Pandu Uji

TOYOTA AVANZA 2019 – INI RASANYA MEMANDU BABY VELLFIRE

UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. telah mengumumkan yang mereka kini sudahpun mula mengambil tempahan untuk Toyota Avanza 2019.

Terdapat 3 pilihan varian – 1.5E, 1.5S dan 1.5 S+. Tiada lagi varian 1.5G dan varian 1.5X digantikan dengan 1.5S+. 4 warna ditawarkan iaitu merah metalik (Dark Red Mica Metallic), perak metalik (Silver Mica Metallic), putih dan hitam metalik.

Rasanya ramai yang sudah pun mengetahui tentang update terkini luaran Avanza baru yang juga diberi gelaran ‘baby Vellfire’ ini.

Dalam usaha meningkatkan lagi penampilan Avanza, ia kini dilengkapkan dengan lampu hadapan LED bertingkat ala-Vellfire, selain foglight standard untuk kegunaan semasa perlu.

Penggunaan lampu Bi-LED bukan hanya menaikkan seri, malah membantu meningkatkan keselamatan semasa memandu. LED bukan hanya lebih tahan lama, malah ia juga menggunakan tenaga yang minima.

Berbanding MPV lain yang nampak lebih berotot, Avanza baharu kelihatan lebih slim. Ia turut dipasang dengan kemasan-kemasan krom yang membuatkannya kelihatan lebih upmarket.

Avanza juga dilengkapi antena jenis ‘shark fin’ dan cermin sisi yang direka semula untuk mengurangkan bunyi angin. Model 1.5S dan 1.5S+ mempunyai cermin sisi yang boleh dilipat secara automatik.

Untuk kemudahan sewaktu hujan, Avanza baru dilengkapi sistem pengelap cermin automatik yang sensitif kepada kelajuan. Bukan itu sahaja, pengelap cermin belakang juga akan berfungsi secara automatik sebaik sahaja gear mengundur dimasukkan.

Bahagian dalaman Avanza yang saya uji juga kelihatan lebih baik berbanding model sebelumnya yang dilancarkan pada 2015. Sama ada dari segi standard mahupun material yang digunakan. Ia kini kelihatan lebih sporty, tetapi masih selesa dan menyenangkan para penumpang.

Antara ciri menarik ialah penggunaan dua tona pada papan pemuka, fabrik berwarna gelap bersama adunan warna merah yang sporty. Sementara kemasan berwarna perak pada papan pemuka menjadikannya kelihatan lebih premium.

Avanza 1.5S+ lebih istimewa kerana ia dilengkapi ciri Apple CarPlay dan Android Auto yang memudahkan pemandu menggunakan aplikasi-aplikasi popular terus dari telefon pintar ke papan pemuka kenderaan.

Dua port USB disediakan untuk mengecas telefon bimbit, jadi anda tidak perlu lagi menggunakan pengecas yang dibeli dari kedai RM2.

Tahap keselamatan kini dipertingkatkan lagi dengan Blind Spot Monitor (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). Walaupun ia cuma ditawarkan untuk model premium, tetapi ia sebenarnya cukup bermakna dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya.

Semua model dilengkapi dengan beg udara SRS berkembar, namun begitu kamera pandang belakang hanya standard untuk varian 1.5S+.

Avanza baharu dikuasakan enjin 2NR-VE 1.5L DOHC Dual VVT-i yang dipadankan dengan transmisi automatik elektronik 4-kelajuan. Enjin itu mampu menghasilkan kuasa 105PS kuasa dan tork 136Nm pada 4,200 rpm.

Memang angka tersebut kelihatan kecil, tetapi ia sudah lebih dari mencukupi untuk model seperti ini. Ini bukannya kereta sport ye tuan-tuan. Malah kami sendiri tidak mempunyai sebarang isu tentang enjin sepanjang menguji MPV ini.

Satu lagi perkara menarik tentang Avanza, MPV ini mempunyai tahap NVH yang agak memuaskan dengan penggunaan material penyerap bunyi bising secara menyeluruh di seluruh bahagian kabin.

Perhatian turut diberikan bagi mengurangkan bunyi dari sistem transmisi demi keselesaan penumpang. Kini anda boleh menikmati percutian sekeluarga atau balik kampung dengan aman dan selesa. Tapi kalau yang bising itu anak-anak anda, memang tak mampu la para jurutera automotif mengatasinya.

Para pemilik Avanza juga akan memperolehi perakam video digital (DVR) Toyota untuk merakam perjalanan (sekali lagi anda tak payah membeli aksesori murahan untuk tujuan sama).

Ia ditawarkan sebagai aksesori standard untuk varian 1.5S+ dan aksesori pilihan bagi 1.5E. DVR belakang juga ditawarkan dengan penambahan kos bagi varian yang sama.

Untuk sesi pandu uji, saya memilih laluan lebuh raya dan jalan-jalan persekutuan biasa kerana memang inilah kawasan permainan Avanza sebenarnya. Walaupun bentuknya sedikit menyerupai SUV 4×4 tetapi ia sebenarnya masih merupakan sebuah kereta penumpang.

Dengan tebatan material kalis bunyi, Avanza memang lebih selesa berbanding sebelumnya. Gangguan bunyi angin dari luar sudah kurang kedengaran dan anda boleh menikmati alunan muzik tanpa gangguan.

Tempat duduknya masih dikira selesa untuk kenderaan sekelas dengannya. Tapi kalau memiliki Toyota Vellfire jangan la pulak nak banding antara dua model ni. Itu dah kira main tipu.

Walaupun sistem suspensi dan kawalan Avanza ini sudah ditala semula, kami tidak mengesyorkan anda mengambil selekoh seperti pelumba-pelumba kejuaraan D1 dunia. Ini kereta penumpang dan yang membelinya pun biasanya mempunyai ahli keluarga yang agak ramai.

Dari sudut ekonomi bahan api pula, Avanza memang berbaloi untuk dimiliki. Tapi bagi saya, faktor penjimatan memang sangat berkait rapat dengan tabiat pemanduan.

Semakin agresif anda memandu, memang makin tinggilah penggunaan bahan api. Tapi kalau dah memandu macam tengah bawa balik hasil rompakan, bukan setakat penggunaan petrol jadi tinggi, tekanan darah lagi la naik tinggi.

GALERI

Google ads
Back to top button