PADA 2003, HONDA ODYSSEY RB1 DIPERKENAL DI JEPUN
Di pasaran tempatan kenderaan jenis wagon kurang digemari ramai, tetapi benarkah begitu? Ada dua jawapan iaitu benar dan tidak tepat.
Benar jika wagon yang dimaksudkan ialah jenis lima tempat duduk yang kebanyakannya dipasarkan oleh jenama premium.
Tidak tepat jika wagon yang dirujuk ialah model enam atau tujuh tempat duduk.
Perhatikan jumlah jualan model seperti Nissan Grand Livina, Perodua Alza, Honda Stream dan Toyota Wish.
Keempat-empat model tersebut masih boleh dimiliki di bilik pameran baharu atau pengimport bebas yang menunjukkan wagon enam hingga tujuh tempat duduk masih mempunyai permintaan di kalangan pengguna.
Sebagai rujukan, kami berpendapat wagon merujuk kepada sebuah kenderaan yang mempunyai ketinggian rendah seperti kereta sedan dan bumbung memanjang ke belakang tanpa but.
Sebuah lagi wagon yang kami maksudkan ialah Honda Odyssey RB1 dengan saiz sederhana dan mempunyai tujuh tempat duduk.
Pada 17 Oktober 2013 Honda Motor Co., Ltd. mengumumkan pengenalan Odyssey generasi ketiga (RB1) untuk pasaran Jepun.
Walaupun kami berpendapat Odyssey adalah sebuah wagon, Honda secara rasmi merujuk model ini sebagai van mini.
Satu fakta menarik tentang di dalam siaran rasmi Odyssey pada tahun 2003 ialah ukuran garis bumbung 1,550 mm dan Honda mengatakan saiz ini bersesuaian untuk melepasi parkir bertingkat.
Idea ini nampak logik dan dapat dikaitkan dengan falsafah Jepun yang mementingkan dan menghargai ruang.
Dari sudut reka bentuk, Honda memaklumkan Odyssey generasi ketiga adalah campuran tiga konsep iaitu kelajuan (pusat graviti rendah untuk pemanduan dan pengendalian lebih baik), elegan (kedudukan keseluruhan yang rendah) dan ruang yang luas (lebih ruang untuk kepala berbanding model sebelum).
Selain itu, jika ada yang perasan terdapat dua model Odyssey sering diiklankan di laman web jual beli iaitu model standard dan Absolute.
Menurut Honda, model Absolute ini mempunyai perbezaan daripada segi kuasa enjin, talaan suspensi dan sistem brek selain kit badan dan rim yang boleh dilihat daripada luar.
Untuk enjin hanya satu jenis ditawarkan iaitu 2.4-liter DOHC i-VTEC K24A yang sama seperti CR-V dan Accord.
Walaupun dengan hanya enjin tunggal, Odyssey ditala dengan tiga kuasa berbeza mengikut varian dan jenis pacuan roda.
Berikut ialah beberapa fakta menarik tentang Honda Odyssey generasi ketiga (RB1):
- Lima jenis varian iaitu S, M, L, Absolute dan ALMAS (versi kerusi roda)
- Varian S,M,L berkuasa 160 PS dengan pilihan transmisi CVT tujuh mod kelajuan, lima kelajuan automatik (5AT+S-matic) dan pacuan roda (FF) depan dan 4WD
- Varian Absolute mempunyai dua kuasa enjin iaitu 200 PS (FF) dan 190 PS (4WD) dengan transmisi lima kelajuan automatik (5AT+S-matic) dan pacuan roda depan (FF) dan 4WD
- Kelengkapan pilihan seperti beg udara sisi (kerusi baris pertama hingga ketiga), IHCC (Intelligent Highway Cruise Control – kawalan kelajuan dan kawalan jarak di antara kenderaan), CMS (Collision Mitigation Brake System) yang menggunakan radar untuk mengukur jarak dengan kenderaan depan dan memberi amaran audio jika terdapat risiko pelanggaran, jika pelanggaran hampir berlaku sistem akan menambah tekanan pembrekan sebagai bantuan kepada tindakan oleh pemandu
- AFS (Adaptive Front-lighting System, dengan fungsi larasan automatik)
- Sistem navigasi Honda HDD dengan arahan suara dan kamera undur
- Sistem hiburan penumpang dengan paparan skrin sembilan inci dan dua fon kepala tanpa wayar
Honda Odyssey Absolute
Satu perkara menarik ialah walaupun Odyssey mempunyai saiz lebih kecil berbanding pesaing iaitu Toyota Estima (Tarago), ia berjaya mencatatkan prestasi yang baik di Australia pada 2015 dengan jualan mengatasi model tersebut.
Honda Odyssey RB1 dan RB2 berada di pasaran selama lima tahun sehingga digantikan dengan sebuah lagi ‘wagon’ iaitu Odyssey RB3 pada tahun 2008.
Walaupun sudah berusia, Honda Odyssey generasi ketiga masih lagi menjadi buruan di pasaran tempatan dek kerana harga dan keunikan reka bentuknya.
Lagi pula memandu Odyssey ibarat sebuah sedan dengan bonus tujuh tempat duduk. Mana lagi nak dapat sebuah kereta yang boleh memuatkan ramai penumpang tanpa memiliki sebuah MPV pada hari ini?
Jawapannya pada Honda Odyysey!
- BACA: #IKLANPILIHAN: MPV HONDA ODYSSEY RB1 ABSOLUTE
- BACA: MPV BESAR JEPUN YANG SANGAT MAMPU MILIK – HONDA LA GREAT
- BACA: Honda Odyssey Jalanan Hijau!
Honda Odyssey Absolute: