Buletin

PADA 2001, HONDA PERKENAL INTEGRA TYPE R TERAKHIR DALAM SEJARAH

Tahukah anda Honda sekarang ini sedang menggamit kenangan silam melalui model-model terbarunya. Mula sekali Honda keluarkan HR-V generasi kedua selepas lapan tahun tanpa pengganti.

Kemudian Honda keluarkan pula Insight generasi ketiga selepas tiga tahun senyap. Tanpa angin tanpa ribut, Honda mahu perkenal Urban EV yang mengambil semula reka bentuk Civic Telur.

Begitu juga dengan motosikal, Cub C70 muncul kembali dalam bentuk retro SuperCub 125. Di Amerika Syarikat, Honda keluarkan generasi ketiga SUV Passport selepas 15 tahun tanpa model gantian.

Menariknya kedua-dua generasi Passport sebelum ini adalah model rebadge daripada Isuzu Rodeo.

Apabila melihat aliran pengenalan semula ini tertanya pula apa khabar dengan Honda Integra, atau lebih spesifik Type R DC5?

Honda Integra Type R DC5 diperkenalkan di Jepun pada 2 Julai 2001 dan model susulan kepada Integra Type R DC2. Integra nampak seperti model yang tidak ada kesinambungan tetapi DC5 adalah model keempat dan terakhir sejak pertama kali pada tahun 1985.

Secara tradisinya Integra adalah model hatchback atau coupe Honda namun terdapat pengecualian untuk generasi pertama dan kedua yang datang dengan versi empat pintu. Integra juga pernah direbadge sebagai Rover 416i..

Honda Integra Type R DC5 dibina berdasarkan tiga konsep iaitu sharp and solid styling, exciting driving and excellent safety and ecological performance.

Satu perkara lagi ialah semasa Honda membangunkan Integra Type R, ada sebuah lagi yang dibangunkan bersama iaitu Integra iS dengan gayaan dan kuasa lebih rendah. Walau bagaimanapun kedua-dua model ini mempunyai badan dengan ketegaran tinggi.

Di bawah ialah ciri-ciri pada Honda Integra Type R DC5:

Enjin:

  • 2.0 liter DOHC i-VTEC K20A dengan kuasa 220PS/216HP dan putaran enjin tinggi
  • Dipadankan bersama transmisi enam kelajuan manual nisbah singkat (close ratio)
  • Enjin, transmisi dan suspensi dipadankan bersama supaya mempunyai keharmonian untuk pemanduan berprestasi
  • 10 kg lebih ringan berbanding enjin 1.8 liter Integra Type R DC2
Reka bentuk:
  • Menggunakan tema sharp and solid supaya tampil aerodinamik
  • Bentuk badan kereta seperti kepala anak panah
  • Lampu belakang dengan bentuk silinder (bulat) untuk gaya progresif
  • Kit badan aerodinamik seperti lips depan, skirt sisi, skirt belakang dan spoiler belakang

Interior

  • Suis kawalan, tombol gear dan stereng direka untuk memudahkan pergerakan pemandu
  • Empat kelompok meter dengan lampu nyalaan belakang berwarna merah
  • Kerusi bucket Recaro
  • Stereng MOMO bersaiz kecil dengan balutan kulit
  • Pedal minyak, brek, klac, perehat kaki diperbuat daripada aluminium ringan untuk mengurangkan berat

Transmisi

  • Enam kelajuan nisbah singkat (close ratio) untuk keserasian di antara enjin dengan putaran dan zon tujahan tinggi
  • Flywheel yang sangat ringan diperbuat daripada besi chrome-molybdenum yang mengurangkan jisim enersia sebanyak 30 peratus berbanding Integra Type R DC2
  • Saiz transmisi lebih kompak dengan ukuran panjang 20mm lebih pendek dan 2.5kg lebih ringan berbanding transmisi manual lima kelajuan Integra Type R DC2

Badan dan casis

  • Ketegaran belokan (bending) ditambah sehingga 35 peratus manakala ketegaran torsi (torsional) lebih 116 peratus berbanding Integra DC2 Type R
  • Mempunyai tetulang aluminium pada bahagian bampar belakang, palang strut, dan damper cassette belakang untuk badan lebih kuat
  • Tulang bampar depan diganti dengan aluminium untuk mengurangkan berat kereta
  • Suspensi depan dengan toe control link strut dan suspensi belakang double wishbone dengan reactive link
  • Knuckle depan lebih kukuh, palang pengimbang belakang lebih besar, bushing dan topang suspensi lebih keras
  • Lower arm depan dan angkup brek belakang daripada aluminium
  • Brek depan yang dibangunkan bersama Brembo
  • Penyejukan brek dibantu oleh paip aliran udara khas dan ‘daun pisang’ dengan liang udara
  • Honda Integra Type R ini hanya dipasarkan di Jepun sahaja tetapi tidak menjadi masalah untuk beberapa buah negara lagi yang mengimportnya secara bebas termasuk Malaysia.

Model coupe khusus buatan Honda ini ditamatkan pengeluaran pada tahun 2006 dan tiada lagi khabar berita mengenainya. Walau bagaimanapun, Integra Type R ini masih boleh dimiliki di negara kita, hanya sediakan wang tunai bermula dari RM60,000!

BACA: HONDA INTEGRA DC2 – KESUKAAN AMERIKA!

BACA: HONDA CIVIC EP3 TYPE-R DAN INI PULA KEGILAAN MUGEN

Google ads
Back to top button