Buletin

OPS BERSEPADU CNY, 18-28 JAN 2023. 2,000 ANGGOTA JPJ TERLIBAT, KUATKUASA 7 KESALAHAN LALU LINTAS UTAMA

Sempena sambutan Tahun Baru Cina Tahun 2023 pada 22 dan 23 Januari 2023, Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama-sama Kementerian Kerja Raya (KKR) telah melancarkan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan Tahun 2023.

Mengekalkan tema yang sama iaitu “Pandu Cermat, Sampai Selamat”, Ops Bersepadu dan kempen yang akan bermula pada 18 hingga 28 Januari itu turut melibatkan penglibatan pelbagai agensi di bawah MOT dan KKR. Antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS.

Kempen berkenaan berpaksikan kepada empat teras utama iaitu pendidikan dan advokasi, penguatkuasaan, pencegahan dan pemantauan serta penilaian. Seramai 2,000 orang anggota penguatkuasa JPJ akan terlibat secara langsung dalam Ops Tahun Baru Cina (TBC) pada tahun ini. 

Antara inisiatif yang dilaksanakan oleh JPJ adalah kaedah penyamaran di atas Bas Ekspres, pemantauan melalui Enforcement Based Station (EBS) di 14 lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya, pelaksanaan Perception Of Being Caught (POBC) dan Ops Khas Motosikal. 

JPJ akan mengadakan Pra-Ops Tahun Baru Cina, bermula 14 hingga 17 Januari 2023 yang melibatkan pemeriksaan bas ekspres di 77 buah depoh dan 28 terminal bas utama di seluruh negara. Ia bertujuan memastikan bas-bas ekspres sentiasa berada dalam kondisi terbaik. 

Seperti setiap tahun, Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan juga akan dilaksanakan pada dua hari sebelum dan dua hari selepas perayaan (20-21 Januari 2023 sebelum) dan 24-25 Januari 2023 (selepas).

Larangan itu bertujuan untuk mengelakkan risiko berlakunya nahas jalan raya akibat percampuran aliran trafik di antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan, selain mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Tujuh kesalahan lalu lintas utama akan dikuatkuasakan sempena Ops Bersepadu dan kempen pada tahun ini iaitu:

  • Memotong barisan
  • Memotong di garisan berkembar
  • Tidak mematuhi isyarat lampu merah
  • Memandu melebihi had laju
  • Penggunaan telefon bimbit semasa memandu 
  • Tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar
  • Memandu di lorong kecemasan. 
Google ads
Back to top button