VELLFIRE MAHAL? TOYOTA VOXY LEBIH MURAH DAN DIJUAL DI MALAYSIA
Satu budaya rakyat Malaysia ialah mengembara bersama keluarga. Budaya tersebut didorong oleh ikatan kekeluargaan yang kuat serta infrastrukur dan kemudahan seperti lebuh raya dan destinasi pelancongan.
Bagi memenuhi budaya tersebut, pengguna tempatan memerlukan sebuah kenderaan yang sesuai.
Ada yang memilih kereta sedan, MPV atau SUV. Mereka yang berkemampuan pula memilih MPV besar dan mewah seperti Toyota Vellfire dan Alphard.
Namun sedia maklum harga kedua-dua model tersebut berada dalam kategori premium.
Adat meniaga, pengeluar kenderaan menawarkan pelbagai alternatif yang jauh lebih murah seperti Nissan Serena, Mazda Biante (sudah dihentikan), Toyota Innova atau SUV tujuh tempat duduk seperti Nissan X-Trail dan Mitsubishi Outlander.
Tawaran untuk MPV di bawah RM 100,000 pula lebih meriah dengan Toyota Rush, Toyota Avanza, Perodua Aruz, Perodua Alza, Honda BR-V, Proton Ertiga, Proton Exora dan Nissan Grand Livina.
Bagaimana jika anda tidak berkenan dengan semua model tersebut dan hati masih lekat pada Toyota Vellfire atau Alphard?
Jawapannya ialah Toyota Voxy.
Sejarah Voxy sebenarnya begitu dekat dengan rakyat tempatan. Voxy bermula daripada Toyota Noah yang diperkenalkan pada tahun 2001 bagi menggantikan LiteAce/TownAce Noah.
Noah adalah van yang berada di bawah Vellfire dan Alphard.
Model generasi kedua diperkenal pada tahun 2007 dan disusuli model facelift pada tahun 2010.
Menariknya model facelift tersebut dikenali sebagai NAV1 dan dipasang dan dijual di Indonesia sehingga tahun 2017.
NAV1 diposisikan di antara Toyota Innova dan Alphard.
NAV1 yang dijual di Indonesia dari tahun 2012 itu kemudian dihentikan pengeluaran pada tahun 2017.
Pada tahun yang sama juga Toyota menggantikan NAV1 dengan Voxy facelift generasi ketiga dan diimport terus daripada Jepun.
Apa kaitan Voxy Indonesia dan bagaimana van ini alternatif kepada pengguna tempatan yang meminati Vellfire atau Alphard?
Jawapannya ialah Toyota Voxy turut ditawarkan di dalam negara dan diimport dari Jepun oleh syarikat bebas .
Voxy sebenarnya berada dalam segmen sama seperti Nissan Serena dan Mazda Biante, ia juga mempunyai badan yang langsing dan tinggi.
Dari luar jelas ia ‘adik’ kepada Vellfire dengan lampu depan yang terpisah dua.
Sama seperti Alphard dan Vellfire, van ini boleh memuatkan sehingga lapan penumpang, dua pintu berkuasa, kamera undur dan skrin bumbung bergantung kepada spesifikasi.
Voxy dikuasakan oleh enjin 2.0 liter 3ZR-FAE Valvematic dengan transmisi Super CVT-i.
Di Jepun, Voxy ditawarkan dalam sejumlah gred seperti X, V, ZS, C Package. Gred tersebut dipisahkan dengan pakej kelengkapan dan tempat duduk sama ada tujuh atau lapan.
Toyota Voxy yang diperkenalkan pada tahun 2014 dipasarkan pada harga bermula JPY 2,210,000 (2WD asas) sehingga JPY 2,970,000 (4WD premium).
Dari semakan di laman web jual beli kenderaan tempatan, Toyota Voxy recond dijual dari harga RM 120,000 hingga RM 170,000.
Harga tersebut tinggi berbanding pesaing lain dalam segmen sama dan itu adalah prestij dalam memiliki sebuah mini Vellfire!
- BACA: RASMI: TOYOTA HIACE BAHARU AKHIRNYA DILANCARKAN!
- BACA: TOYOTA TACOMA, INI HILUX DI AMERIKA SYARIKAT
- BACA: BICARA TEKNIKAL: KENALI ENJIN VVT-iW YANG GENIUS DARI TOYOTA
- BACA: SELAMAT DATANG TOYOTA SUPRA TRD!