowne Norton di Birmingham, England sebagai pengeluar perkakasan dan komponen kenderaan dua roda.
Sepanjang sejarahnya, Norton mengeluarkan pelbagai model ikonik seperti 650SS, Atlas, Commando, Dominator termasuk motosikal yang bernadikan enjin Wankel.
Norton juga menempa sejarah di dalam sukan permotoran dan nama yang sinonim di dalam perlumbaan Isle of Man TT.

Di dalam usia lebih 100 tahun, pemilikan Norton telah beberapa kali bertukar tangan dan pada April 2020, syarikat dibeli oleh TVS Motor Company yang merupakan pengeluar motosikal ketiga terbesar di India.
Di bawah TVS, Norton berpindah ke pusat pengeluaran baharu di Solihull, West Midlands dan masih lagi kekal dengan tradisi pembuatan tangan selain penggunaan mesin moden untuk kualiti yang konsisten.
Apa model yang ditawarkan Norton? Setakat ini ada tiga iaitu Commando 961, V4SV dan terbaru model café racer V4CR yang juga motosikal sport naked pertama syarikat.
Selain itu, V4CR adalah motosikal baharu pertama yang dikeluarkan Norton di bawah pemilikan TVS. V4SV ditambah baik dan generasi baharu Commando 961 dilancarkan pada tahun lalu.

Seperti namanya, V4CR adalah adik kepada V4SV dan hadir dengan identiti tersendiri sebagai sebuah café racer.
Dengan gayaan café racer, segala komponen seperti kerangka aluminium, enjin dan saluran ekzos titanium terdedah kepada umum. Tanpa reraut depan dan ekor pendek, V4CR nampak padat.
Panel badan V4CR dibuat dari gentian karbon dan di bawah pelana disimpan tangki petrol 15 liter yang juga dibuat dari gentian karbon dan diperkukuh dengan Kevlar.
V4CR digerakkan enjin 1,200 cc V4 72 darjah sejukan cecair yang menghasilkan 185 bhp pada 12,000 rpm dan tork 125Nm pada 9,000 rpm.

Kotak gear dilengkapi penukar cepat dan sistem blip automatik. Turut dilengkapi kawalan cengkaman dengan sensitiviti sudut rebah dan tiga mod tunggangan iaitu Wet, Road dan Sport.
Bacaan data motosikal dipaparkan pada skrin TFT berwarna saiz enam inci dan dilengkapi sistem penghidup tanpa kunci.
Ada dua skema warna yang ditawarkan iaitu Manx Platinum dengan badan berwarna platinum, panel karbon, pelana oren dan rim tempa aluminium OZ Racing.
Pilihan kedua V4CR Carbon membawa gayaan badan karbon terdedah, pelana hitam dan rim BST gentian karbon.
Pengeluaran V4CR dihadkan kepada 200 unit sahaja dan ditawarkan pada harga 41,999 pound (RM239,357).
Spesifikasi Norton V4CR 2023
- Enjin Norton 1,200cc V4, 72 darjah, sejukan cecair
- Aci pacuan rantai dengan gear pelahu untuk mengurangkan ukuran tinggi enjin
- Gerek dan lejang 82mm x 56.8mm
- Nisbah mampatan 13.6:1
- 8 pemancit bahan api, sistem pemanduan dengan wayar (DBW) penuh yang berasingan pada silinder depan dan belakang
- Injap inlet titanium
- Klac gelincir
- Kerangka aluminium berongga, kimpalan TIG dengan tangan dan dikilatkan juga dengan tangan sehingga warna krom
- Jarak roda 1,435mm, berat badan 204kg
- Peredam hendal Öhlins
- Suspensi depan larasan penuh Öhlins NIX30 43mm
- Suspensi belakang buatan khas Norton Öhlins TTXGP larasan penuh dengan larasan awal hidraulik
- Brek depan dua cakera 330mm. Angkup, cakera dan silinder utama Brembo
- Brek belakang dengan cakera 245mm, angkup dan silinder utama Brembo
- Kawalan cengkaman dengan Unit Pengukuran Inersial (IMU) enam paksi
- ABS depan dan belakang
- Kawalan lompatan
BACA >>> TVS MOTOR INDIA BELI NORTON MOTORCYCLES RM87.4 JUTA








