
PADA 2005, HONDA NSX DITAMATKAN (15 TAHUN DI PASARAN)
Honda NSX generasi pertama adalah kereta legenda. Model ini masih diburu sehingga sekarang pada harga yang masih tinggi.
Walaupun NSX sudah mempunyai pengganti, model asal kekal istimewa dek kerana teknologi yang mendahului zaman dan kaitannya dengan Aryton Senna.
Model ini mempunyai jangka hayat jualan yang lama iaitu dari tahun 1990. Menariknya NSX mula dijual di Amerika Syarikat terlebih dahulu pada bulan Ogos sebelum Jepun menyusul pada bulan September.
Prototaip NSX pertama kali dipertontonkan kepada umum pada Februari 1989 di Pameran Kenderaan Chicago. Dari awal lagi Honda sudah jelas di mana NSX akan dipasarkan.
Satu perkara unik tentang NSX ialah ianya kereta produksi pertama di dunia dengan bentangan enjin tengah dan badan monocoque yang diperbuat daripada aluminium.
Selepas itu Honda tidak duduk diam, program evolusi terus berjalan daripada sesaran enjin yang dibesarkan, transmisi enam kelajuan manual, ciri aerodinamik, saiz tayar berbeza dan penambahan dua varian iaitu NSX Type-T (open top) dan NSX Type-R khusus untuk prestasi.
Satu lagi keistimewaan NSX ialah ciri mesra emisi bersih yang menjadikannya sebuah kereta prestasi dan juga prihatin terhadap alam sekitar.
Setelah 15 tahun di dalam pasaran, Honda pada 12 Julai 2005 mengumumkan penamatan pengeluaran NSX.
Sebagai sebuah kereta yang dibuat untuk pasaran niche, jualan NSX sehingga penghujung Jun 2005 ialah lebih daripada 18,000 unit.
Semasa mengumumkan penamatan pengeluaran, Honda turut berkongsi bahawa sebuah model pengganti sedang dibangunkan dan akan menggunakan teknologi termaju Honda.
Meskipun pengeluaran ditamatkan, Honda tetap akan terus menyokong pemilik sedia ada seperti program Refresh Plan untuk memastikan NSX dijaga sebaik mungkin dan program Perjumpaan Pemilik NSX bagi membantu pemilik menambah skil pemanduan mereka.
Pengeluaran NSX akhirnya ditamatkan pada penghujung September 2005 untuk pasaran Eropah dan penghujung Disember 2005 untuk pasaran Amerika Utara.
Setelah lama menunggu, NSX generasi kedua akhirnya tiba di pasaran iaitu pada tahun 2016.
Adakah NSX generasi kedua akan mencapai status yang sama seperti generasi pertama?