Buletin

WALAUPUN HARGA RM86K, PERODUA BEZZA PALING LARIS DALAM SEGMEN BAWAH 1.0L DI SRI LANKA

Selepas dua tahun dijual di pasaran Sri Lanka, Perodua Bezza kini menjadi sedan bawah-1.0 liter paling laris di sana. 

Untuk tempoh tujuh bulan pertama 2019, Perodua Bezza menduduki tempat teratas dalam kategori bawah 1.0 liter di Sri Lanka dari segi jualan kenderaan baharu, baik sedan mahupun hatchback.

Dilancarkan di Sri Lanka pada Jun 2017 dengan harga Rs 3.69 juta (RM86,200*) seunit, Bezza telah dibeli oleh 1,500 pelanggan. Angka itu sekali gus menjadikannya antara model Perodua yang mencatat jualan terpantas di sana. Sementara Axia pula mencatat jualan 3,000 unit sejak dijual pada tahun 2015.

Hanya satu varian Bezza ditawarkan iaitu versi automatik yang menggunakan khidmat enjin 998 cc VVT-i blok aluminium dan dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan. Ia mampu menawarkan penggunaan bahan api sekitar 21km/l.

Sri Lanka merupakan pasaran eksport terbesar Perodua. Sejak tahun 1997, pengedar tempatannya, Unimo Enterprises, telah menjual lebih 15,600 kenderaan Perodua .

“Kami bekerjasama rapat dengan Unimo dengan menyediakan latihan teknikal dan pengetahuan produk untuk kakitangan jualan dan servis mereka. Ini bagi  memberi lebih keyakinan penuh kepada pelanggan di Sri Lanka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Perodua akan terus memberi sokongan kepada para pengedar di luar Malaysia, selari dengan hasratnya untuk berkembang di rantau Asia Pasifik.

Sasaran eksport Perodua untuk 2019 adalah sebanyak 3,270 kenderaan, naik 50 peratus daripada 2,184 unit yang dieksport tahun lalu. Setakat ini, lebih 80,000 kenderaan Perodua telah dijual di luar Malaysia.

Google ads
Back to top button