Motosikal

TVS MOTOR CO. BERHAJAT MILIKI NORTON MOTORCYCLES

Pengeluar motosikal terkenal India, TVS Motor Co. menjadi salah satu pembida berpotensi untuk memiliki jenama Norton Motorcycles. 

Seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg sebelum ini, TVS dikatakan telah menghubungi penyelia jenama Norton, BDO LLP. TVS merupakan antara pengeluar motosikal utama di pasaran Asia. Ia menghasilkan motosikal sports berkuasa kecil dan kenderaan utiliti roda tiga. 

Baru-baru ini, nilai saham syarikat berkenaan mengalami penyusutan sehingga 40 peratus. Namun, TVS masih mempunyai nilai pasaran sekitar AS$1.78 bilion (RM7.37 bilion). 

Pengambilalihan jenama Norton membolehkan TVS menyertai pasaran motosikal mewah yang lumayan. Ini kerana jenama Norton bukan sahaja diminati oleh pengguna di Britain, malah di seluruh dunia.

Norton berada dalam keadaan terumbang-ambing berikutan masalah pengurusan yang menyebabkan jenama penuh sejarah itu mungkin tumbang. 

Norton yang menghasilkan motosikal pertama pada tahun 1902 telah banyak kali bertukar tangan. Pemilik terkininya ialah seorang usahawan, Stuart Gardner yang dilihat cuba menghidupkan kembali jenama itu menerusi model Commando dan Dominaor versi moden. 

Bekas Ketua Pegawai Ekskutif Norton, Stuart Garner bagaimanapun sedang disiasat oleh pihak berkuasa dana pencen kerana menggunakan sumber kewangan badan tersebut bagi tujuan pelaburan.

Norton didakwa berhutang sebanyak  £30 juta (RM162 juta) dengan pelanggan, syarikat pinjaman dan pemegang dana pencen. 

Google ads
Back to top button