Buletin

TESLA MODEL S HANGUS, BATERI ‘MELETUP’!!!

Seorang pemilik Tesla Model S yang dimiliki sejak lima tahun terbakar secara tiba-tiba di Texas, Amerika Syarikat (AS).

Usmaan Ahmad memberitahu Washington Post, dia terdengar beberapa bunyi di bawah bonet Tesla Model S 85D tahun 2015 itu.

Ahmad, 41, berkata dia menghentikan kenderaan untuk memeriksa bunyi berkenaan sebelum kereta tersebut mula terbakar malah api mula marak di bahagian tempat duduk penumpang hadapan.

Dia percaya bateri kenderaan kemungkinan meletup tetapi punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Insiden menakutkan itu merupakan antara salah satu kejadian melibatkan kenderaan Model S dan X sejak kebelakangan ini dipercayai berkaitan dengan bateri kereta.

Menurut the Post, kebimbangan terus meningkat dalam aspek keselamatan berhubung kenderaan elektrik terbabit yang semakin berusia malah Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Nasional (NHTSA) sedang menyiasat kejadian melibatkan kereta Ahmad.

Ahmad menambah, ketika kejadian baterinya hampir 60 peratus dicas dan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah.

Selain itu, dia menjelaskan terdapat masalah lain ketika anggota bomba berusaha memadamkan api apabila salah seorang daripada mereka bertanya bagaimana hendak memasuki ke bahagian kabin.

Katanya, ia berikutan pintu Model S memiliki pemegang yang boleh ditarik keluar ketika mengesan fob kunci apabila berada berdekatan.

Dia cuba menggunakan fob berkenaan tetapi ia tidak berfungsi.

Pihak bomba memberitahu Ahmad dia bertuah kerana tidak terperangkap di dalam kenderaan itu.

Mereka berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh 10 minit dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – daily mail

Google ads
Back to top button