
PANDU UJI: VOLKSWAGEN TIGUAN ALLSPACE 2.0 R LINE 4MOTION. SUV 7 TEMPAT DUDUK YANG SELESA, BERKUASA DAN MEYAKINKAN
Volkswagen menawarkan Gemilang Deals dengan penjimatan bernilai sehingga RM 23,000 untuk model Volkswagen terpilih samaada model terbaru dengan sistem IQ.Drive ataupun tanpa sistem IQ.Drive
Bakal pembeli semua model ini layak menikmati servis percuma selama 7 tahun, 5 tahun jaminan kualiti tanpa jarak had pemanduan serta 5 tahun Roadside Assistance yang mampu memberikan anda ketenangan minda Ketika memandu.
Salah satu model terlaris Volkswagen ialah Tiguan Allspace yang ditawarkan dalam varian Elegance atau R-Line. Sejak diperkenalkan pada tahun 2020, SUV Tiguan Allspace pantas menjadi model paling laris yang ditawarkan oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM).
Populariti itu banyak disumbang oleh sifatnya yang mampu menjadi sebuah kenderaan keluarga praktikal. Selain dilengkapi enjin berkuasa, menjimatkan bahan api dan mempunyai banyak ciri moden.

Bagi memberi lebih pilihan kepada penguna, Tiguan Allspace hadir dalam varian Life, Elegance dan R-Line 4Motion.
Untuk pandu uji kali ini, kami ditawarkan dengan varian 2.0 R-Line 4 Motion yang tampil lebih bergaya berbanding varian 1.4 Life atau 1.4 Elegance.
Perubahan yang paling ketara ialah penggunaan rim Valencia 19 inci yang lebih bergaya berbanding rim 18 inci rekaan Frankfurt.
Rekaan bampar hadapan Tiguan R-Line nampak menyerlah dengan kemasan krom, kemasan krom di bahagian belakang dan lampu reflektor merah pada bampar belakang. Sementara logo R Line disudahkan dengan spoiler berwarna hitam berkilat.

Tidak ketinggalan, isyarat membelok dengan ciri sequential, bampar bawah dengan kemasan ekzos krom, pemantul lampu dipasang secara melintang di bampar belakang serta pintu ruang kargo berkuasa elektrik dan lengkap dengan sensor kaki.
Roda stering menerima rekaan baru yang nampak lebih sporti dan dibalut dengan kemasan kulit berlubang pada kedudukan kiri dan kanan. Ia menjadikan stering dengan rekaan rata pada bahagian bawahnya itu sedap digenggam terutama untuk tangan penulis yang mudah berpeluh.
Tombol gear tujuh kelajuan DSG pula menerima rekaan terbaru dengan huruf yang menunjukkan kedudukan gear dicetak pada bahagian atas tombol. Ia nampak lebih kemas terutama pada waktu malam dengan pantulan cahaya lampu LED.
Suis penyaman udara dengan kaedah butang dan rotari diganti dengan suis digital sentuhan sepenuhnya. Ia menjadikan kabin nampak lebih moden dan kemas berbanding model lama.

Khusus untuk varian Tiguan 2.0 R Line Allspace, ia dipasang dengan sistem multimedia Discover Pro 9.2 inci serta 10 pembesar suara daripada Harman Kardon berkuasa 480 watt. Sistem tersebut menawarkan ketersambungan Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar.
Varian itu juga dilengkapkan dengan penyaman udara 3 zon, kusyen penumpang depan dan pemandu siap dengan pemanas dan kipas penyejuk terbina dalam kusyen. Tidak ketinggalan, pengecasan tanpa wayar, 3 poin USB Type C, tiga soket 12 volt, lampu suluh terbina dalam di ruang kargo, corong penyaman udara di barisan kedua dengan semua kusyen di bahagian belakang boleh disusun dan dilipat secara individu.
Memandangkan varian itu dinamakan sebagai R Line, maka ia dipasang dengan balutan kusyen kulit R-Line, pedal minyak, brek aloi aluminium dan scuff plate bersama logo R-Line pada pintu.

Bagi model R Line, ia masih mengekalkan enjin EA888 1984cc empat silinder dengan teknologi turbo, sistem pancitan bahan api terus dan pemasaan injap bagi menghasilkan 220PS pada 4,500rpm. Kuasa tork maksima 350Nm yang datang seawal 1,500rpm pula sangat membantu bagi menggerakkan crossover ini
Di atas kertas, gandingan kuasa enjin dan transmisi DSG tujuh kelajuan berupaya memastikan pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 6.8 saat dengan kelajuan maksimum 223km/j.
Ujian yang saya lakukan membuktikan angka itu boleh dicapai dan ini ialah satu perkara yang menakjubkan bagi sebuah crossover 7 tempat duduk bersaiz sederhana.
Dari segi dimensi, panjang Tiguan ialah 4,726mm, lebar 1,859mm dan tinggi 1,685mm. Jarak antara roda pula direka pada 2,789mm, cukup untuk penumpang barisan ketiga bersaiz dewasa bagi perjalanan jarak dekat dengan kapasiti ruang kargo sebesar 230 liter.

Anda boleh menggandakan ruang kargo menjadi 700 liter apabila kusyen barisan ketiga dilipat. Kapasiti ruang kargo boleh meningkat menjadi 1,775 liter sebaik sahaja tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat.
Jika anda perlu mengusung basikal kembara, lipat saja tempat duduk belakang, lapik dengan kertas kotak dan tak perlu beratur dengan lori di lorong pembayaran tol di lebuh raya.
Kerusi baris kedua boleh dilipat kepada 3 bahagian dengan bahagian tengah boleh dilipat secara individu bagi memuatkan barangan yang panjang.
Ada 6 mode pemanduan yang disediakan untuk pemandu samaada Eco, Normal, Sport, Individual ataupun Offroad. Bagi kebanyakan masa, penulis akan menggunakan mode Normal ketika memandu sama ada di lebuh raya ataupun di jalan bandar.

Mode ini akan memastikan talaan stering, penyerap hentak, kuasa enjin dan penukaran gear dibuat dengan lancar dan paling selesa. Kuasa yang dihasilkan pada mode ini sudah cukup baik untuk penulis.
Jika anda perlukan kuasa maksima, cengkaman yang cukup untuk di selekoh dan kawalan selekoh yang jitu di selekoh maka anda boleh memilih mode pemanduan Sport. Mode ECO pula direka khusus untuk penggunaan bahan api yang minima dan memberikan jarak perjalanan yang lebih jauh.
Sebaik sahaja anda duduk di kerusi pemandu, anda akan perasan Tiguan ialah sebuah SUV yang cukup selesa berbanding kebanyakan sedan di pasaran sekarang.
Tempat duduknya menawarkan sokongan dan keselesaan, apatah lagi ia dipadankan dengan penyerap hentak yang lebih panjang, sekali gus menjadikan perjalanan jauh terasa mewah dan tidak meletihkan.

Bunyi, gegaran dan kekasaran (NVH) jelas dapat ditebat baik oleh platform MQB ini. Jarang sekali pergerakan roda dan komponen mekanikal suspensi menerjah masuk dalam kabin sewaktu di lebuh raya, kecuali jika anda memandu laju di atas bonggol jalan. Buktinya, kadar bunyi cuma sekitar 59dB pada halaju 110km/jam.
Input utama kawalan cesi seperti stereng adalah tangkas seperti sedan Volkswagen yang lain. Ini membantu anda untuk memandu sedikit laju dengan selesa dan meyakinkan. Tekan sahaja pedal minyak, Tiguan akan meluncur laju dengan sistem suspensi yang selesa tapi masih lagi terasa solid.
Tekan sahaja brek, brek cakera depan dan belakang yang dipasang akan memastikan platform MQB ini berhenti dan dikawal dengan mudah ibarat anda memandu sebuah kereta kompak yang ringan. Pendek kata, aspek ride (keselesaan) dan pengendalian (kawalan cesi) adalah seimbang antara satu sama lain
Selain menggunakan suspensi topang McPherson pada roda hadapan dan MultiLink untuk roda belakang, Tiguan juga diberi teknologi pacuan semua roda 4Motion bagi tujuan offroad manja-manja.

Pacuan semua roda memang magik dalam mencari cengkaman dalam hujan. Ia menjadikan seolah-olah masalah aquaplaning tidak wujud bagi Tiguan. Ia memang sebuah crossover yang selesa untuk dipandu jauh.
Salah satu aspek kebaikan apabila digunakan untuk pemanduan jarak jauh ialah penggunaan petrol yang efisyen. Volkswagen memberikan data bacaan purata sekitar 11.6km bagi setiap liter petrol dan bacaan sebenar yang diperolehi oleh penulis ialah sekitar 10.5km bagi setiap liter petrol.
Ia adalah bacaan yang adil dan munasabah memandangkan Tiguan ialah sebuah SUV yang agak berat, menggunakan pacuan semua roda sepanjang masa dan diberikan enjin yang berkuasa.
Malah sistem akan mengingatkan anda agar sentiasa menghidupkan ciri Start/Stop, menutup tingkap jika memandu melebihi 90km/jam atau jangan membuka tingkap jika menggunakan penyaman udara.

Dari aspek keselamatan, Tiguan datang dengan 6 beg udara, sistem kawalan kestabilan elektronik, 2 cagak ISOFIX, sistem peringatan pemandu agar berehat dan juga Lane Assist Sysrem serta pakej keselamatan IQ.Drive
Sistem IQ.Drive merangkumi sistem pemanduan automatik Adaptive Cruise Control, sistem amaran titik buta, sistem amaran lintasan trafik belakang, Lane Assist dan Rest Assist yang akan memberikan pengawasan tambahan bagi mengelakkan kemalangan akibat kecuaian pemandu.
Tapi janganlah anda pandu Tiguan masuk ke hutan mengikut laluan lori balak kerana keupayaan sistem pacuan semua roda 4Motion ini terhad kepada offroad yang manja-manja sahaja. Tapi ia adalah sebuah crossover yang memuaskan hati dari segala aspek, baik dari segi kuas, selesa dan juga kalau perlu boleh memuatkan 7 penumpang dalam satu masa.
Jika anda bercadang untuk memilih Volkswagen Tiguan sebagai kenderaan baru anda, ini adalah masa terbaik untuk membeli SUV serba boleh ini. Menerusi kempen Gemilang Deal, Volkswagen menawarkan pakej pebjimatan yang bernilai sehingga RM23,000.

Jadi, tunggu apa lagi? Tekan sahaja pautan di bawah dan nikmati pengalaman memandu sebuah jentera Volkswagen yang mengujakan! Link: https://www.volkswagen.com.my/models-and-configurator/gemilang-deals-form-mekanika