
PANAS! PENGECUALIAN CUKAI JUALAN KENDERAAN DILANJUTKAN SEHINGGA 30 JUN 2021
Sebelum ini, Mekanika ada melaporkan bahawa kerajaan tidak akan menyambung insentif pengecualian cukai jualan yang tamat pada 31 Disember 2020.
Ia berikutan permohonan yang dibuat oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) untuk melanjutkan tempoh pengecualian cukai jualan bagi kenderaan penumpang pemasangan tempatan (CKD) dan import sepenuhnya (CBU) sehingga 30 Jun 2021 tidak diluluskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.
Insentif pengecualian cukai jualan di bawah Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) itu diperkenalkan oleh kerajaan pada Jun lalu bagi merancakkan kembali sektor automotif yang terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19.
Namun, memetik laporan wapcar.my pada hari ini, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa pengecualian cukai jualan (SST) untuk kenderaan akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021.
Dalam sepucuk surat bertarikh 29 Disember 2020 yang dihantar kepada MAA dan persatuan pengedar kereta recond, PEKEMA, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa semua model kenderaan penumpang CKD (termasuk SUV dan MPV, kecuali kenderaan komersial seperti trak pikap) akan terus menikmati keistimewaan sebelum ini.
U-Turn itu membawa maksud kenderaan penumpang yang dipasang tempatan (CKD) akan menerima pengecualian cukai jualan sebanyak 10 peratus.
Manakala kenderaan penumpang yang diimport sepenuhnya (CBU), sama ada baharu atau terpakai pula hanya perlu membayar separuh daripada kadar normal cukai jualan (5 peratus).
Biarpun begitu, Menteri Kewangan boleh meminda atau membatalkan insentif tersebut pada bila-bila masa sebelum tarikh 30 Jun 2021 tanpa sebarang sebab.
Bagi pengguna, ini sememangnya satu perkembangan positif kerana mereka boleh mendapat penjimatan ketika hendak membeli kenderaan. Apatah lagi ketika hampir semua pengeluar sukar untuk memenuhi tarikh akhir untuk membolehkan pelanggan mereka menikmati pengecualian cukai berkenaan.
Sebelum ini, seorang rakan dari syarikat pengeluar kenderaan Jepun ada memberitahu ramai pelanggannya yang terpaksa membatalkan tempahan kerana tahu mereka tidak akan sempat untuk mendaftarkan kereta sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.
Apa yang pasti, pengumuman ini akan merancakkan kembali penjualan kenderaan, memandangkan perayaan Tahun Baru Cina bakal disambut tidak lama lagi.
Pengumuman itu juga dilihat bakal memberi kesan kepada model-model import yang baru dilancarkan seperti GR Yaris, BMW M3 dan M4 kerana kereta tersebut dilancarkan dengan anggaran penyerahan hanya boleh dibuat pada tahun 2021. Justeru, ia perlu membayar cukai jualan sepenuhnya.
Ini bermakna, semua harga untuk model kereta 2021 perlu ditukar. Kita tunggu sahaja pengumuman rasmi dari pengeluar. – Wapcar